Apa Lagi Selepas Haji? – Dr Muhammad Badie

0
24
views

haji-ayah-anak

Segala puji bagi Allah Rabbil-‘alamin, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan mereka yang mengikutinya serta mendokongnya…

Kejayaan ummah terletak pada ketaatan yang berterusan:

Sesungguhnya antara tanda haji mabrur ialah muslim yang menunaikan haji itu terus istiqamah selepas hajinya. Dia tetap iltizam dalam ketaatannya kapada Tuhannya dan dia menjadi lebih baik daripada sebelumnya, itulah tanda ibadahnya diterima.

Seorang salaf berkata: “Tanda mabrurnya haji ialah bertambah kebaikan selepasnya dan tidak mengulangi maksiat sekembalinya.” Al-Hasan al-Basri berkata: “Haji mabrur ialah dia kembali dalam keadaan zuhud di dunia, cinta kepada akhirat.”

Imam al-Banna berkata:

“Alangkah besarnya keagungan Rububiyyah! Alangkah hebatnya kelebihan Uluhiyyah! Allah melimpahkan kurniaNya ke atas hamba-hambaNya, Dia mengundang mereka datang ke ‘rumah’Nya yang suci untuk mengampunkan dosa-dosa mereka, mensucikan hati-hati mereka, melipat-gandakan pahala untuk mereka, membaharui ruh-ruh mereka, dan memberikan mereka limpahan kurnia yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia!”

Demikianlah, muslim yang mengerjakan haji pulang seperti hari dia dilahirkan ibunya untuk memulakan lembaran baru, kehidupan yang suci, bersih, tidak tercemar. Dia membawa tenaga baru yang hebat untuk melangkah ke medan kejayaan dalam hidupnya bersama Tuhannya, dirinya dan manusia. Itulah perkembalian yang terpuji dengan istiqamah yang tetap dan berterusan.

Rasulullah s.a.w. ditanya: “Apakah amalan yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Iman kepada Allah dan RasulNya.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab lagi: “Kemudian jihad fi sabilillah.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Kemudian haji yang mabrur.” (Al-Bukhari dan Muslim).Haji mabrur ialah haji yang tidak diikuti dengan maksiat kepada Allah.

amalan-wajib-bulan-dzulhijjah

Keperluan umat kepada talbiah yang berterusan

Talbiah ialah cetusan suara roh.Ia bukan sekadar luahan lisan. Malah ia diterjemah oleh perbuatan.

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْك

Ungkapan suci yang terpancar dari hati, menyahut seruan Allah berterusan sepanjang tahun.Mengisytiharkan janji setianya, ketulusan matlamat hidupnya, merentasi kepayahan, rintangan dan kepenatan kerana cinta dan rindu kepada Allah. Muslim yang menunaikan haji memulakan langkah mengislah diri menjauhi fasad, fujur (kejahatan), ilhad (mengingkari kewujudan Tuhan), ibahiyyah (free sex), kezaliman, menceroboh ke atas hak-hak orang lain, keganasan dan usaha yang boleh mendatangkan kemusnahan kepada apa saja. Maka segala puji, ni’mat dan kerajaan hanya milik Allah Yang Esa semasta-mata.Bukan milik mana-mana kekuatan meskipun kelihatan begitu gah sekalipun.

Sesungguhnya talbiah merupakan dendangan kemuliaan yang merupakan tuntutan revolusi umat Arab masa kini (Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; – al-Munafiqun:8).

Ia merupakan selogan kemegahan bagi tanah air yang sedang melangkah menuju kebangkitan (Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. – Aali’Imran:139).

Ia adalah laungan harapan bagi mereka yang beramal dan berjihad (dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman. – ar-Rum:47)

Imam al-Banna pernah  menukilkan kesan dendangan ini dalam membentuk hidup bahagia: “Alangkah indahnya apabila kelopak hati mukmin berkembang menerima seruan dari Yang Maha Tinggi, sebagaimana kelopak bunga berkembang indah apabila menerima titisan air embun! Lalu ia menjadi mekar bahagia. 

Seandainya umat merealisasikan makna talbiah, Allah menjamin akan menolongnya. Dia akan hancurkan singgahsana kebatilan sebagaimana yang kita saksikan sekarang, satu persatu hancur bergelimpangan dengan izin Allah, iaitu ketika mana rakyat menghayati talbiah dan bersumpah akan tetap cekal menghadapi kezaliman dan kerosakan.

Maka umat telah membuktikan dengan menghulurkan syuhada’dan para pejuang yang terluka di Mesir, Tunisia dan Libya.Dan esok sedang menanti giliran di Yaman dan Syria dengan izin Allah.

Kesatuan Umat Islam harapan seluruh insan

Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka…” (Al-Hajj:27-28)

Haji merupakan muktamar Islami yang besar, manifestasi iman yang gemilang yang disertai oleh pelbagai bangsa, puak, suku, lapisan pada satu masa, di tempat yang sama, mengalunkan kata-kata yang sama, melaksanakan amalan yang sama, menghadap ke matlamat yang satu, iaitu mengisytiharkan ubudiyyah, perhambaan dan kesetiaan kepada Allah Yang Esa.

Itulah risalah, misi yang berpanjangan setiap tahun: kamu adalah kekuatan dengan kesatuan kamu, kamu adalah kekuatan dengan tautan hati kamu. Maka atas dasar apa kamu berpecah? Sesungguhnya telah tiba masanya sekarang untuk kamu realisasikan kewajipan kamu yang palingberharga yang termaktub di dalam firman ini (maksudnya):

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Ali’Imran:103)

Berwaspadalah kamu dari tipu daya musuh kamu. Mereka amat mahir menggunakan senjata pecah belah dan berpuak-puak di kalangan kamu, yang sangat cekap menyebarkan perkara-perkara karut yang boleh melemahkan umat kita, mereka cuba mengalihkan matlamat, menimbulkan isu budaya, penjajahan bentuk baru dan berbagai-bagai slogan yang manakutkan.

Jika kamu tidak berpegang teguh pada prinsip kesatuan dan iltizam di dalam satu saf, maka kamu akan ditimpa azab sebagaimana yang menimpa orang sebelum kamu,

“Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Al-An’am:65)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir r.a., apabila turun ayat ini baginda s.a.w. berkata: “Aku berlindung dengan WajahMu.”

Sesungguhnya kesatuan umat hari ini merupaka satu harapan selepas kita melihat bagaimana haji menggugurkan sempadan antara negara-negara, bahkan antara benua-benua, sempadan yang dicipta oleh manusia-manusia yang tamak, mementingkan diri dan individualistik.

Sesungguhnya haji bukan saja membuatkan kita merasai kesatuan dunia Islam semata-mata, malah ia membuatkan kita merasai kesatuan bumi ini, kesatuan manusia dan kemanusiaan. Semasa haji wadak, Rasulullah s.a.w.telah mengisytiharkan secara jelas dan nyata dasar kebebasan, persamaan dan keadilan.

Baginda menyeru: “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu dan bapa kamu satu. Ketahuilah bahawa tiada kelebihan bagi Arab ke atas ‘Ajam, dan tiada kelebihan bagi ‘Ajam ke atas Arab. Tiada kelebihan bagi merah ke atas hitam dan tiada kelebihan bagi hitam ke atas merah kecuali dengan taqwa.” (Al-Baihaqi).

Baginda juga mengisytiharkan pengembalian hak wanita, kedudukan dan kehormatannya. Tegasnya, ia merupakan perisytiharan hak asasi manusia serta kemuliaan mereka,

“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram ke atas kamu sebagaimana haramnya hari ini, di bulan ini dan di negeri ini!” (Muslim).

Bilakah dunia akan sedar bahawa botol ubat untuk menyelamatkan dunia ada pada Islam yang merupakan system hidup dan penyelesai kepada semua permasalahan?

Sayyid Qutub pernah menukilkan tentang haji dan apa yang tersirat di sebaliknya: “Haji merupakan muktamar untuk bertaaruf, bertasyawur (mesyuarat), menyelaraskan langkah, menyatukan kekuatan, bertukar-bertukar pengalaman, barang dagangan, percubaan-percubaan dan mengatur urusan dunia Islam yang satu, yang lengkap dan melengkapkan sekali dalam setahun.”

Maka adakah umat telah memetik buah manfaat haji dalam kesatuan yang syumul dengan menggabungkan semua kekuatannya, mengumpulkan segala persediaannya dan menghimpunkan segala potensinya untuk membina kemajuan, memacu kebangkitan sebagai persediaan untuk memikul amanah dan menegakkan risalah?

Sesungguhnya haji, selain ia merupakan satu ibadah dan taqarrub kepada Allah, padanya manfaat kemasyarakatan, kebudayaan, ekonomi, politik dan pendidikan. Ia merupakan saham besar dalam membina watan, meningkatkan kesedaran umat, menyelesaikan permasalahan, mengaktifkan pergerakan dan memantapkan halatujunya.

Ucapan Al-Banna

Sesungguhnya Imam al-Banna telah menyimpulkan kewajipan umat selepas haji dalam ucapannya kepada rombongan haji:

Wahai saudara-saudara, sesungguhnya kita sekarang berada di negeri haram, di hadapan Baitillahil-haram, Zamzam dan Maqam Ibrahim. Kita berjanji kepada Allah dengan janji yang kukuh bahawa kita akan memikul beban jihad dan pengorbanan dalam menegakkan prinsip Islam yang tinggi dan ajarannya yang murni.

Kita akan perangi dengan izinNya semua bid’ah dan khurafat yang diserapkan ke dalam agama kita yang dibina di atas dasar tauhid yang benar. Itulah fikrah yang sejahtera. Sesiapa yang merasinya,dia akan mengecapi kemanisan iman dan dia termasuk orang yang diterima di sisi Allah.

Ketahuilah bahawa kebahagian muslimin tidak akan terlaksana dan tidak akan berlaku kecuali dengan mereka menjadikan al-Quran al-Karim sebagai dustur (perlembagaan) dan undang-undang mereka. Ambil daripadaku kalimah ini: sesungguhnya Allah tidak menolong kaum yang fasiq yang meninggalkan agama mereka dan mengikuti jalan syaitan yang direjam.

Pada hari kita kembali ke pangkuan al-Quran dan as-Sunnah, hari itu kita akan melihat pertolongan Allah tegak di hadapan mata kita kerana itu adalah janji daripada Allah. Dan janji Allah itu benar.Dia tidak memungkirinya. Bacalah firmanNya:

“dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rum:47)

Dan aku mengingatkan kamu wahai Ikhwan, kamu yang memikul dakwah ini, kamu berusaha menyebarkannya, kamu berkorban waktu, harta dan tenaga di jalannya, terutama pada masa kini, dengan apa yang telah ditegaskan oleh Imam al-Banna di tanah suci jalan-jalan yang menjamin kejayaan dakwah kamu. Beliau berkata: “Yang aku maksudkan bahawa dakwah Ikhwan Muslimin ialah dakwah yang ikhlas kerana Allah sejak hari pertama ia ditubuhkan. Ia diasaskan di atas taqwa kepadaNya, bersandarkan kepada keagonganNya. Inilah dakwah yang aku yakin untukberjaya mesti ada dua perkara asas:

Pertama: kebersihan orang yang mendokongnya, kesucian jiwa mereka sehingga mereka layak menerima bantuan dan pertolongan daripada Allah Tabaraka wa Ta’ala

Kedua: hubungan hati-hati ini dengan da’i awwal Muhammad s.a.w., hubungan ruhi yang kuat yang membawa kepada berpegang teguh dan mengikuti sunnahnya. Tidak akan baik akhir umat ini melainkan dengan apa yang membaikkan awalnya.

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Wahai Tuhanku, maka saksikanlah.

Nukilan Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Badie

Terjemahan Oleh Ustazah Maznah Daud, Naib Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply