Ada Apa Dengan Hari Nakbah

0
629
views

ada apa dengan hari nakbah

Awal abad ke-20 menyaksikan siri kejatuhan empayar dunia Islam sebelum Khilafah Uthmaniah benar-benar terbubar pada tahun 1924. Tamadun Islam yang berusia ratusan tahun itu akhirnya tunduk menyembah bumi apabila pemimpin dan umat Islam tidak lagi berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Situasi ini sebenarnya telah membuka peluang kepada musuh Islam. Peluang keemasan yang ditunggu-tunggu itu, tidak disiakan begitu sahaja, rencana yang telah dirancang sekian lama terus dilaksanakan.

15 Mei mengingatkan kita kepada Hari Nakbah; malapetaka besar buat umat Islam di Palestin khususnya dan juga seluruh dunia. Lebih 700,00 ribu rakyat Palestin menjadi pelarian pada tahun itu. 15 Mei hanyalah satu tarikh rasmi legitimasi penjajahan Zionis ke atas bumi Palestin.

Hakikatnya telah banyak kekejaman yang mereka lakukan terhadap penduduk asal bumi itu. Antaranya termasuklah pencerobohan tentera Zionis ke atas Bandar Deir Yassi dekat Jerussalem.

Kesannya?
600 orang penduduk bandar itu terkorban sama ada mati mempertahankan rumah mereka ataupun terkena letupan bom yang dilancarkan oleh tentera Zionis.

Dari sisi pandang lain, 15 Mei 1948 merupakan Hari Kemerdekaan buat Bangsa Zionis. Hari tertubuhnya negara haram mereka; Israel.

Sejak tertubuhnya gerakan Zionis, impian mereka untuk memiliki tanah sendiri yang merdeka akhirnya menjadi kenyataan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendatangkan satu resolusi bagi menangani krisis orang Arab Palestin dan orang Yahudi Zionis; Two State Solution.

Bumi Palestin akhirnya terpecah dua; Palestin untuk penduduk Arab yang asal dan Israel untuk kaum Yahudi yang datang menjajah.

Latar Belakang Nakba

Bangsa Yahudi yang terpecah-pecah dan merempat di serata dunia akhirnya bangun dan bersatu membentuk satu gerakan yang dinamakan Gerakan Zionis; diasaskan oleh Theodor Herzl. Gerakan yang berpusat di Eropah ini antaranya menyasarkan untuk memiliki sebuah negara merdeka untuk bangsa Yahudi.

Pada tahun 1987, Kongress Pertama Zionis menghasilkan satu keputusan untuk menjadikan Palestin sebagai negara baru mereka. Cuma pada ketika itu, Palestin adalah wilayah di bawah kuasa Empayar Uthmaniah. Sekalipun Theodor Herzl  menawarkan 150 Juta Pound British kepada Sultan Abdul Hamid II, sebagai tukaran kepada tanah Palestin, baginda tetap menolak. Oleh itu, impian dan hasrat mereka tidak boleh menjadi kenyataan secara mutlak.

Namun keadaan mula bertukar arah dan berpihak kepada gerakan Zionis apabila meletusnya Perang Dunia Pertama. Turki Uthmaniah yang bergabung dengan Jerman dan Austria-Hungary membentuk Kuasa Pusat (Central Power), kalah  pada Tentera Bersekutu (The Allies) pada tahun 1918.

Perjanjian Sykes-Picot

Sempadan geografi dunia Timur Tengah hari ini hanyalah semata-mata garisan pensil yang dilukis secara rahsia di atas peta Tanah Syam (The Levant) pada Mei 1916; dua tahun sebelum tamatnya Perang Dunia Pertama.

Perjanjian yang ditandantangani antara Britain dan Perancis ini antara perjanjian yang paling khianat yang terjadi dalam sejarah peradaban manusia. Tujuannya adalah untuk membahagikan wilayah Timur Tengah (jajahan Uthmaniah) apabila Kuasa Pusat kalah nanti.

Sir Mark Sykes dan François Georges-Picot, adalah wakil yang dilantik oleh kerajaan British dan Perancis bagi menandatangani perjanjian ini. Perjanjian sulit ini telah memecahkan tanah jajahan Islam kepada wilayah-wilayah baru di bawah kuasa British, Perancis, Rusia dan Itali. Melalui perjanjian ini British mendapat kawasan sekitar Laut Mediterranean; Jordan dan Selatan Iraq.

Perjanjian ini tidaklah memberi kesan secara langsung terhadap pembantaian umat Islam di Palestin. Tetapi sekurangnya perjanjian ini telah memecahbelahkan wilayah-wilayah Islam yang sebelumnya bersatu di bawah Uthmaniah. Akhirnya menyebabkan Islam lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa bila Zionis dengan rakusnya menjarah tanah suci umat Islam itu.

Deklarasi Balfour

Sebelum perang berakhir lagi, tentera Britain telah berjaya menawan bumi Palestin. Kerajaan British melalui setiausaha luarnya, Arthur Balfour mengeluarkan satu deklarasi yang menyatakan sokongan British kepada gerakan Zionis dalam membentuk sebuah Negara Bangsa Yahudi.

Selepas tamat Perang Dunia Pertama, Palestin menjadi sebuah negara di bawah mandat British. Dengan mandat yang diterima British ke atas tanah Palestin, penghijrahan bangsa Yahudi ke Palestin semakin besar dan bertambah dari tahun ke tahun (memenuhi tuntutan Deklarasi Balfour).

Mengikut data bancian dari British, dalam jangka masa 25 tahun – 1922 hingga 1945, populasi Yahudi di Palestin meningkat dengan mendadak dari 11% kepada 31% bersamaa 553,600 orang. Jelas sekali perjanjian khianat ini sebenarnya menjadi pintu masuk kepada permulaan penjajahan bangsa Yahudi Zionis dan menghalau penduduk asal Palestin.

Perkara ini amat membangkitkan kemarahan rakyat tempatan Palestin. Berlaku rusuhan dan pertempuran kecil antara penduduk asal dengan Yahudi Zionis. Ketegangan antara Arab dan Yahudi semakin bertambah saban tahun yang akhirnya menyebabkan British gagal mengawal jajahannya itu lalu meninggalkan Palestin.

Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang baru saja ditubuhkan telah mencadangkan suatu penyelesaian (kalau boleh dikatakan penyelesaian) demi mengelakkan lebih banyak angka korban dan mengendurkan keadaan di Palestin.

Cadangan itu diberi nama United Nation Partition Plan for Palestine; yang membawa kepada two state solution. Negara Palestin terbahagi dua; Palestin untuk orang Arab Palestin (penduduk asal) dan Israel untuk bangsa Yahudi Zionis (pendatang).

Tepat pada 14 Mei 1948, British melepaskan mandatnya di Palestin dan keluar secara rasmi dari negara itu. Rentetan dari hal itu, Zionis mengisytiharkan penubuhan sebuah negara baru yang merdeka; Israel. Tarikh itu menjadi tarikh kemerdekaan buat mereka. Tetapi bagi rakyat asal Palestin, ianya malapetaka besar. Nakbah!

Lanjutan daripada perisytiharan itu, barulah bangkit Negara Arab di sekeliling Palestin membantah tindakan Zionis itu. Akibatnya, tercetus lah Perang Arab-Israel pada tahun itu.

Begitulah serba sedikit tentang Hari Nakbah yang disambut saban tahun pada 15 Mei 1948. Semoga tarikh ini bukan sahaja terus diingati tetapi kita berusaha belajar dan memahami apa sebenarnya yang terjadi disebaliknya seterusnya menjadikan peristiwa ini sebagai pedoman umat Islam di masa akan datang.

[su_box title=”Penulis” box_color=”#000000″ radius=”1″]

Fakhrur Radzi Ahmad Fuad

[/su_box]

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply