5 Nasihat Ringkas Buat Mahasiswa Pengajian Islam – Asma’ Tajul Arifin

0
119
views

convocation-1024x501

Minggu pertama sesi pengajian bermula, universiti agak lengang kerana para pelajar selalu menjangkakan para pensyarah masih belum mula mengajar dan mengambil catatan kehadiran. Sebenarnya, mereka terlepas perkara yang sangat berharga; taujihat menuntut ilmu dari para pensyarah. Inilah antara perkara yang sangat saya hargai menjadi penuntut ilmu di sini (Jordan); keluhuran niat para pensyarah dalam menyampaikan ilmu.

Berikut merupakan antara mutiara kalam dari para pensyarah yang menarik perhatian dan mengesani jiwa saya:

  1. “Kamu pada masa hadapan ialah Qari, Imam, Hakim, Qadhi, rujukan masyarakat”

Dr Firas Shiyab, pensyarah subjek Qawaid Fiqhiyah di Fakulti Fiqh Wa Usuluh di Universiti Yarmouk mengatakan bahawa mengambil langkah untuk menuntut ilmu dalam bidang agama bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Kita perlu berpandangan jauh, melihat diri kita pada masa akan datang, apa tuntutan yang akan datang kepada kita waktu itu. Seterusnya, rancanglah kehidupan kita pada waktu ini untuk mencapai “kita” yang kita impikan dapat memberi manfaat semaksimum mungkin kepada masyarakat umum pada masa hadapan.

  1. “Niat dalam menuntut ilmu”

Dr Firas Shiyab juga memetik hadis pertama dalam hadis 40 susunan Imam Nawawi:

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab radhiallahuanhu, dia berkata, “Saya mendengar Rasulullahshallahu`alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah danRasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.

Niat perlu sentiasa diluruskan hanya kerana Allah dan perlu diiringi dengan amal iaitu usaha yang gigih. Ya, natijah bukanlah urusan kita, tapi amal perbuatan kita memang urusan kita!

  1. Kamu ialah gambaran kepada Islam “انت صورة من صور الاسلام

Memegang gelaran “pelajar Syariah” secara tidak langsung menjadikan kita duta Islam (walaupun pada hakikatnya, setiap muslim ialah duta Islam). Setiap akhlak dan nilai yang kita tunjukkan akan sentiasa dilabelkan sebagai nilai Islam oleh kebanyakan orang awam. Semaklah diri kita kembali, adakah kita telah berakhlak dengan sebaiknya di hadapan masyarakat umum?

Bayangkan jika orang awam melihat pelajar Syariah mengisi masa lapang mereka dengan menonton drama Korea, scroll Instagram dan Facebook memanjang, komen mesra sana-sini lelaki dan perempuan, baca buku bahasa Arab di luar silibus juga boleh dibilang dengan jari, malah mungkin tidak ada!

Di mana nilai diri kita yang boleh mereka teladani? Tepukdada, tanyaiman di jiwakita.

  1. “Prinsip: Setiap pelajar pada asalnya ialah cemerlang kecuali ada dalil yang membuktikan sebaliknya” الاصل الطالب ممتاز ما لا يثبت بالعكس

Dr Amir ‘Atuum, pensyarah subjek Pasaran Kewangan dari Fakulti Ekonomi dan Perbankan Islam, Universiti Yarmouk mengajarkan prinsip ini kepada kami. Maksudnya, selagi mana seorang pelajar menunjukkan sikap positif dalam perjalanannya menuntut ilmu, dia ialah pelajar yang cemerlang kecuali apabila terzahir simptom-simptom bermasalah pada dirinya seperti selalu ponteng kuliah, tidak menyiapkan kerja rumah, kurang adab dan sebagainya.

Ringkasnya, mudah sahaja caranya jika kita mahu menjadi penuntut ilmu yang cemerlang – berakhlaklah dalam menuntut ilmu.

  1. Sifat orang islam ialah menghormati waktu

Dr Ahmad al-Khowasbeh, pensyarah subjek Perbankan Islam Kontemporari pula menyentuh tentang waktu. Dr memetik ayat 103 dari Surah An-Nisa’:

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.

Ibrah daripada ayat ini ialah betapa Allah mengajar orang muslim untuk menjaga dan menyusun waktu dalam kehidupan sehariannya. Jika solat yang merupakan ibadah terpenting seorang hamba mempunyai waktu tertentu untuk ditunaikan, begitu juga aktiviti seharian kita yang lain; perlu dirancang dengan baik kerana antara sifat muslim yang baik ialah menghormati waktu.

******

Misi kita besar. Oleh itu, perjalanan kita tak mudah.  Usaha kita perlu dilipat gandakan dengan sehabis mungkin.

Selamat membina diri untuk ummah.

Selamat menyusun kehidupan untuk mencapai redha Ilahi.

Selamat merancang menuju kemenangan untuk Islam yang kita cinta!

Asma’ Tajul Arifin

Pelajar Tahun 4, Jurusan Ekonomi dan Perbankan Islam, Universiti
Yarmouk, Jordan

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply