Adakah Menjual Barang Lebih Mahal Dari Harga Asalnya Dikira Riba?

0
553
views

Soalan :

Assalammualaikum Dr Rozaimi. Boleh saya meminta sedikit ilmu dari ustaz? Saya baru mnceburi perniagaan kecil-kecil. Soalan saya tentang Riba ustaz.

Masalah yang saya alami. Saya menjual barang bundle sahaja. Barang yang djual lebih dari modal asal saya beli. Ramai kawan-kawan mengatakan ianya macam riba.

Contoh, barang yang saya beli sehelai baju harga RM10. Dengan nilai baju tu sekarang, harga tinggi di luar pasaran bundle cecah RM 100 ke atas, so dari situ saya menjual baju tu dengan harga RM100.

Adakah keuntungan itu riba ustaz? Saya amat risau kalau rezeki yang saya dapat ini ada unsur riba.

Terima kasih ustaz.

 

Jawapan :

Waalaikum Salam

A- Secara ringkasnya, apa yang saudara lakukan tiada kaitan dengan riba langsung.

Riba boleh berlaku dalam beberapa perkara seperti transaksi yang melibatkan pertukaran ribawi item seperti emas, perak dan lain-lain yang mana disyaratkan pertukaran berlaku

1- secara ‘on the spot’
2- dan sama beratnya jika ia daripada jenis yang sama.

Riba jua boleh berlaku dalam pinjaman di mana peminjam perlu membayar lebih daripada nilai pinjaman.

Ada pun apa yang saudara lakukan dengan mark-up harga itu tiada kaitan langsung dengan riba.

[ 20 Tips Pengurusan Kewangan Peribadi ]

B- Apakah terdapat batas peratusan keuntungan?

Tidak terdapat batas keuntungan untuk mark-up harga barang jualan kita.

Akan tetapi pemerintah berhak masuk campur seandainya ia melibatkan barang-barang keperluan seperti makanan di mana pemerintah berhak menetapkan harga siling, apatah lagi apabila kenaikan harga ini dimanipulasi oleh peniaga, dengan cara menyorok barang (ihtikar) dan sebagainya.

C- Akan tetapi peniaga hendaklah memastikan harga barang yang ditetapkan itu adalah pada harga pasaran, dan tidak boleh melakukan penipuan atau tindakan yang menyebabkan pembeli menyangka harga yang dibeli itu harga pasaran, sedangkan hakikatnya harga pasaran lebih rendah daripada itu.

Hal ini disebut dengan istilah ghabn, yang mana ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu ghabn fahisy dan ghabn qalil/yasir.

1- Ghabn yasir/qalil- Ia adalah markup harga yang biasa berlaku dan tidak melibatkan penipuan kepada pembeli.

2- Ghabn Fahisy- Ia adalah markup harga yang tinggi yang melebihi nilai pasaran. Ia melibatkan penipuan apabila pembeli tidak tahu harga pasaran sebenar. Ghabn Fahisy ini jua boleh berlaku kepada pembeli di mana pembeli menipu peniaga yang tidak tahu harga pasaran.

Dalam contoh-contoh klasik yang boleh dilihat dalam kitab-kitab feqh, sering diberikan contoh:

Peniaga sedang membawa barang dagangan ke pasar. Dalam perjalanan, peniaga ditahan oleh pembeli yang mahu membeli barang yang dibawa.

Peniaga tidak tahu harga pasaran kerana dia belum sampai ke pasar, lalu pembeli menipu peniaga dengan menyatakan harga di pasar sekian-sekian, sedangkan hakikatnya harga di pasar lebih tinggi daripada yang dinyatakan pembeli.

[ 10 Cara Jadi Kaya Dengan Sedekah ]

Dalam kes penjual menipu pembeli pula, contoh klasik ialah pembeli dalam perjalanan ke pasar, bertembung dengan peniaga. Lalu peniaga menawarkan barang jualan dengan menipu seraya menyatakan harga di pasar adalah sekian-sekian, sedangkan harga pasaran sebenarnya lebih murah.

Seandainya berlaku ghabn fahisy sama ada daripada pembeli atau peniaga, maka kedua-dua belah pihak mempunyai pilihan (khiyar) untuk membatalkan transaksi dengan memulangkan barang dan menerima wang kembali.

D- Maka menurut soalan di atas, maka beliau menjual barangan tersebut pada harga pasaran. Maka tiada masalah di situ walaupun kelihatan margin untung beliau tinggi. Tambahan pula, barangan itu bukan barangan keperluan seperti makanan. Apatah lagi pengiraan kos bukan sekadar harga barangan itu diambil daripada pembekal, bahkan ia perlu melibatkan jua kos operasi seperti sewa premis, utiliti, gaji pekerja, pengangkutan dan sebagainya. Untuk cara kiraan kos ini, belajarlah daripada guru-guru perniagaan.

Jadi, apa yang rakan saudara katakan itu tidak benar sama sekali.

Semoga Allah memudahkan urusan saudara mencari rezeki yang halal.

 

Dari Laman Facebook Dr. Ust Rozaimi Ramle

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply