7 Tahun

2
25
views
apa itu tarbiyah
(Kredit Bersamadakwah)

 

2014. Tahun terakhir aku di bumi Eropah. Bergelar anak perantau untuk 7 tahun bukanlah sesuatu yang aku impikan. Kegelisahan arwah uwan jelas tertera di mukanya tatkala berita tawaran belajar ke luar negara untukku sampai ke telinganya. Mana mungkin mudah untuk melepaskan cucunya yang di anggap chengeng ini. Sejarahku yang saban minggu menelefon mama di rumah sepanjang 5 tahun di sekolah berasrama penuh menjadi bualan dan ulangan risaunya. Acapkali kisah ini menjadi bahan gurauan dan usikkan ahli keluargaku. Si kuat menangis ingat belajar jauh di bumi 4 musim!!

 
Kini akulah puteri mama yang paling jarang bersamanya. Tiada memori menyambut ulang tahun kelahiran abang-abangku, kakakku,adikku dan mamaku sepanjang 7 tahun ini. Tidak terhitung majlis undangan yang terpaksa aku tolak. Tidak terbilang majlis aqiqah anak-anak sahabatku yang tidak dapat aku hadiri. Malah aku hanya sempat menghabiskan masa dengan uwan 2 minggu sebelum pemergiannya menghadap Ilahi. Itupun ketika dia sudah di pembaringan. Lalu ketika terpaksa pulang kembali ke tanah Eropah ini, dalam pilu, hatiku berseru dan bertanya –apa yang aku PEROLEHI dengan 7 TAHUNKU ini?

 
…………………………………………………………………………………………………………………………………….
Tarbiyah. Islam sebenar. Itulah jawapan yang dapat aku berikan. Ja benar. Bukan teknologi canggih di bumi Jerman ini atau budaya mereka yang sangat „open-minded“dan „critical thinking“dalam setiap aspek, mahupun biasiswa yang aku terima paling aku hargai, tetapi tarbiyah yang aku kenal di bumi ini,yang majoritinya beragama Kristian. Di sinilah aku mula mengenal tuhan pencipta alam, di sinilah aku mengenal Quran bersaiz A6 dan terjemahannya di dalam bahasa indonesia,di sini jugalah aku sedar betapa jahilnya aku tentang agama yang aku anuti sejak azali. Ironi? Clichè? Mungkin bagi sesetengah orang. Tetapi tidak bagi diriku.

 
Aku tidak menolak, hatiku tetap terhibur dengan percutian eropahku ke negara lain, dengan winter mahupun summer sale, dengan mesin-mesin canggih sepanjang pengajianku, dengan ketepatan sistem pengangkutannya serta beraramah mesra dan berkawan dengan mamat dan minah mat salleh bermata biru,hijau ataupun perang sambil bertutur dalam bahasa asing.Tetapi sampai di satu ketika,hatiku terlalu dahaga. Dahaga yang tidak hilang dengan tegukan air, yang tidak padam dengan melihat tukaran duit Euro ke RM, lagu-lagu barat,negara seberang mahupun kpop, yang tidak lega dengan melihat Eiffel Tower, Berlin Wall, Big Ben, Neuschwanstein Castle dan pelbagai lagi ciptaan manusia yang hebat dan gah. Dahaga itu tidak hilang.Malah semakin haus dan menyesakkan dada. Lalu kedatangan seorang hamba Allah, yang mulanya di sambut dengan malas dan culas olehku, membentangkan sebuah jalan untuk aku mencari minumanku yang sebenar. Mencari tempat untuk aku membasahkan tekak. Rupanya bukan tegukkan biasa yang aku cari. Tetapi adalah tegukan kasih sayang dan rahmat dari Dia yang Esa. Dahagaku hilang dengan esakkan air mataku.

 
Nein,nein, tak. Bukan selalu aku di jalan yang benar. Ada juga waktunya aku lupa dan alpa lalu mencari kembali kebahagiaan yang fana itu. Alhamdulillah ada sahahat dan keluarga yang mengingatkanku tentang kebahagian dunia ini asyiknya hanya sementara. Semakin aku teguk,semakin tekak itu dahaga. Menolak tegukan manisannya dunia bukan proses yang sehari dua, tetapi sepanjang hayat,selagi nafas bersemi. Kerana tegukan dunia sangat lazat, enak dan terlalu sedap manakala tegukan akhirat itu payau, rasanya kosong, kadang kala loya tekak untuk menelannya. Tetapi analoginya seperti ubat. Memang pahit tetapi menyihatkan.

 
Lalu apa sajianku untuk 7 TAHUNKU ini? Mama, abah serta keluargaku, adik di sini bukanlah pelajar yang bijak pandai. Apatah lagi untuk mencapai keputusan yang hebat dan cemerlang bukanlah sesuatu yang adik yakini adik dapat melakukannya. Malah adik juga tidak dapat membawa pulang ribuan ringgit malaysia untuk mama dan abah dari simpanan biasiswa adik.Tetapi..

 
Izinkanlah adik membawa pulang diri seorang anak yang solehah. Izinkanlah adik menggantikan pulangan harta dengan amal jariah.
Abang, maaflah adik, adik tidak dapat membelikan baju hard rock cafe untuk syahirah dan amirah sempena hari jadi mereka yang ke 3. Izinkanlah adik menghadiahkan mereka doa seorang musafir supaya mereka menjadi anak-anak yang solehah untukmu. Moga adik juga tergolong dalam golongan musafir yang termakbul doanya.

 
Akak, maaflah adik kerana tidak dapat berkongsi cerita-cerita gosip dan bershopping denganmu. Izinkanlah adik menggantikannya dengan gambar-gambar doa dan kronologi kisah umat yang sarat sakit di tingkap whatsapps mu itu. Bukan adik tidak mampu membeli beg longchamp merah tempoh hari, tetapi adik lebih senang untuk menginfaqkannya ke tabung Palestine dan Syria. Semoga Allah menerima amal itu dengan namamu. Maafkanlah juga diri adik ini yang selalu memberi ceramah percuma padamu. Tiada niat berlagak pandai di hadapanmu hanya kerana adik menuntut di luar negara. Adik hanya terlalu sayangkan satu-satunya kakak adik ini. Tiada galang gantinya.

 
Uwan, maafkanlah adik kerana lewat pulang. Adik terlalu rindukan uwan hingga kadang-kala adik bertekad untuk menetap terus di bumi pengajian adik ini.Kain batik uwan menjadi pengubat rindu dan pengelap air mata adik. Adik terlalu takut untuk mengadap katil kosong di rumah paksu itu. Tetapi dengan pemergianmu uwan, adik sedar, tiada tempat di dunia ini lagi untuk adik dapat menatap wajahmu, tiada lagi kehebatan sains yang dapat menghantar suaramu setiap bulan. Yang ada hanyalah akhirat. Dan yang paling indah, untuk bertemu dan bersamamu uwan di syurga. Di rumah abadiNYA. Dan ketika itu, adik mengharapkan agar pertemuaan kita penuh dengan tangisan kegembiraan yang kekal.

 
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan“ At Tahrim, 66 : 6

 
InsyaAllah, jika di izinkan tuhan, tempoh 7 TAHUNKU sudah berakhir. Aku gusar dan gelisah untuk melakar langkah baru di bumi kelahiranku sendiri. Seperti pulang ke negara asing- riak hati seorang pelajar luar negara. Bukan semua. Hanya aku yang rasa begitu. Mampukah aku berbajukan tarbiyahku ini bila aku pulang nanti? Mampukah aku beralaskan tadhiyah dan terus tajjarud? Semoga tempoh 7 tahunku di bumi Eropah menjadi tunjang untuk aku terus mandiri memacak panji agamaMU di bumi Malaysia untuk lebih dari 7 tahun itu. Semoga Allah merahmati aku dan keluargaku.

 

Penulis : Basyirah

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

2 COMMENTS

  1. 7 tahun bertahun kelana di negara orang. Sudah tentu masak dengan cabaran dan masyarakat asing disana. Kadang kala melihat apa yang berlaku di nagara sendiri adalah lebih kuah dari sudu. Membesar-besarkan isu yang kecil dan remeh. Pernah terbaca sebuah sajak tetapi saya sudah lupa tajuknya ia mempunyai isi bait-bait bahasa yang membuka minda saya. Lebih kurang maksud puisi tersebut, kita lebih menghargai tanah air apabila berada diluar negara.dan diluar kempompong.

  2. baca paragh 1, dah tau siapa penulisnya..

    ah kak.. kau begitu puitis.. aku pasti merindukanmu..

    Moga rabitah yang dibaca, terus menguatkan kita, walau kita jauh tak bertemu mata..

Leave a Reply to anne Cancel reply