Adakah Al-Awda Sebuah Misi Yang Gagal? – Usaid Asmadi

0
2053
views
Wakil tunggal Malaysia yang ditahan tentera Israel di Penjara Givon, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh

Beberapa hari yang lepas, wakil tunggal dari Malaysia iaitu Dr. Afandi Saleh dalam misi flotilla ke Gaza sudah dibebaskan oleh Israel.

Cerita tentang pembebasan Dr. Afandi ni, saya teringat semasa Dr. Fauziah sertai misi Women’s Boat to Gaza. Lebih menarik, tempoh penahanan mereka dua lebih kurang sama; 36 jam.

Cerita pasal misi ni saya dapat beberapa soalan menarik daripada kawan-kawan saya.

Antaranya ada yang tanya, misi ni gagal ke bila ubat-ubatan yang berkos RM61000 gagal sampai ke Gaza?

Kenapa kena buat misi ikut jalan laut?

Kenapa tak ikut darat atau naik kapal terbang?

Saya dapat juga soalan, kenapa misi ni penting?

Sebelum kita cerita tentang berjaya ke tidak ini, saya fikir kita kena faham beberapa benda asas tentang misi ni.

Misi ni dinamakan Right To Just A Future Palestine. Dianjurkan oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang mana satu NGO yang menghimpunkan beberapa kumpulan dan gerakan yang memperjuangkan isu Palestin dengan hasrat besar mereka adalah untuk memecahkan kepungan Israel yang dikenakan ke atas Palestin.

Setakat direkodkan sudah sebanyak 17 misi melibatkan 33 buah kapal sejak 2010.

Misi kali ini yang melibatkan penyertaan aktivis daripada 16 buah negara dan dari Asia Tenggara cuma Malaysia sahaja melalui NGO Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

Benda asas di sini yang perlu kita faham adalah tujuan terbesar FFC adalah pecahkan kepungan ke atas bumi Gaza. Kepungan yang sudah dikenakan sejak 2007!

Kembali kepada soalan-soalan yang saya terima daripada kawan-kawan saya. Tapi aku rasa nak respon satu je soalan. Soalannya, misi ini berjaya ke gagal?

Hari itu saya tanya Baim. Baim ni mak dia salah seorang ahli misi. Mak dia bernama Mas Ahmah Jonid.

Beliau peserta siri pelayaran ke-8 kemudian tukar dengan Dr. Afandi kat Pelabuhan Siccily.

Saya tanya Baim, “Berapa peratus misi ni akan dipintas atau ditawan oleh Israel?”.

Jawab Baim, “99.9%”. Maknanya 0.01% sahja misi ni akan berjaya masuk ke perairan Gaza.

Oklah, adalah juga harapan kan. Tapi tipis lah misi nak sampai Gaza.

Masa Dr. Afandi berlepas, saya sudah jangkakan misi ni akan jadi sebagaimana misi sebelum ni yang ketika Dr. Fauziah ikut serta sekali dalam Women’s Boat to Gaza.

Kapal ditawan, segala barang dalam kapal dirampas dan Israel akan cuba buat apa sahaja untuk justifikasikan tindakan diorang. Dan ya, jadi.

Kapal misi kali ini kena tawan, ahli misi kena tahan, barang bantuan perubatan semua kena rampas.

Jadi, adakah misi ini gagal?

Kalau kita nampak gol besar mereka ni hanya untuk hantar bantuan perubatan, saya akan jawab ya, misi ni gagal.

Tapi pada saya, misi ni perlu dilihat lebih daripada ada dua benda yang nak dicapai.

Pertama, misi ni adalah untuk menarik perhatian masyarakat dunia kembali kepada isu Gaza.

Gaza ni isu yang lama dan masih lagi sedang berlaku sebenarnya. Tapi masyarakat kita jenis bermusim.

Jadi, perlu ada isu-isu tertentu untuk terus dapat tarik perhatian masyarakat dunia supaya apa yang berlaku disana tidak sunyi dari terus diceritakan.

Macam waktu Syria kena bom, kita tenang dengan Piala Dunia.

Bila dapat perhatian dunia, maka NGO-NGO yang ada boleh menggiatkan kempen untuk terus dapatkan sumbangan dan sokongan masyarakat.

Dana bertambah, berita lebih tersebar luas, masyarakat semakin sedar dan tahu.

Kedua – misi ini adalah usaha untuk terus bagi tekanan kepada Israel.

Tekanan yang berbentuk kolektif besar dari pelbagai tempat, negara, agama dan bangsa ini saya yakin memberi kesan kepada tindakan Israel di bumi Palestin.

Kita kena guna segala cara untuk satukan tekanan supaya Israel mengurangkan tindakan kejam mereka kepada masyarakat Palestin.

Hari itu Norway minta penjelasan daripada Israel tentang tindakan mereka menghalang misi ni. Ini salah satu bentuk tekanan.

Malaysia pula kutuk tindakan mereka ini. Kita bayangkan kalau semua masyarakat dunia bersatu bagi tekanan kepada Israel.

Tak rasa Israel goyang?

Tapi itulah, di Malaysia ini kita masih lagi ada sikap bermusim sedangkan serangan yang berlaku kepada Gaza tidak bermusim.

Tapi saya optimis masyarakat kita boleh berubah sikap yang ini.

Gaza kalau menurut UN, tahun 2020 Gaza akan jadi tempat yang tidak sesuai didiami jika tiada apa-apa usaha dibuat kepada kepuangan yang Israel kenakan.

Kita tinggal lagi dua tahun. Takkan kita nak tengok sahaja tanpa ada apa-apa usaha?


Usaid Asmadi merupakan seorang aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply