5 Perkara Jangan Buat Sekiranya Rakan Anda Mengalami Kemurungan – Fakhrur Radzi

0
4650
views

Depression atau tekanan adalah antara topik yang paling jarang dibincangkan dalam dunia Muslim. Mungkin kita lupa, seorang Muslim itu tetap seorang manusia biasa yang mempunyai elemen manusiawi.

Lebih malang apabila depression seringkali dikaitkan dengan amalan rohani yang kurang atau lemahnya hubungan dengan Allah.

Tidak dinafikan, secara naqli, jelas Allah berfirman, hanya dengan menginti-Nya hati manusia akan menjadi tenang.

Tetapi dari sudut lain, seorang insan itu terdedah kepada pelbagai dimensi kehidupan. Suka, duka, gembira dan sedih. Pasti ianya memberi kesan kepada hati dan emosi.

Disebabkan simptom yang tidak ketara, ramai dari kalangan kita kadangkala sukar mengenalpasti ada keluarga atau rakan terdekat yang mengalami depresi.

Ketahuilah, bagi seseorang yang mengalami depresi, sokongan orang terdekat adalah paling bermakna.

Jadi bagaimana anda harus bertindak untuk membantu rakan atau keluarga anda yang mengalami depresi?

  1. Jangan sesekali pandai-pandai tunjuk pandai

Masalah kita adalah, apabila ada rakan yang mengadu masalah, menceritakan penderitaan emosi mereka, kita terus “melompat” memberikan solusi kepada masalah mereka.

Seolah-olah kita faham sangat keadaan mereka ketika itu!

Jangan bersimpati dengan keadaan mereka, tetapi yang lebih tepat adalah empati. Cuba letakkan diri anda di tempat mereka.

Mereka perlukan teman untuk bercerita, dalam pada masa sama mereka tidak mahu di’judge’. Berhenti menjadi judgemental.

Fokus untuk memahami keadaan mereka (walaupun anda tidak rasa apa yang mereka lalui). Elakkan memberi jalan penyelesaian bagi masalah yang anda dengar dari mereka.

Percayalah, mereka akan bertambah tertekan sekiranya anda berbuat demikian.

  1. Jangan sesekali buat mereka rasa bersalah

Perkara ini mungkin ramai antara kita pernah lakukan.

Ketahuilah, walaupun niat anda baik ingin membantu, ayat sebegini langsung tidak membantu, malah menjadikan keadaan lebih buruk.

“Cuba kau tengok orang tu, lagi teruk daripada kau. Kau patut bersyukur!”

“Itulah, kita manusia ni selalu tak bersyukur. Semua benda tak kena.”

Orang yang mengalami depresi sedang menghadapi tekanan dari dalam diri. Apabila ditambah dengan kata-kata sebegini, akan menambahkan lagi tekanan mereka.

Bersalah dan merasakan diri mereka bukanlah seorang Muslim yang baik kerana tidak bersyukur, tekanan semakin bertambah-tambah.

Ya memang benar, sekiranya fikiran dan emosi mereka stabil, mereka akan dapat melihat nikmat dan rahmah yang Allah berikan kepadanya terlalu banyak.

Tetapi amat sukar bagi mereka untuk melihat semua itu kerana fikiran dan emosi yang terganggu.

Cubalah sedaya upaya untuk jauhi kaedah sentap menyentap macam ni. Ia langsung tidak membantu.

  1. Jangan persoalkan usaha mereka untuk berubah.

Orang yang berada dalam keadaan depresi, sebenarnya mereka sedang cuba menghukum diri mereka sendiri.

Mereka sering merasakan diri tidak berguna, rendah jati diri, tiada harapan dan tanpa masa hadapan yang baik.

Mereka dalam fasa tidak stabil. Anda tidak nampak tapi masalah ada di dalam mereka.

Bayangkan ada rakan anda yang sedang demam. Kebiasaannya mereka akan sakit kepala, selsema dan kadangkala cepat marah.

Adakah anda tergamak mengatakan mereka itu pemalas, hanya kerana mereka tidur lebih lama daripada biasa, mengambil MC atau tidak hadir ke sekolah.

Anda sendiri pernah demam, anda tahu rasanya!

Oleh itu, bagi rakan yang mengalami depresi tadi, tidak perlu anda katakan kepada mereka perkataan yang bakal menyakitkan lagi hati mereka.

Mempersoalkan kenapa asyik murung. Kenapa bad mood. Asyik marah-marah.

Itu semua sebahagian daripada proses. Jika anda sahabat yang baik, anda akan terus bersabar. Menjadi pendokong yang setia.

  1. Jangan terasa hati atau marah jika mereka menjauhkan diri dari anda

Ini antara perkara paling ketara apabila sesorang itu mengalami depresi. Mengasingkan diri.

Kemurungan akan menyedut banyak tenaga daripada badan dan minda. Sebab itu, mereka yang murung lebih gemar untuk menyendiri.

Oleh itu, anda sebagai rakan harus peka akan tanda-tanda seperti ini.

Jangan anda pula yang berlebihan emosi apabila mereka tidak membalas mesej atau tidak mahu berjumpa anda.

Walaubagaiamanpun, usahakanlah untuk berjumpa dengan mereka.

Ajak mereka beraktiviti di luar. Buat sampai mereka membuka mulut menceritakan masalah mereka kepada anda.

Sekalipun mereka tidak mahu, pujuk mereka! Jogging, minum kopi dan bersembang.

Wujudkan dunia lain bagi mereka. Agar mereka ada ‘kehidupan lain’ selain dari dunia depresi mereka.

  1. Jangan cuba nak jadi pakar terapi jiwa

Keprihatinan anda kepada rakan anda tidak sepatutnya menjadi justifikasi untuk anda memberikan ‘ubat’ dalam keadaan anda sendiri bukan seorang pakar psikologi.

Anda perlu tahu, di tahap mana kroniknya kemurungan rakan anda.

Mungkin sudah sampai ke tahap perlu dibawa berjumpa pakar. Kerana mereka lebih arif dan tahu bagaimana untuk merawat rakan anda.

Dikhuatiri apabila anda bertindak ‘bijak’ dengan cuba menjadi pakar, keadaan aka bertambah buruk.

Gunakan kebijaksanaan anda itu untuk membawa mereka berjumpa pakar.

Kita semua maklum rakyat Malaysia masih lagi taboo apabila berbicara perihal sakit mental. Yakinkan mereka berjumpa pakar sakit jiwa bukan bermakna dia sudah menjadi gila.

Kesimpulannya, sekiranya anda mempunyai rakan yang mengalami kemurungan, cubalah sedaya yang mungkin untuk membantu.

Jangan tambah tekanan mereka, jangan cuba memandai dan jangan tergopoh untuk membantu mereka dengan harapan mereka cepat sembuh.

Ingat kembali sebuah hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, barangsiapa yang menghilangkan kesukaran dan kedukaan seorang Muslim di dunia, Allah akan menghilangkan pula kesukarannya di Hari Akhirat.

 

 

 

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply