10 Langkah Asas Menguruskan Kewangan Keluarga

0
1538
views

Bergaji banyak belumlah tentu bermaksud anda kaya. Bergaji sedikit juga belumlah tentu bermaksud anda miskin.

Tetapi, kalau anda tahu mengurus kewangan dengan baik, maka yang sedikit InsyaAllah diberkahi, yang banyak pula dicermati.

Bagaimana uruskan wang anda? 10 tips ini dapat membantu anda :

1) CATAT PERBELANJAAN ANDA SETIAP HARI

Ini untuk memudahkan anda keep track di mana duit anda paling banyak dihabiskan.

Makanan? Tempat-tempat hipster? Astro? Rokok? Pakaian atau tudung baru? Kerap tukar gadjet baru?

Bila dah dapat keep track trend perbelanjaan setiap bulan, kita akan dapat mengesan dan menganalisis cara kita berbelanja.

Jangan risau, kalau anda malas, anda boleh try download pelbagai apps untuk anda lakukan catatan ini dengan mudah.

Antaranya ada Money Lover, Spending Tracker dan lain-lain.

Simple saja, setiap kali makan atau setiap kali keluarkan duit, anda buka apps tu, masukkan je terus. Tak sampai seminit dah siap.

2) ANALISIS LEBIHAN DUIT ANDA SETIAP BULAN

Ada duit lebih tak setiap bulan? Macam mana nak tahu?

Senang saja. Berapa pendapatan anda sebulan? Ambillah semua jenis pendapatan yang ada.

Kalau anda ada satu sumber pendapatan saja, contohnya makan gaji, maka satu jenis pendapatan sajalah.

Kalau ada sumber-sumber pendapatan lain macam hasil sewakan rumah, bisnes dan lain-lain, boleh masukkan sekali.

Ambil pendapatan bersih anda ini (pastikan dah ketepikan potongan-potongan seperti EPF, SOCSO dan lain-lain), dan tolak dengan perbelanjaan bulanan yang anda dah catat macam dalam nombor 1 tadi.

Kalau tak ada lebihan, anda mungkin ada masalah kewangan.

Kalau defisit, anda di tahap kritikal.

Kalau anda ada lebihan, itu sudah bagus. Cuma kena tengok berapa lebihan tersebut supaya boleh ditingkatkan.

3) FOKUS MENYIMPAN !

Cuba amalkan formula ini setiap bulan.

Income – Saving = Expense

Dapat gaji saja, simpan dulu sebahagian. Minimum adalah 10% dari gaji. Kalau dapat simpan 50% gaji, lebih bagus dan sangat digalakkan.

Kesilapan kita adalah bila kita berbelanja dahulu sampai habis, lebihan itulah (kalau ada), baru dijadikan simpanan.

Kesannya, bila terjadi apa-apa, simpanan tak cukup untuk jadi backup.

Nak simpan di mana? Simpan je di Tabung Haji. Pelaburan bukan tempat menyimpan ye !

4) PENUHKAN TABUNGAN KECEMASAN DAHULU

Tabungan kecemasan atau emergency fund ini penting kalau jadi apa-apa pada anda, anda masih ada duit cash di tangan untuk digunakan.

Target supaya dicukupkan emergency fund itu minimum 3 bulan perbelanjaan.

Kalau contohnya perbelanjaan bulanan RM2000. Rm 2000 X 3, kena ada RM6000 sebagai emergency fund paling minimum.

Sebaiknya adalah gunakan ukuran 3 bulan gaji. Contohnya gaji RM3000 X 3, anda perlukan RM9000 sebagai emergency fund.

3 bulan adalah minimum. Lebih baik adalah 6 bulan perbelanjaan atau pendapatan.

Jika anda orang yang berbisnes sendiri, sangat disarankan untuk cukupkan 12 bulan punya perbelanjaan atau pendapatan dalam emergency fund.

Boleh letak di Tabung Haji juga emergency fund ini.

5) STRUKTUR SEMULA PERBELANJAAN JIKA TAK DAPAT MENYIMPAN

Kalau anda tak dapat menyimpan langsung, anda kena tengok semula perbelanjaan anda.

Mana-mana yang terlebih hipster sangat perbelanjaan tu, boleh ditolak buang dan tak perlu diteruskan lagi.

Poket anda mungkin cepat botak sebab anda kikis poket anda pada perbelanjaan tak perlu atau kurang utama.

Spending pada perkara yang tak perlu macam Astro, rokok, kekerapan makan di kedai hipster, selalu tukar gadjet boleh dikurangkan.

Tak apa, tak mati pun kalau kurangkan perbelanjaan pada benda-benda macam ni. Bahkan lebih bagus untuk anda juga sebenarnya.

 

6) TAMBAH PENDAPATAN

Jika anda ada satu sumber pendapatan saja buat masa sekarang dan kadarnya adalah minimum, anda mungkin perlukan sumber pendapatan tambahan untuk membantu kewangan anda.

Ataupun anda mungkin perlu cari kerja baru yang dapat berikan gaji lebih baik untuk anda.

Tetapi ingat ya, carilah kerja yang halal dan cuba imbangkan juga kehidupan anda. Jangan sampai kehidupan terabai.

Cari rezeki, cari rezeki juga. Tetapi jangan lupa jaga hubungan dengan Tuhan dan manusia. Seimbangkan hidup.

7) JAUHI HUTANG JAHAT

Hutang jahat ini adalah hutang yang menyebabkan anda terpaksa keluarkan duit poket anda dan tak menjana pulangan untuk anda.

Contoh hutang jahat adalah hutang personal loan/financing. Hutang credit card kalau anda tak pandai guna. Hutang kereta.

Hutang rumah jika anda tidak pandai menguruskannya dan salah strategi dalam memilih rumah (jika anda beli rumah untuk disewakan).

Kad kredit memang ada manfaatnya seperti anda akan dapat ganjaran dalam bentuk point, cashback dan sebagainya.

Tetapi kalau anda tidak ada kapasiti mengurus hutang dengan baik, pastikan anda tak terjebak dengan kad kredit.

Kalau nak guna juga, pastikan lepas anda guna, anda terus bayar tanpa tangguh-tangguhkan.

Hutang PTPTN pula, selesaikan secepat mungkin. Semakin lama anda biar, semakin ia menghantui diri anda.

8) PILIH KAWAN YANG BETUL

Kalau gaji anda tak besar sangat dan kawan pula selalu ajak anda lepak kedai-kedai hipster, anda hati-hati sikit. Ajak kedai mamak setiap malam pun penyakit juga.

Sama saja. Tambah lagi, lepas habis lepak, kawan minta pinjam duit atau sikit-sikit minta belanja.

Kalau setiap malam, dia minta pinjam, tak ke naya duit kita. Kawan, kawan juga. Tetapi kawan jenis hutang tak bayar ni, hati-hati sikit.

Untuk yang jenis macam ni, sebaiknya ada kesedaran sendiri untuk bayar makan minum sendiri kalau nak ajak lepak juga.

Janganlah ambil kesempatan atas kebaikan kawan anda.

Nak lebih baik, bancuh saja air di rumah dan minum. Boleh customize sendiri, kurangkan gula, dan dapat jaga kesihatan.

9) PASTIKAN ANDA ADA PROTECTION

Mungkin bila ada duit banyak, dah boleh menyimpan, orang fikir nak melabur pula. Tetapi sebelum anda melabur, pastikan diri anda telah ada takaful.

Takaful lebih utama untuk anda sebelum anda masuk melabur. Kerana melabur perlukan masa untuk duit anda compounding.

Tetapi takaful, apabila anda dah mula mencarum atau contribute, anda akan ada hak untuk dilindungi di bawah pakej amaun tertentu yang telah anda pilih.

Dalam takaful ini, anda boleh pilih mana satu nak diutamakan.

Jika tempat kerja anda beri coverage untuk perubatan, maka mungkin kurang keutamaan bagi anda untuk ambil medical card buat masa ini.

Anda boleh ambil medical card. Saya tak kata salah.

Tetapi lebih utama untuk anda ambil Family atau Life Takaful yang berperanan sebagai INCOME PROTECTION untuk anda.

Income protection bermaksud kalau terjadi kematian (dengan izin Allah), atau anda lumpuh tak boleh bekerja, anda atau waris anda akan dapat sejumlah amaun yang InsyaAllah boleh membantu untuk survive dalam beberapa tahun.

10) KEMBANGKAN DUIT ANDA

Bila nak kembangkan duit, pastilah pelaburan tempatnya.

Tetapi pelaburan ada banyak. Dan antara banyak-banyak pelaburan itu, pastikan anda jauhi pelaburan yang namanya scam atau MLM atau skim cepat kayap ni.

Jangan bulat mata sangat bila dengar geng scammers ni promot.

Dia punya janji awal memang manis, tetapi bila tersontot, muka dia jangan harap kita dapat berjumpa lagi. Dia ke mana, duit kita ke mana.

Nak pelaburan yang berautoriti, masuklah antaranya :

  1. – Unit Trust
  2. – Saham
  3. – Pelaburan Hartanah
  4. – Emas
  5. – Amanah Hartanah Bumiputra (AHB)
  6. – ASB
  7. – Term Deposit
  8. – dan sebagainya yang diiktiraf kesahihannya oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

Pastikan anda tahu prinsip dan konsep pelaburan bila masuk melabur. Dapatkan detail maklumat pelaburan anda.

Inilah 10 Langkah Bijak Kewangan. Share post ini kepada rakan-rakan anda agar lebih ramai mendapat manfaat dan bijak mengurus wang !

 

Sumber : langitilahi.com

Artikel Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply