Adakah Sah Solat Makmum Jika Tidak Membaca Al-Fatihah?

0
959
views

Dalam masalah ini ada dua pandangan ulama’;

Pertama

Menurut ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya sama ada di dalam solat sirriyah atau jahriyyah, sama ada ia dapat mendengar bacaan imamnya atau tidak.

Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

‘Sesiapa menunaikan solat tanpa membaca di dalamnya ummul-Quran (yakni al-Fatihah), maka solatnya adalah cacat (tidak sempurna)’. Baginda mengulangi sabdanya itu sebanyak tiga kali. Lalu ditanya kepada Abu Hurairah r.a.; ‘Bagaimana jika kami menunaikan solat di belakang imam?’. Jawab Abu Hurairah r.a.; ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’”

(Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Kedua

Menurut jumhur ulamak (Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad); tidak wajib lagi makmum membaca al-Fatihah kerana al-Fatihahnya telah ditanggung oleh imamnya.

Cuma Imam Ahmad membezakan antara dua keadaan;

#Pertama

Ketika imam tidak membaca dengan kuat atau makmum tidak dapat mendengar bacaannya; maka ketika itu disunatkan makmum membaca al-Fatihah di belakang imamnya.

Jika ia tidak membacanya, tidaklah mengapa (yakni solatnya masih sah) kerana ia disunatkan sahaja dan bacaan imam telah memadai untuknya.

Begitu juga, disunatkan juga ia membacanya jika imamnya senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang makmumnya membaca al-Fatihah.

#Kedua

Jika imam membaca dengan kuat dan makmum dapat mendengar bacaannya, ketika itu tidak disunatkan makmum membacanya (malah dimakruhkan), sebaliknya makmum hendaklah mendengar dan memberi perhatian kepada bacaan imamnya.

Ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad berdalilkan ayat al-Quran yang bermaksud;

“Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengar dengan memberi perhatian kepadanya serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat”

(surah al-A’raf, ayat 204).

Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

“Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-), dan juga sabdanya; “Sesiapa mempunyai imam, maka bacaan imam adalah bacaan untuknya”

(Riwayat Ibnu Abi Syaibah, ad-Daruqutni dan Ibnu Majah).

Mengenai hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie di atas, mereka menjawab; hadis itu khusus untuk orang yang mengerjakan solat bersendirian atau untuk makmum yang tidak dapat mendengar bacaan imamnya.

Adapun ucapan Abu Hurairah ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’, ucapan tersebut merupakan pandangan beliau (bukan arahan Nabi), atau mungkin juga bacaan yang beliau maksudkan ialah bacaan ketika imam senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah. (Al-Mughni, 1/392-393).

Sumber : Estrak dari video kuliah Ustaz Abdul Somad

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply