13 Perkara Yang Perlu Diketahui Mengenai Krisis Antara Qatar Dan Arab Saudi – Mohd Shazwan

0
831
views

1. Dunia Islam terkejut dengan tindakan dikepalai Arab Saudi bersama 3 negara lain; Mesir, Bahrain dan UAE memutuskan hubungan diplomatik termasuklah perhubungan darat, laut dan udara terhadap Qatar.

Tindakan ini kemudiannya disusuli Maldives. Arab Saudi menggesa negara jirannya mengambil tindakan yang sama.

f7b6033b2159033436c6ba9f1cb2febd

2. Arab Saudi melalui agensi berita rasminya; Saudi Press Agency, menyatakan tindakan itu diambil setelah mengambil kira pendirian Qatar:

i. Mencampuri urusan dalaman pentadbiran dan mencabuli kedaulatan Arab Saudi

ii. Menyokong dan melindungi kumpulan pelampau dan pengganas seperti Ikhwanul Muslimin, ISIS dan Al-Qaeda serta turut mempromosikan agenda kumpulan ini melalui media bagi menggugat kestabilan serantau

iii. Menyokong aktiviti kumpulan pengganas yang dibiayai Iran di Wilayah Al-Qatif dalam kawasan Arab Saudi dan Bahrain dan menyokong serta membiayai kumpulan pengganas Houthi di Yaman walaupun turut sama menyertai Gabungan Tentera Negara Islam bagi mempertahankan kedaulatan Yaman.

3. Untuk rujukan, Qatar merupakan salah sebuah negara OPEC dengan simpanan minyak mentah ke-12 terbesar di dunia dan gas ke-4 terbesar di dunia. Simpanan minyak Qatar dijangkakan mampu bertahan sehingga 150 tahun lagi dengan kapasiti pengeluaran sekarang.

Qatar merupakan penganjur Sukan Asia pada tahun 2006 setelah mengalahkan Kuala Lumpur pada sesi undian akhir. Qatar juga merupakan negara Arab pertama yang memenangi penganjuran Piala Dunia yang bakal diadakan pada tahun 2022.

4. Doha memberi reaksi tegas terhadap tindakan Arab Saudi dan sekutunya dengan menyatakan bahawa tuduhan yang dilakukan adalah tidak berasas sama sekali dan ianya tidak akan mempengaruhi kehidupan seharian penduduk Qatar. Susulan tindakan Arab Saudi tersebut, pasaran saham Qatar menjunam 5.5%; yang terburuk sejak 2014 manakala harga minyak mentah naik lebih 1% untuk satu tong. Syairkat penerbangan UAE; Emirates Airlines telah membatalkan semua penerbangannya pergi dan balik dari Qatar.

5. Ini bukanlah kali pertama Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, pada tahun 2014, Arab Saudi bersama-sama UAE dan Bahrain memanggil duta mereka pulang setelah tindakan Qatar mempertahankan bekas Presiden Mesir; Dr.Mohamad Morsi dan melindungi beberapa ahli Ikhwanul Muslimin.

ikhwanul-muslimin

6. Ianya bukanlah rahsia bahawa Qatar merupakan ‘guardian’ yang konsisten untuk gerakan Islam ‘moderat’ seperti Ikhwanul Muslimin dan Hamas. Beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin termasuklah Ketua Kesatuan Ulama’ Sedunia; Syeikh Yusuf Al-Qardhawi mendapat perlindungan di Qatar setelah dikenakan waran tangkap oleh pihak berkuasa Mesir.

Stesen TV Al-Jazeera yang berpengkalan di Qatar juga boleh dikatakan sebagai aktor utama yang kerap memaparkan berita dan perkembangan yang memangkin gerakan ‘Arab Spring’ sebelumnya. Semasa Ikhwanul Muslimin memenangi pilihanraya Mesir, Qatar telah memberikan bantuan sebanyak 5 Billion US Dollar dan menjanjikan pelaburan sejumlah 18 Billion US Dollar untuk 5 tahun berikutnya kepada Mesir.

Walaubagaimanapun, pengkhianatan dan rampasan kuasa tentera yang dikepalai General Sisi telah menyebabkan Qatar turut terkesan diatas pergolakan tersebut

7. Tindakan ini mendapat perhatian dan reaksi mengejutkan dari seluruh dunia kerana ianya agak janggal dan dilihat terlalu drastik dan terburu-buru. Penganalisi politik di seluruh dunia tertanya-tanya apakah motif tindakan Arab Saudi tersebut terutama mengenai serangan terhadap pendirian Qatar terhadap isu Iran, Militan Houthi dan sokongan terhadap keganasan.

8. Mengambilkira perkembangan semasa, ianya tidak pelik apabila masyarakat dunia terkejut dengan tindakan Arab Saudi tersebut. Ini disebabkan Qatar merupakan salah sebuah negara dari 10 negara yang menyertai dan membiayai kempen ketenteraan diketuai Arab Saudi untuk mengusir militan Houthi yang disokong kuat Iran dan Hizbullah.

Qatar sendiri telah kehilangan sejumlah anggota tentera dan aset pertahanan sepanjang misi tersebut yang masih berjalan. Walaupun mempunyai hubungan yang baik dengan Iran disebabkan perkongsian telaga minyak di perairan masing-masing, Qatar tetap mengambil langkah berhati-hati dalam hubungannya dengan negara tersebut disebabkan pendirian anggota Gulf Cooperation Council (GCC) lain yang agak keras terhadap Iran.

9. Tuduhan bahawa Qatar membiayai dan melindungi keganasan pula agak janggal kerana bantuan dan sokongan yang diberikan terhadap kerajaan Mesir ketika dibawah pimpinan bekas Presiden Mohamed Morsi adalah konsisten dengan pendirian pentadbiran Obama ketika itu.

Menyokong Hamas pula adalah sebahagian daripada agenda umum dalam usaha mengembalikan hak dan maruah rakyat Palestin dan memastikan kestabilan dan keamanan serantau terjamin.

10. Memahami krisis ini mungkin memerlukan analisa yang lebih mendalam terhadap perkembangan mutakhir yang berlaku di timur tengah. Pendirian Trump memilih Riyadh sebagai lokasi pertama dalam lawatannya keluar negara pada bulan lepas disusuli dengan lawatan ke Tel Aviv mungkin memberikan sedikit gambaran akan permulaan kepada krisis ini.

Tambahan pula, Trump dilihat memuji secara terbuka pemimpin Arab Saudi; Raja Salman dan pemimpin Mesir; Abdul Fattah Al-Sisi adalah merupakan suatu kejanggalan terhadap pendirian pentadbiran Obama yang lepas.

11. Merumitkan lagi keadaan, Agensi Berita Qatar dikatakan telah digodam pada Selasa lepas dengan penggodam telah memuat naik komen palsu pemimpin Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menyokong Iran, Hizbullah, Hamas dan Israel selain menyatakan Trump tidak akan selamanya kekal berkuasa.

Pentadbiran Qatar menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut dan menyatakan ianya merupakan hasil keberjayaan jenayah siber terhadap negara itu. Menambahkan kejanggalan di rantau berkenaan, sekumpulan penggodam dari Russia berjaya memintas e-mail dari duta UAE ke Amerika Syarikat, Yousef Al-Otaiba, yang sedang mengatur usaha sama dengan badan pemikir Pro-Israel; Foundation for Defense of Democracies (FDD) dalam usaha menjatuhkan Iran.

23orb-master768

12. Kita masih lagi tertanya-tanya apakah signifikan disebalik tiga pemimpin Arab Saudi, US dan Mesir memegang ‘Orb’ misteri didalam dewan yang lampunya dimalapkan ketika perlancaran The Global Center for Combatting Extremist Ideology di Riyadh bulan lepas. Mungkin ianya mampu memberikan sedikit ‘hint’ akan perkembangan terbaru di timur tengah ini.

13. Kita berdoa kepada Allah s.w.t dalam bulan Ramadhan yang mulia ini supaya dunia islam dibendung dari malapetaka yang lebih besar dan ditunjukkan segala muslihat dan kejahatan musuh.

Sumber Asal : Laman Facebook Mohd Shazwan

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply