7 Perumpamaan Mukmin Menurut Hadith – Amir ‘Izzuddin

0
179
views

Sambutan tahun baru 2017 baru sahaja berlalu. Seperti biasa, lambakan coretan ucapan & azam memenuhi ‘wall’ mukabuku penulis. Ada yang berkongsi suka dan duka, ada pula yang berkongsi azamnya bagi tahun yang mendatang.

Bagi penulis, tahun baru ini merupakan nikmat Allah yang perlu disyukuri, sekaligus satu peluang untuk memperbaiki diri sendiri kerana tanpa sedari umur kita semua semakin meningkat. 

Namun, sebelum itu apakah pernah anda bertanya, apakah erti hidup ini sebagai Mukmin?

Persoalan ini bermain di benak pemikiran ketika penulis sedang merangka tajuk artikel ini.

Jika kita telusuri Sirah Nabawiyah, pasti kita ketemu dengan pelbagai kisah Rasul Allah Muhammad s.a.w. yang mengajar para Sahabat r.a. melalui perumpamaan ataupun perlambangan.

Perumpamaan-perumpamaan yang digunakan Rasul Allah s.a.w. bukan sekadar perumpamaan kosong tetapi mempunyai hikmah bagi mereka yang menggunakan aqal untuk berfikir (baca : Ulul Albab). Allah berfirman dalam al-Quran Surah ali-‘Imran ayat 191, 

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًاسُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“(yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan Kami, Tiadalah Engkau menciptakan ini dengan SIA-SIA, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”

img_7175

Bagi membuka tirai tahun baru ini, penulis ingin berkongsi tentang 7 Perumpamaan Mukmin Menurut Hadith. 

HADITH 1 : MUKMIN IBARAT POHON

مَثلُ المؤمنِ كمثلِ الزَّرعِ لا تزالُالرِّياحُ تَفيئُه ، ولا يزالُ المؤمنُيُصيبُه البلاءُ ، ومَثلُ المنافقِ كمَثلِ شجَرِ الأَرْزِ لاتهتزُّ حتَّى تُسْتحْصَدَ.

“Perumpamaan seorang Mukmin seperti tanaman, angin menerpanya ke kiri dan ke kanan. Seorang Mukmin senantiasa mengalami cubaan. Sedangkan perumpamaan orang munafik seperti pohon yang kuat tidak pernah digoyangkan angin sehingga ia ditebang.”

[HR Abu Hurairah, Kitab Targhib wa Tarhib m/s 221, Hadith Sahih, Hasan dan yang menghampiri keduanya]

Ujian kepada Mukmin di dunia ini merupakan satu kebiasaan yang telah ditempuh oleh Para Anbiya’ dan Salafus Soleh sebelum ini. Kisah Rasul Allah s.a.w. sepatutnya menjadi tauladan kepada kita dalam menegakkan syariat Allah.

Rasul Allah s.a.w. menanggung penderitaan yang amat berat ketika di Taif mahupun di dalam siri-siri peperangan Baginda namun Baginda tidak pernah berputus asa. Dunia ini sememangnya penjara bagi Mukmin, tidak ditempa dengan karpet merah mahupun bunga-bunga.

Sebaliknya bagi kaum Munafik, dunia ini syurga bagi mereka sehinggalah tiba masanya Allah mencampakkan mereka ke dalam neraka buat selama-lamanya.

HADITH 2 : MUKMIN IBARAT BANGUNAN

إنَّ المُؤمِنَ للمُؤْمِنِ كالبُنيانِ،يَشُدُّ بَعضُهُ بَعضًا.

“Sesungguhnya orang Mukmin dengan orang Mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagian menguatkan sebahagian yang lain.” 

[HR Bukhari, Sahih Bukhari m/s 481, Hadith Sahih]

ikatan-mukmin

Ukhuwwah merupakan asas kei’zzahan ummah. Sejarah membuktikan apabila tentera-tentera Islam menang mengalahkan tentera Kuffar yang bilangan mereka jauh lebih besar berbanding tentera Muslimin seperti di dalam Ghazwah Badar. Tanpa ukhuwwah, ummah pasti lemah, dihenyak dan tidak dihormati.

Kerana itu, ukhuwwah tidak patut dianggap remeh kerana kesannya cukup besar bagi masa depan ummah. 

HADITH 3 : MUKMIN IBARAT TUBUH BADAN

مَثلُ المؤمنين في توادِّهموتراحُمِهم وتعاطُفِهم ، مَثلُا لجسدِ . إذا اشتكَى منه عضوٌ ، تداعَى له سائرُ الجسدِبالسَّهرِوالحُمَّى.

“Perumpamaan kaum Mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” 

[HR. Muslim, Sahih Muslim m/s 2586, Hadith Sahih]

Apakah signifikan Rasul Allah s.a.w. membuat perumpamaan ibarat tubuh badan? Pastinya punya rahsia tersendiri. Benar kata Rasul, dalam hal saling mencintai antara Mukmin, perlunya ada sikap ambil berat & prihatin yang tinggi.

Ini kerana Mukmin sebahagian daripada ummah, sekiranya kesusahan tertimpa kepada saudaranya, maka pertolongan perlu diberikan, bukannya berpeluk tubuh, bersimpati, dan empati. Satu untuk semua, semua untuk satu!

HADITH 4 : MUKMIN IBARAT CERMIN

عن أبي هريرةَ قالَ المؤمِنُ مرآةُالمؤمنِ إذا رأى فيهِ عَيبًا أصلحَهُ.

“Seorang Mukmin adalah cermin bagi saudaranya. Jika dia melihat suatu aib pada diri saudaranya, maka dia memperbaikinya.”

[Albani, Adabul Mufrad m/s 177, Hadith Hassan]

Man looking at reflection in window

Cermin sifatnya memantul. Memantul bukan sekadar kelebihan tetapi juga kekurangan. Dalam halnya terlihat kekurangan pada Mukmin lain, kekurangan itu segera diperbetulkan.

Mudah kata, Mukmin sentiasa akan membawa imej Mukmin yang lain serta saling islah sesama mereka sekaligus menghidupkan amalan amar ma’ruf dan nahi munkar.

HADITH 5 : MUKMIN IBARAT LEBAH

مَثَلُ المؤمنِ مَثَلُ النَّحلةِ ، إنأكلت طيِّبًا ، و إن وَضعَتْوضعتْ طَيِّبًا ، و إن وقعتْ على عودٍ نَخِرٍ لمم تكسِرْه.

“Perumpamaan seorang Mukmin seperti lebah, apabila ia makan maka ia akan memakan suatu yang baik. Dan jika ia mengeluarkan sesuatu, ia pun akan mengeluarkan sesuatu yang baik. Dan jika ia hinggap pada sebuah dahan untuk menghisap madu ia tidak mematahkannya.”

[Albani, Sahih Jami’ m/s 5846, Hadith Hassan]

Apa yang boleh kita fahami melalui hadith ini ialah orang Mukmin hanya melakukan yang baik-baik sahaja, makan yang baik-baik, berkata yang baik-baik. Apapun keadaannya, ia akan berusaha melakukan yang baik-baik.

Jadilah seperti lebah, sentiasa mencari yang baik-baik. Jangan jadi seperti lalat, sentiasa mencari yang kotor, hinggap pada yang kotor, serta penyebar penyakit dan kekotoran.

HADITH 6 : MUKMIN IBARAT POKOK TAMAR

مثلُ المؤمنِ مثلُ النخلةِ ، ماأخذتَ منها من شيٍء نفعَك.

“Perumpamaan seorang Mukmin itu seperti pohon kurma, apapun yang engkau ambil darinya pasti bermanfaat bagimu.” 

[Albani, Silsilah Sahihah m/s 2285, Sanad Sahih dan Rijalnya Tsiqah]

Sebaik-baik manusia ialah manusia yang bermanfaat. Begitulah halnya bagi Mukmin, di mana pun ia berada, di mana pun ia berkata, orang ramai boleh mengambil manfaat darinya. Tidak tersisa sesuatu pun untuk dibazirkan melainkan manfaat semata-mata. Selamanya amalan kebaikkan itu mengalir. 

img_2861

HADITH 7 : MUKMIN IBARAT EMAS

و مَثَلُ المؤمنِ مثلُسبيكةِ الذَّهبِ ، إن نفخْتَ عليهااحمرَّتْ ، و أن وُزِنَت لم تَنقُصْ.

“Perumpamaan seorang Mukmin seperti lempengan emas, kalau engkau meniupkan (api) diatasnya ia menjadi merah, kalau engkau menimbangnya, tidaklah berkurang.”

[Albani, Sahih Jami’ m/s 5846, Hadith Hassan]

Menjadi Mukmin seumpama menjadi emas, kukuh, tidak cepat luluh dan menyerah dengan keadaan. Ia tetap kukuh istiqamah berpijak di atas kebenaran, tidak mudah melebur dan mengikuti arus perubahan begitu sahaja. Mukmin mesti kuat berpegang pada prinsip. Prioriti hidupnya jelas. 

KESIMPULAN

Sebenarnya masih banyak lagi perumpamaan-perumpamaan yang disampaikan oleh Rasul Allah s.a.w. melalui Hadith dan al-Quran tetapi ini sahaja yang sempat penulis sertakan untuk artikel kali ini sebagai membuka tirai tahun baru 2017. 

Semoga tahun baru ini, kita dapat merealisasikan untuk menjadi Mukmin seperti yang diumpamakan Rasul Allah s.a.w. sekaligus ilmu-ilmu ini kita sampaikan kepada insan-insan yang lain. Jika ditanya azam penulis bagi tahun ini, penulis akan menjawab, “Penulis mahu jadi seperti mata air, di mana pun ia mengalir, ia sentiasa bermanfaat.”

WaAllahua’lam.

Amir ‘Izzuddin bin Muhammad. Mantan Yang Dipertua Perwakilan Mahasiswa USIM DQ, Mahasiswa Tahun akhir Jurusan Quran Sunnah USIM.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply