Aku Bukan Ustaz

0
2,887
views

Aku Bukan Ustaz

Aku Bukan Ustaz | “Aku bukan ustaz atau ustazah…”. Ya, begitulah jawapan kebanyakan masyarakat kita jika diajukan pertanyaan tentang tindakan mereka dalam mencegah atau menangani sesuatu isu yang berkaitan dengan agama Islam. Dalam erti kata yang lain adalah berdakwah.

Lumrah dunia, sesuatu tugasan pastilah disandarkan kepada pihak yang berkaitan dengan sesuatu isu tersebut. Samalah juga dengan isu berdakwah. Berdakwah itu adalah tanggungjawab golongan ustaz dan ustazah sahaja. Betul tak?

Bagi yang berpendapat sedemikian, sudah pastilah jawapan mereka ialah betul. Alasannya? “Oh, saya bukan orang baik”. Ada lagi alasan? “Saya juga x banyak ilmu tentang agama. Sikit-sikit tu adalah”.. Begitulah jawapannya.Emm, hakikatnya memang inilah jawapan-jawapan yang sering kedengaran tatkala isu ini dibangkitkan.

Namun, jika ditanya soalan lain sebagai timbal balik bagi jawapan mereka tadi dan lanjutan bagi pertanyaan tadi ialah, “Adakah kamu orang Islam?”. Sudah pasti jawapan mereka adalah “Ya”. “Lalu apakah tanggungjawab kamu sebagai orang Islam di atas muka bumi ini?”. Nah, di sinilah bermulanya titik tolak perbincangan bagi isu tanggungjawab berdakwah tadi.

Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi Allah ini dengan sebaik-baiknya. Taklifan amar ma’ruf nahi munkar merupakan amanah yang mesti kita galas dalam menjalani hidup di bumi Allah ini dan menjadi suatu keperluan yang mendesak untuk dikuatkuasakan pada hari ini lantaran berlaku lambakan masalah yang melibatkan kebejatan akhlak, kejumudan pemikiran serta ketandusan ibadah dalam masyarakat kita.

Rentetan itu, adakah taklifan ini Allah khususkan kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja? Jawapannya adalah tidak. Allah berikan taklifan ini kepada hambanya tanpa menyebut perkataan ustaz atau ustazah. Ini bermakna, semua daripada kita bertanggungjawab terhadap taklifan ini. Ya, bertanggungjawab! Tanggungjawab bermakna kita perlu melakukannya sebagaimana yang Allah perintahkan.

“Tapi bagaimana ya. Saya bukan ustaz atau ustazah”. Laaa, mengapa isu ustaz ustazah dibangkitkan lagi.

Jika kamu peguam, apa salahnya?

Jika kamu penjual nasi lemak, apa salahnya?

Jika kamu ahli geologi, apa salahnya?

Jika kamu tentera, apa salahnya?

Semestinya tidak salah kerana profesioan dan pekerjaan yang sedang kamu jalankan itu juga merupakan ibadah dan fardhu kifayah. Justeru apa yang kamu gusarkan?

Tidak cukup ilmu agama?

Ya, memang diakui, untuk menyampaikan sesuatu kebenaran kita harus memiliki ilmu dahulu. Harus memiliki ilmu tidak bermakna kamu harus memiliki dan menguasai keseluruhan sesuatu ilmu itu sesempurnanya kemudian barulah kamu menyampaikan kepada orang lain.

Bukan begitu.Apa salahnya jika kamu tidak mempunyai ilmu yang banyak tetapi dengan berbekalkan ilmu yang sedikit tersebut, kamu mampu memanfaatkannya kepada diri sendiri dan orang lain.

Eh, cakap tentang ilmu pula ya. Adakah dakwah itu hanya menyampaikan ilmu sahaja?

Dakwah itu luas maknanya. Macam-macam definisi terdapat dalam kitab-kitab agama. Namun secara mudah, dakwah itu ialah menyeru atau mengajak seseorang ke arah kebaikan dan meninggalkan larangan. Adakah mengajak ke arah kebaikan itu semata-mata mengajak orang lain bertahajjud, berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan sebagainya?

Jawapannya tidak jika berbalik kepada perkataan ‘semata-mata’ dalam ayat sebelum ini. Hal ini kerana, dakwah itu meliputi segala perbuatan atau sesuatu yang baik. Antaranya senyum, berkata-kata dengan menggunakan bahasa yang baik, mengajar adik memasak nasi dan sebagainya.

Hal yang remeh temeh seperti senyum pun dikira sebagai berdakwah. Justeru, tidaklah timbul soal gelaran ustaz ustazah sahaja yang perlu berdakwah. Adakah ustaz ustazah sahaja yang pandai senyum? Kamu x pandai senyum?

Seperkara lagi, kamu sebenarnya adalah ustaz mahupun ustazah. Ya, gelaran itu kamu punya. Hal ini kerana, jika dilihat kepada peranan ustaz ustazah, golongan ini bertanggungjawab memberi peringatan tentang suruhan dan larangan Allah, mendidik manusia lain supaya berakhlak dan sebagainya.

Oleh itu, samalah juga dengan peranan kamu sebagai hamba Allah yang beriman dengan-Nya. Kamu juga dipertanggungjawabkan untuk mematuhi segala suruhan dan larangan Allah serta berakhlak mulia.

Diri kamu yang mencorak siapa kamu.

Dalam mencorakkan diri, sudah pasti ada dorongan dalaman yang memaksa kamu bertindak seiring dengan perintah Allah. Kamu berperanan memastikan diri kamu berada pada jalan yang benar. Bukankah ini tugas ustaz dan ustazah? Justeru, kamu juga adalah ustaz dan ustazah terhadap diri kamu sendiri.

Maka, relevankah lagi jawapan “Aku bukan ustaz/ ustazah”? Sudah pasti tidak!

Penulis : Siti Rowaida Binti Rosli

Leave a Reply