Anjakan Paradigma Bersedekah

0
1,020
views

Anjakan Paradigma Bersedekah

Anjakan Paradigma BersedekahAnjakan Paradigma Bersedekah | Penyempitan makna sedekah, infaq atau sumbangan ikhlas kepada barangan berupa makanan asasi – beras, gula, gandum,dan apa sahaja daripada jenis makanan – menjadi rutin dan pilihan pada bulan Ramadan atau di luar oleh sesiapa pun khususnya kepada rumah anak yatim.

 

Sedar atau tidak, sebenarnya kebanyakan daripada rumah anak yatim sekitar ibu kota biasanya agak mewah dari segi makanan kerana bantuan tetap sama ada daripada kerajaan atau bukan kerajaan secara berkala dan tetap.
Namun di sana, ada perkara yang lebih besar dan bermakna sebenarnya untuk penerima dan penderma jika didermakan, malah berpanjangan pula pahalanya berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

 

“Apabila mati seorang anak Adam, terputus segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah yang sentiasa mengalir pahalanya, ilmu yang bermanfaat kepada orang lain dan doa anak yang salih.” (Muslim)

 

Signifikasi ilmu adalah buku dan ternyata peranan buku dalam pembangunan peradaban dan tamadun dunia sangat besar dan boleh dikatakan komponen asas kepada setiap kecemerlangan. Malah ada gambaran mengatakan bahawa ketinggian sesebuah ketamadunan dan peradaban itu dapat diukur melalui budaya perbukuan masyarakatnya.
Melalui pemerhatian peribadi penulis, kebanyakan rumah anak yatim milik kerajaan apa lagi swasta tidak punya perpustakaan peribadi mereka sendiri, yang mana buku-buku tersebut adalah makanan jiwa yang wajar juga diberikan perhatian dan merupakan aspek penting dalam mengisi kekosongan jiwa anak-anak yang dahagakan kasih sayang keluarga.

 

Bukan sahaja rumah anak yatim, malah masih banyak lagi sekolah-sekolah kerajaan yang mengabaikan peranan perpustakaan dalam aktiviti seharian para pelajar. Malah piohak sekolah tidak pernah pun mempunyai bajet khas untuk pembangunan dan aktiviti kepustakaan sekolah.

Pengalaman penulis bekerja di Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendapati, kebanyakan daripada Sekolah Rendah Agama (SRA) tiada perpustakaan mereka sendiri, meskipun ada tidak mesra pelajar, biasanya guru tidak benarkan perlajar menggunakannya kerana takut bersepah dan tidak dikemas semula.

 

Dalam masa yang sama, mungkin suasana dalam perpustakaan yang tidak kondusif dan sangat daif serta buku-buku yang ada tidak memenuhi citarasa semasa dari sudut persembahannya, sedangkan perkembangan penerbitan buku-buku terkini khususnya yang Islamik semakin bagus dan terus berkembang dengan persembahan yang mampu memancing minat pembacaan generasi muda masa kini.

Hakikatnya, menjadi satu kewajaran dan keutamaan sebenarnya dalam setiap bilik darjah mempunyai perpustakaan mini mereka sendiri bukan hanya bergantung kepada perpustakaan atau pusat sumber sekolah sahaja.

Buku-buku yang disyorkan adalah buku-buku kreatif yang mempunyai unsur-unsur moral dan nilai keagamaan yang tinggi seperti novel-novel sejarah Islam dan buku-buku motivasi keagamaan yang semakin rancak diterbitkan mutakhir ini.

 

Antara kriteria utama buku-buku tersebut mestilah yang patuh syariah dan menggunakan bahasa Melayu standard menggunakan tatabahasa dan ejaan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) selain daripada persembahan kulit buku yang cantik dan moden, bagi membangkitkan dan memancing minat membaca para pelajar.

Justeru, infak dan derma berupa buku atau membina sebuah perpustakaan mini sambil dilengkapi buku-buku yang membina jiwa dan ilmu mereka adalah keutamaan kini di mana-mana rumah anak yatim atau pusat pengajian yang wajar diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat khusus kerajaan dan badan-badan korporat.

Menghulurkan beras kenyangnya cukup membahagiakan buat seketika sehingga lapar lagi kemudiannya, namun menghulurkan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain kenyangnya sehingga cukup mampu mencetuskan kebahagiaan di dunia dan akhirat serta menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara pada kemudian hari.

 

Zahiruddin Zabidi

Leave a Reply