5 Sebab Kenapa Anda Perlu Berusaha Mempelajari Bahasa Arab – Ust Kamilin Jamilin

0
230
views

young-arab-man-isolated-white-32810853

1. Kita semua sedia maklum, cabang-cabang ilmu Islam ini pelbagai. Justeru tahap tuntutan mendalami bahasa arab ini juga PELBAGAI.

Sebahagian cabang tersebut tidak memerlukan kepakaran yang mendalam terhadap bahasa arab, sebagai contoh:

Ilmu-ilmu yang bergantung banyak pada nukilan dan periwayatan, seperti mereka yang medannya sekadar menukil dari kitab-kitab tafsir, atau fiqh misalnya, kerana mereka ini sekadar menukil dari tokoh-tokoh yang sememangnya pakar dalam bidang tersebut.

Begitu juga ilmu yang hanya menumpu pada pengkajian riwayat serta pentashihan hadis tidak memerlukan kesenian arab yang tinggi. Cukup sekadar memahami bahasa arab versi ilmu hadis yang berkaitan.

2. Ada juga cabang-cabang ilmu yang menuntut penuntutnya mendalami kesenian arab yang tinggi, khususnya yang melibatkan proses istinbat, kerana bahasa merupakan salah satu justifikasinya berikutan wahyu diturunkan dalam bahasa arab bersebab.

Justeru untuk memahaminya, wajib untuk memahami lafaz, makna, uslub, struktur mengikut bahasa arab yang menjadi perantaraan bahasa Allah dan Rasul-Nya.

Ini tugas seorang ulama dan penuntut takhassus ilmu syar’iy. Terkadang suatu arahan boleh mambawa maksud sindiran dan ancaman menurut konteks bahasa arab!

Satu kalimah kecil “wa” boleh sahaja membawa makna selain “dan” seperti maksud bersama dan sebagainya yang memberi impak terhadap pemahaman nas.

Ustaz Kamilin Jamilin
Ustaz Kamilin Jamilin

3. Banyak penyelewengan golongan-golongan “agama” berlaku kerana memahami nas mengikut bahasa tempatan semata-mata tanpa meraikan bahasa asalnya…

Misal mudah: Hadis “لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِالذَّبْحِ”. Secara literalnya kalimah “al-dzabh” di situ bererti sembelih, maka muncullah mereka yang kurang memahami kesenian arab menganggap Islam sememangnya menganjurkan membunuh manusia lain dengan cara sembelihan binatang (seperti yang banyak berlaku di pelbagai negara yang berkonflik kini).

Sedangkan dalam bahasa arab memerlukan pelbagai faktor (qarinah) untuk menentukan maksudnya secara tepat mengikut konteks ayat.

4. Pandangan saya: Bahasa arab masih lagi dan selamanya akan menjadi bahasa ilmu agama yang menjadi tuntutan untuk mereka yang mahu menjadi mahir/pakar dalam ilmu syarak ini.

Kerana ia bahasa asal al-Quran dan junjungan kita SAW.

Namun tahap tuntutan mendalaminya sama ada lebih atau kurang buat setiap individu itu boleh jadi berbeza mengikut objektif, misi, dan nature bidang.

Menjadi seorang faqih hukum hakam tidak sama tuntutan mendalaminya seperti mufassir yang memerlukan lebih umpama ilmu balaghah, isytiqaq, huruf, al-ma’aniy dan seumpamanya.

Mereka yang ingin menjadi muhaddith juga tidak sama tahap tuntutannya dengan mereka yang ingin belajar agama semata-mata untuk mengatasi kejahilan diri atau beramal dengan amalan yang sahih secara taqlid.

5. Pada masa yang sama, saya melihat proses penterjemahan suatu yang sangat penting untuk membantu kerancakan perkembangan ilmu dalam masyarakat supaya kesyumulan ilmu agama itu dapat dikongsi bersama umat.

Setidak-tidaknya ia sebagai alat yang berkhidmat kepada ilmu dan masyarakat setempat yang pelbagai misi, zhuruf, dan latar belakang.

Apa yang utama, kemahiran dan mutu penterjemahan perlu dipertingkat supaya ketulenan ilmu itu dapat dipelihara. Barangkali garis panduan teras perlu dirangka demi tujuan tersebut.

Tidak dinafikan proses menterjemah suatu kitab memerlukan usaha yang “superb” bergantung pada ke”superb”an kitab itu.

Disebabkan keunikan bahasa arab ini yang rumit dan berseni tinggi, penterjemahan perlu mengikut rentak dan corak bahasa arab supaya tidak lari maksud, namun pada waktu yang sama perlu meraikan ta’bir bahasa tempatan supaya sampai maksud.

Itu cabarannya!

Dan setiap usaha dan cabaran itu pasti ada kebaikan tersendiri.

Sumber dari Laman Facebook Ust Kamilin Jamilin

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply