3 Formula Magnet Rezeki

0
698
views

Buku berjudul Think & Grow Rich, karya Napoleon Hill telah membantu jutaan jiwa di seluruh dunia untuk hidup lebih kaya, berjaya dan bahagia.

Buku klasik yang diterbitkan sekitar bulan Mac 1937 ini telah menjadi antara ‘kitab rujukan utama’ bagi kesemua penulis dan pelatih motivasi (trainer), dari barat.

Pada hemat saya, ia dijadikan rujukan utama bukan kerana isinya yang kontemporari.

Sebaliknya, ia disebabkan oleh — cetusan ideanya yang menjadi perintis/pencetus bagi kelahiran buku-buku bergenre motivasi yang seterusnya.

Walaupun penulis asalnya sudah berpuluh tahun meninggal dunia, tetapi, karyanya masih terjual di kedai-kedai buku di seluruh dunia.

Persoalannya, apakah isi kandungan buku Think & Grow Rich sehingga ia diklasifikasikan sebagai — buku laku keras sepanjang zaman?

Untuk itu, berikut saya kongsikan tiga komponen utama yang terdapat dalam buku ini dan tidak salah rasanya jika saya menggelarkannya sebagai “magnet rezeki”.

Magnet Rezeki #1 – Keinginan

Kita mahu menjadi kaya. Kita mahu bergelar sebagai seorang jutawan. Kita mahu hidup bebas daripada kekangan hutang.

Semua ini adalah impian semua orang yang bergelar manusia nomal. Apabila semua ini berjaya kita capai, itulah yang dikatakan sebagai — rezeki kita.

Sebelum semua impian yang disebutkan di atas menjadi milik kita, kita perlulah menginginkannya terlebih dahulu secara 100 peratus!

Napoleon Hill meletakkan magnet rezeki ini sebagai asas utama bagi setiap impian yang mahu dicapai.

Tanpa melalui peringkat asas ini, setiap perkara yang kita lakukan — dijamin (dengan izin Allah) tidak berhasil.

Kejayaan penaklukan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad Al-Fatih dan tenteranya, pada usia Baginda 21 tahun, bermula dengan keinginan yang tinggi.

Ketika tidur, bangun, makan, beriadah, belajar dan seumpamanya, Baginda hanya memikirkan tentang Kota Istanbul.

Baginda benar-benar mahu menakluki kota besar itu dan seterusnya merealisasikan hadis Nabi Muhammad (berselawatlah ke atas Baginda) yang maksudnya lebih kurang begini:

“Istanbul (Constantinople) akan ditakluki oleh tentera Islam. Sebaik-baik raja adalah rajanya (yang menakluki kota itu) dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya (yang menakluki kota itu).”

Magnet Rezeki #2 – Keyakinan

Memiliki keinginan sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya, keinginan itu perlulah disusuli oleh keyakinan juga.

Yakin, dalam erti kata lain adalah — percaya 100 peratus terhadap diri sendiri serta pemilik diri kita iaitu, Allah.

Ramai orang yang gagal dalam usaha merealisasikan impian bukan disebabkan oleh gangguan anasir luar, melainkan sebabnya tidak lain dan tidak bukan adalah — kurang keyakinan diri.

Kejayaan laman sesawang Alibaba.com yang diketuai oleh Jack Ma adalah berfaktorkan keyakinan tinggi oleh Jack Ma dan pasukannya.

Penolakan permohonan pinjaman daripada pihak bank tidak pernah meruntuhkan semangat Jack Ma untuk meneruskan ‘idea gila’ beliau itu.

Ini kerana, beliau benar-benar yakin bahawa Alibaba.com adalah sebuah konsep laman sesawang yang mampu menghasilkan keuntungan yang banyak, di samping membantu jutaan jiwa di seluruh dunia untuk membeli barang secara atas talian.

Kerana yakin dengan idea yang mahu direalisasikannya, Jack Ma telah berjaya meyakinkan lebih daripada lima orang pelabur dan hasil wang pelaburan itu telah meletakkan beliau di tangga ketujuh dalam senarai manusia terkaya di dunia dalam bidang teknologi (Julai 2017, Forbes.com).

Magnet Rezeki #3 – Kegigihan

Kata Vince Lombardi:

“Winners never quit and quitters never win.”

Ya. Seseorang juara tidak akan pernah berhenti dan seseorang yang berhenti tidak akan pernah menjadi juara.

Walau apa sekalipun yang kita lakukan, istiqamah atau berterusan adalah antara kunci kejayaannya.

Halangan sentiasa ada di mana-mana. Hatta, jika kita berpindah ke planet Marikh sekalipun, halangan tetap ada dan sentiasa ada untuk menguji kita.

Inilah aturan Allah.

Kerana itu, hanya orang yang gigih sahaja yang akan menemui kejayaan dalam hidup mereka.

Islam tidak akan pernah sampai ke Malaysia, jika Nabi (berselawatlah ke atas Baginda) dan para sahabat berputus asa.

Malaysia tidak akan pernah menikmati kemerdekaan daripada pihak penjajah, jika Tunku Abdul Rahman dan pasukannya berputus asa.

Kita sendiri tidak akan pernah menikmati kehidupan yang lebih baik, jika kita berputus asa sekarang.

Firman Allah dalam surah Al-Insyirah, ayat kelima:

“Bahawa sesungguhnya bersama tiap-tiap kesukaran itu ada kesenangan.”

Oleh itu, tidak kira apa sekalipun impian kita, rezeki itu pasti ada untuk kita (dengan izin Allah).

Tetapi, terapkan tiga magnet ini terlebih dahulu (keinginan, keyakinan dan kegigihan) dan barulah rezeki itu sendiri akan mudah melekat pada diri kita.

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply