Akal Dan Pemikiran

0
150
views

Akal Dan Pemikiran

Akal Dan PemikiranAkal dan pemikiran adalah sangat penting untuk memastikan kehidupan kita tidak terpesong dari jalan yang sebenar. Dengan akal dan pemikiran kita dapat tentukan arah kehidupan yang perlu kita lalui. Begitu juga dalam menerima pendapat dan hujah manusia di sekeliling kita. Kita tidak boleh menerima seratus peratus hujah yang dikeluarkan sama ada oleh pemimpin, keluarga dan mereka yang terdekat dengan kita tanpa menganalisis dengan akal pemikiran kita. Hal ini kerana, semua ada hak untuk berhujah dan mengeluarkan idea.

Namun kita sebagai yang mempunyai akal haruslah menilai terlebih dahulu idea-idea yang di lontarkan. Memandangkan sekarang merupakan zaman global dan intelektual, maka muncul ramailah golongan yang bijak pandai dalam mengemukakan hujah masing-masing. Seharusnya kita menghormati pemikiran mereka dan seterusnya menjalankan peranan kita untuk menganalisis dan memilih yang mana terbaik.

Perbezaan pendapat dan pandangan serta kepelbagaian pemikiran manusia adalah isu yang sentiasa menjadi perhatian para pengkaji dan penganalisis terhadap pemikiran semenjak dahulu lagi. Isu ini sentiasa dianggap ‘panas’ dalam konteks pemikiran Islam, khususnya selepas zaman nabi s.a.w. pada zaman baginda s.a.w., setiap perselisihan pandangan akan berakhir dengan penyatuan dan keterikatan kepada satu pandangan sahaja melalui ijtihad Rasulullah s.a.w. ataupun dengan penurunan wahyu.

Akan tetapi, hal ini tidak berterusan selepas ketiadaan Rasulullah s.a.w, sedangkan masyarakat Islam perlu berhadapan dengan isu-isu baru yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Keadaan ini menuntut kepada ijtihad. Dengan yang demikian, meluaslah ijtihad dari zaman ke zaman kerana berlaku banyaknya perselisihan pendapat.

Menyoroti sejarah Islam khususnya catatan kegemilangan peradabannya, perselisihan dan perbezaan pandangan menjadi faktor utama ke arah perkembangan ilmu dan pemikiran pada zaman-zaman awal Islam. Ini terbukti dengan wujudnya beberapa aliran ‘madaris ijtihadiyyah’ dan pemurnian pelbagai cabang-cabang pengetahuan lampau.

Di samping itu, wujud juga apa yang boleh dinamakan sebagai metode perdebatan dan majlis-majlis yang berperanan menemukan pihak-pihak yang berselisih pandangan untuk berdialog dan berhujah. Namun begitu, pada peringkat ini, kita tidak melihat perselisihan pandangan ataupun perdebatan menjadi sebab kepada pertelingkahan dan permusuhan sehinggan boleh melemahkan kekuatan dan penyatuan di kalangan masyarakat Islam.

Namun berbeza pada masa kini, di mana perbezaan pandangan dan pendapat membawa kepada pepecahan umah. Contoh yang terdekat bagaimana kita dapat lihat di negara kita sendiri iaitu Malaysia yang mana merupakan sebuah negara Islam dan dinaungi oleh pemimpin Islam. Perbezaan politik yang menyebabkan ramai di kalangan masyarakatnya berpecah antara satu  sama lain.

Dan yang mendukacitakan, ada yang menolak pandangan-pandangan bernas yang dikeluarkan individu tertentu semata-mata kerana berlainan fahaman dan politik.

Contoh yang kita dapat lihat bagaimana isu hukum hudud dimainkan berdasarkan parti semata-mata. Sekiranya hujah dikeluarkan oleh pihak kerajaan, ada sesetengah pihak pembakang secara automatik menolaknya dan begitulah sebaliknya. Jika menurut akal saya, sepatutnya isu hudud dimainkan atas dasar agama Islam bukannya parti semata-mata.

Dan setiap hujah yang didengari hendaklah di terima dan di analisis dengan sebaik-baiknya. Sekiranya tidak berlawanan dengan syariat Islam, di persilakan untuk menyokong pandangan tersebut. Dan kita juga dituntut untuk menolak pandangan yang salah dengan cara berhikmah. Dan inilah yang melambangkan jati diri kita sebagai warga Malaysia yang berbudi bahasa.

Perbezaan pendapat dalam Islam bukan suatu yang asing atau terhalang dengan syarat sumber rujuknya mestilah al-Quran. Jika tidak menjumpainya maka rujuklah hadis sahih dan sekiranya juga tidak menjumpainya maka baru boleh digunakan ijtihad ulama melalui kias dan pengajaran yang dekat contohnya dari hadis.

Kemudian yang terakhir barulah mengikut pendapat dan pemikiran yang telah menjadi adat dan kebiasaan atau pengalaman yang sudah diterima oleh orang ramai dengan syarat adat dan kebiasaan atau pengalaman yang diterima tersebut mestilah tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum Allah iaitu syariat Islam. Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.

 

SITI SAADAH BT MOHAMED

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply