Anda Redha, Hidup Ini Indah Indah Sahaja

0
6
views

menggapai redha Allah

Peritnya ujian yang Allah berikan kepada kita hanyalah bertujuan untuk memberikan peringatan kepada diri kita bahawa kita hidup di dunia ini hanyalah sebentar.

Kecintaan seorang hamba yang mendalam kepada Allah dibuktikan dengan bagaimana sikapnya ketika ujian itu hadir dalam hidupnya. Mereka yang betul-betul cintakan Allah akan redha dengan segala ujian yang mereka dapat kerana mereka sangat yakin bahawa Allah berikan ujian tersebut tidak lain hanyalah demi kebaikan sahaja.

Kita juga perlu sedar bahawa ujian Allah itu bukan untuk penyeksaan bahkan merupakan satu persiapan untuk memantapkan lagi iman dalam meneruskan pengembaraan di dunia ini. Dan segala pahit getir yang kita rasakan merupakan antara ujian atau cabaran untuk kita menuju ke syurga yang lebih indah.

“…Dan Kami timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Az-Zukhruf: 48)

“Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar).” (As-Sajdah: 21)

Musibah dan ujian juga merupakan salah alat untuk membersihkan hati kita daripada dosa dan kelalaian yang kita lakukan sepanjang kehidupan seperti dalam hadis,

“Tidaklah sebuah musibah yang menimpa seorang muslim seperti penyakit, kegelisahan, kesedihan bahkan terkena duri sekalipun, kecuali Allah telah gugurkan dosa-dosa (kecilnya) dengan musibah tersebut.” (Muttafaq ‘Alahi)

Segala musibah yang Allah berikan sememangnya bermotifkan kebaikan buat hambanya walaupun pada pandangan mata kita perkara tersebut membebankan diri kita.

Sebagai contoh Allah melapangkan rezeki seseorang dan pada masa yang sama juga Allah menyempitkan rezeki yang lain. Bukanlah Allah itu mahu menyusahkan hambanya tapi Allah nak bagi pengajaran demi kemaslahatan hambaNya.

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura: 27)

Terhalangnya seorang hamba daripada mendapat rezeki yang melimpah ruah di dunia ini merupakan antara rahmat Allah pada hambaNya. Ajaibkan? Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memelihara hamba-Nya yang beriman dari kesenangan dunia, karena Dia mencintainya, seperti manusia yang menjaga beberapa jenis makanan dan minuman karena takut akan menimbulkan penyakit.” (Imam Ahmad dan Hakim dari Abu Sa’id)

Semua perasaan ini tidak akan hadir dalam diri kita melainkan kecintaan kita pada Allah yang cukup mendalam. Bila kecintaan kita sudah mendalam maka kita akan nampak yang indah-indah sahaja dalam kehidupan ini walaupun di kaca mata orang lain musibah itu suatu penderitaan bagi mereka.

“…Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya…” (Al-Ma’idah: 54)

Dalam satu riwayat ada disebutkan bahawa Allah berfirman,

“Wahai orang-orang yang beribadah karena cinta kepada-Ku, apa yang ada di dunia ini tidak akan dapat membahayakan kalian apabila kalian sudah memiliki kebahagiaan, dan tidak ada musuh yang dapat mencelakakan kalian apabila kalian sudah berpasrah kepada-Nya.”

Amir bin Abdu Qais berkata,

“Ketika aku mencintai Allah dengan tulus, Dia akan memudahkan segala musibah yang menimpa, memberi keredhaan kepada setiap masalah yang saya hadapi. Oleh kerana itu, demi cintaku kepada-Nya aku tidak pernah peduli apa yang menimpa diriku pada pagi dan petang.”

Antara kisah yang menarik pembuktian kecintaan seorang hamba kepada Allah adalah kisah Sa’ad Bin Abi Waqas.

Apabila beliau tiba di Mekah dalam keadaan buta, ramai orang mengejarnya dan diminta untuk mendoakan pada mereka. Maka beliau pun mendoakan mereka semua dan permintaan mereka semua dikabulkan oleh Allah.

Melihat keadaan itu, Abdullah Bin Abi Saib berkata kepada Sa’ad, “Wahai saudara, mengapa saudara mendoakan setiap orang tetapi saudara tidak mendoakan diri saudara sendiri, agar Allah membuat saudara melihat lagi?” Sa’ad berkata, “Wahai anakku, ketetapan Allah untukku lebih indah daripada penglihatanku.”

Semakin membuak-buak cinta seseorang itu kepada penciptaNya semakin bertambah pula ketaatannya kepada Allah dan semakin indah juga pandangannya pada kehidupan ini dan redha dengan apa yang terjadi keatas dirinya.

Caranya adalah bukalah pintu hati anda pada Allah, bukalah segala pandangan anda pada Allah dan dekatkanlah diri anda kepada Allah dengan ibadah wajib dan memperbanyakkan yang sunat.

Artikel Yang Berkaitan :

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply