Antara Dua Korban : Cinta Ibrahim & Ketaatan Ismail

0
260
views

 

Serba salah. Ibrahim kebuntuan mencari jalan bagaimanakah harus diceritakan mimpinya kepada sang putera yang dikasihi Ismail.

Anak yang disayangi dengan sepenuh hati itu, baru sahaja mendapat belai kasih sayang seorang ayah setelah ditinggalkan bersama ibunya di tengah tanah gersang suatu ketika dulu.

Pengorbanan yang dilakukan tiga beranak itu bukanlah suatu pengorbanan kecil. Ianya tidak lain hanyalah sebuah manifestasi ubudiah Ibrahim dan Hajar serta anak kecil mereka Ismail.

Ayah mana yang sanggup melihat anak dan isteri ditinggalkan sendiri di tengah padang pasir yang kering kontang?  Tiada hidupan.

Hanya yang benar-benar beriman dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah yang mampu berbuat demikian.

Kali ini sekali lagi baginda diuji dengan ujian yang tidak masuk akal beratnya bagi orang biasa. Bukan ini yang diimpikan baginda.

Setelah Allah kurniakan Ismail dalam kehidupan baginda, kemudian Allah uji lagi. Anak yang  diharapkan menjadi penyambung legasi millah (ملة) yang murni, perlu dikorbankan! Kali ini betul-betul perlu dikorbankan. Kalimahnya – َأَذْبَحُك – Ismail perlu disembelih!

قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ

Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu.

(as-Shaffat : 102)

Kali ini lebih berat. Malah lebih hebat jika dibandingkan dengan ujian rencana jahat kaumnya yang mencampak baginda ke dalam api (binaan api) setelah kalah berhujah. Dengan kuasa Allah api pun menyalahi fitrahnya dengan menjadi sejuk untuk Ibrahim.

قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ

(Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: “Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu”.

(as-Shaffat : 97)

Jadi bukanlah teragaknya baginda untuk memberitahu anaknya Ismail perihal wahyu tersebut disebabkan lemah iman, tetapi ada suatu perkara yang difikirkan baginda.

Bersediakan Ismail? Dalam usia yang sangat muda;  dapatkan Ismail memahami wahyu tersebut. Perintah kali ini ternyata berbeza; bukan sahaja Ibrahim, malah sang anak turut teruji. Namun, jawapan yang diberikan Ismail sangat luar biasa.

قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

“Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” 

(as-Shaffat : 102)

Anak yang luar biasa! Tidak lain lahirnya dari celupan Allah; sibghatallah. Malah kalau disorot kembali kisah kehidupan Ismail, sejak dilahirkan lagi telah diuji bersama ibunya Hajar.

Tidak ada siapa yang dapat membayangkan kehidupan dua beranak itu yang ditinggalkan sendirian. Namun total submission yang dizahirkan ibu Ismail melangkaui logik akalnya. Tiada siapa yang mampu meragui keimanan dan kepatuhan mereka pada perintah Allah.

Namun kali ini nyawa Ismail pula perlu dikorbankan.

Doa Ibrahim dan Janji Allah

()  رَبِّ هَبۡ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ()  فَبَشَّرۡنَـٰهُ بِغُلَـٰمٍ حَلِيمٍ۬

” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” () Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. () 

(as-Shaffat : 100-101)

Tidaklah Allah uji seseorang hamba itu, di luar batas kemampuannya. Allah lah yang Maha Mengetahui.

Diperkenankan doa Ibrahim. Lahirlah Ismail, pada waktu usia Ibrahim as dan Hajar yang sangat lanjut.

Tiada yang mustahil. Ismail adalah hasil munajat dan doa Ibrahim yang inginkan seorang pewaris untuk menyambung legasi dakwahnya. Namun, Allah berikan jauh lebih baik dari yang diminta Ibrahim. Seorang anak yang حليم.

Menurut Ibn Katheer dalam tafsirnya, terkumpul dua sifat mulia dalam perkataan حليم ; seorang yang sangat tenang, lapang dadanya dan terpuji kesabarannya.

قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُ‌ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

 .. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.  

(as-Shaffat : 102)

Mustahil bagi seorang anak kecil biasa boleh merespon sebegini, bahkan tidak langsung mempersoalkan mimpi ayahandanya kerena Ismail tahu, ianya sebuah wahyu.

Dan tiadalah suatu pun takdir Allah itu melainkan sesuatu yang terbaik untuk hambanya.

Malah, Ismail pula yang menyakinkan bapanya untuk melaksanakan perintah tersebut. Bayangkan kita di tempat Ismail. Mampukah kita setenang dan sepatuh Baginda?

Sebulat Tekad

فَلَمَّآ أَسۡلَمَا وَتَلَّهُ ۥ لِلۡجَبِينِ

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami.

(as-Shaffat : 103)

Keduanya tekad. Bapa sedia mengorbankan anak, dan anak sedia dikorbankan. Keduanya sama seperti manusia lain, yang akal warasnya pasti tidak sanggup menyembelih dan disembelih.

Bahkan menurut Ibn Katheer dan Ar-Razi, Nabi Ibrahim sampai memalingkan mukanya dari melihat Ismail semasa hendak melaksanakan perintah tersebut.

Jelas menunjukkan betapa Baginda juga seorang manusia biasa; punya hati dan perasaan.

Penghujungnya, semua kita sangat maklum, sebuah ketulusan pengorbanan dua beranak itu, diganjari Allah dengan binatang sebelihan yang besar sebagai gantian.

Begitu besar peristiwa ini, sampai hari ini saban tahun kita masih lagi merayakannya.

Bezanya adakah perayaan itu sekadar ritual tahunan atau benar-benar ianya adalah ibadah atas dasar iman dan kefahaman.

Oleh itu hari ini, pada sebuah kisah pengorbanan ini, apakah yang telah kita pelajari?

Setinggi mana ketinggian tawakal kita pada taqdir Allah?

Sekuat apa ketaatan kita dalam memenuhi tuntutan syariat Allah?

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply