2 Sifat Kanak-Kanak Yang Perlu Kita Contohi – Raihana Zakaria

0
1848
views

Dua bulan ini ternyata tidak mudah. Ada sahaja hal atau bisikan yang membelenggu, merantai dan mengikat diri.

Belum selesai hal pertama, datang pula hal kedua.

Tetapi barangkali dengan aturan-Nya yang rapi, setiap kali terasa mahu mengalah, Allah datangkan pula ilham untuk melakukan refleksi, supaya diri dapat terus bertahan.

Bermula dengan  perbincangan bedah movie “My Little Prince” untuk menyantuni pelajar baru, melihat perkembangan anak buah yang ternyata menginspirasikan, termasuklah pencerahan tips keibubapaan oleh ahli usrah daripada tadabbur surah Al-Baqarah, penulis percaya, tiada yang kebetulan melainkan Allah-lah yang telah menyusun episod-episod ini.

Sehinggalah seorang teman berkongsi suatu buah fikiran, penulis rasa terpanggil untuk mengolah tentang ini; Belajar dari anak kecil, adakah kita hari ini bukan kita yang dulu lagi?

Katanya,

Kita semua dahulu pernah menjadi kanak-kanak, tetapi hanya sebahagian daripada kita sahaja yang ingat bahawa kita pernah menjadi kanak-kanak.

Benar sekali, kita barangkali terlupa bahawa kita waktu kecilnya, masing-masing ada dua rasa yang sama.

Satu, rasa semangat dan tidak putus asa.

Ditambah dengan rasa ingin tahu, kita tak pernah putus asa untuk meneroka sehinggalah kita berjaya.

Sebabnya: sebagai kanak-kanak, kita memang tidak berputus asa.

Kita fokus kepada apa yang kita mahukan sahaja. Kita mahu belajar berjalan, kita cuba.

Cuba lagi dan lagi.

Walaupun jatuh, walaupun sakit, walaupun kaki kita kecil gempal dan comel memustahilkan kita untuk berjalan, tapi kita teruskan usaha.

Kerana kita tak kenal erti putus asa. Yang penting kita nak pandai berjalan, walaupun belum tentu lagi kita akan boleh.

Dan saat itu, kita tak pernah terbayang pun kita akan berjaya berjalan.

Akhirnya kita semua berjaya, ada yang berjaya dengan cepat, ada yang mengambil masa. Pokoknya kita tak pernah putus asa.

Namun sekarang sebaik sahaja kita membesar, penulis selalu terfikir; ke mana hilangnya semangat itu?

Ke mana perginya nature itu?

Bilakah kali terakhir kita mahukan sesuatu, dan kita konsisten berusaha sehingga akhirnya kita berjaya?

Walau banyak rintangan, susah dan terpaksa berpenat lelah, kita terus percaya kita akan berjaya.

Bila agaknya kali terakhir kita miliki tekad sebegitu?

Adakah kita hari ini bukan kita yang dulu lagi?

Dua, rasa sensitif atau terkesan.

Kita dahulunya mudah terkesan dengan sesuatu hal.

Sebabnya: sebagai kanak-kanak, kita memang cepat terkesan.

Kita terkesan dengan sesuatu hal, sehingga mempengaruhi tindakan kita.

Dialog “Cikgu kata siapa tak taubat nasuha nanti masuk neraka” setiap kali mendengar orang lain menggunakan perkataan yang kurang sopan, dan yang sewaktu dengannya masih segar di ingatanku;- tanda terkesannya pesan cikgu di sekolah dalam hati kita.

Pernah juga aku terdengar anak kecil yang boleh terkeluar dari bibirnya, “Mana boleh takut hantu, hantu tak wujud, kita boleh takut Allah je..”, juga bukti mudahnya kita dahulunya atau anak kecil terkesan dengan apa yang dilalui setiap hari.

Contoh lain lagi, sewaktu kita masih kecil, sudah tentu kita akan ingat setiap kata atau janji yang diberikan oleh ibu bapa kita.

Dan kita biasanya akan jadi sedikit behave bila mak pesan jangan buat sekian sekian sekiranya tidak mahu dimarahi atau dipukul.

Akhirnya begitulah, apa yang diperdengarkan, dipertontonkan, diulang-ulang pesan dan diulang-ulang tayang itulah yang mengesani diri kita dahulu.

Kita jadi tahu apa yang perlu atau boleh dilakukan pada masa dan keadaan tertentu.

Namun sekarang sebaik sahaja kita membesar, aku selalu terfikir; ke mana hilangnya nature itu?

Kenapa kita tidak lagi sensitif seperti dahulu?

Kenapa kita sepertinya semakin kurang rasa bersalah sedangkan kita berbuat salah?

Adakah kita hari ini bukan kita yang dulu lagi?

Bukan sedikit rupanya perkara yang Allah bimbing penulis memikirkannya.

Saat persoalan-persoalan ini datang menjengah di benak fikiran, rupanya Allah ingin mengajarkan penulis bahawa, nature-nature itu tidak berlaku secara sendiri, atau kita selalu sangka fitrah semulajadi.

Demikianlah Allah yang Maha Arif tentang penciptaan-Nya, menciptakan kita dengan nature sebegitu sewaktu kita kecil.

Tak terbayang juga, kalaulah waktu kecil kita sudah mengenal erti putus asa, barangkali tumbesaran kita akan terbantut.

“Allahlah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) kuat setelah berkeadaan lemah itu, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, dan Dia maha Mengetahui lagi Maha Kuasa”.

[Rum 30:54]

Adakah kita hari ini bukan kita yang dulu lagi?

Penulis kira, kita hari ini memang sepatutnya bukan kita yang dulu lagi.

Dengan perkenan Allah yang telah menjadikan kita kuat setelah satu fasa lemah, kita memang seharusnya lebih dewasa, lebih jelas dan faham mengapa kita hidup dan bagaimana untuk hidup dengan lebih bermakna.

Tidak cukup untuk kita sekadar beraksi dan mencipta reputasi dalam kerjaya atau membina keluarga untuk kebahagiaan hidup di dunia, kita sebenarnya perlu lebih struggle mengubah mindset kehidupan berorientasikan akhirat sana.

Fasa kuat kita kini harus dimanfaatkan sebaiknya, sebelum nanti dikembalikan kepada fasa lemah semula.

Fasa kuat ini sahajalah yang kita miliki, untuk kita all-out, mengerah tenaga, menggembleng daya, menggandakan amal kebajikan, berbuat dakwah, mencapai ahsan ‘amala (amal yang terbaik) untuk kita persembahkan di hadapan Allah kelak, seterusnya melayakkan kita untuk meraih Syurga-Nya.

Tetapi pada masa yang sama, kita perlu sedar dan ingat bahawa kita hari ini, sebelumnya ialah kita yang dahulu.

Nature seorang anak kecil itu tidak sewajarnya dibuang dari kamus hidup kita.

Dengan kefahaman kita yang dewasa tentang tanggungjawab kehidupan kita, kita patut miliki nature anak kecil tadi; terus fokus berjuang memperbaiki diri dan mengislah sekeliling serta terus menerus mendalami kefahaman Ad-Deen (agama) ini.

Ada tiga perkara yang ingin disampaikan dari penulisan ini:

  1. Belajarlah dari anak kecil untuk menambah motivasi beramal dan berprestasi di usia dewasa.
  2. Penting untuk kita melihat, adanya Allah di atas kehidupan kecil mahupun dewasa kita; jika Allah boleh mengeluarkan kita dari struggle anak kecil untuk berjalan atau bercakap dan lain-lain, Allah yang samalah yang memiliki kudrat dan iradat untuk membantu kita hadapi cabaran kehidupan dewasa sekarang.
  3. Orientasi hidup kita seharusnya beyond dunia yang sementara. Kehidupan akhirat menanti di hadapan sana dan kita hanya ada fasa kuat yang sebentar cuma untuk menambah bekal-bekal akhirat nanti.

 

Akhirnya, adakah kita hari ini bukan kita yang dulu lagi?

Jawapan ada di tangan kita. Fikirlah sebaiknya, putuskanlah seadilnya, bertindaklah sewajarnya.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply