Apa Yang Boleh Kita Pelajari Daripada Sahabat Nabi Bernama Ka’ab Bin Malik. – Semut Hitam

0
1460
views

Mendengar luahan hati seorang ukhti baru-baru ini tentang betapa ramai yang merajuk hati dengan dakwah dan tarbiyah sehingga memilih untuk meninggalkannya, terus membuatkan saya teringat tentang seorang sahabat kegemaran saya yang saya genggam kemas kisahnya di dalam hati.

Namanya Ka’ab bin Malik.

Ramai antara kita yang mungkin sudah biasa mendengar kisah sahabat tersebut sewaktu dalam liqa’ usrah, tetapi suka untuk saya kongsi kembali secara ringkas agar kisah ini sentiasa segar dalam ingatan kita semua.

Ingatkah anda sewaktu Ka’ab bin Malik tidak menyertai perang Tabuk tanpa alasan yang kukuh sehingga menyebabkan Rasulullah s.a.w marah dan memerintahkan kaum muslim agar memboikotnya selama 50 hari?

Dan setelah 50 hari, Allah s.w.t mengampuninya.

Ka’ab pun memasuki masjid setelah 50 hari dia diboikot.

Lihat apa yang dikatakan nabi Muhammad s.a.w kepada Ka’ab setelah tamat pemboikotan ke atasnya,

“Wahai Ka’ab, bergembiralah menyambut hari yang paling gembira setelah ibumu melahirkanmu.. Allah telah mengampunimu..”

(H.R Bukhari dan Muslim)

Sebaik sahaja Rasulullah berkata demikian, maka  para sahabat yang lain beramai-ramai datang memeluk Ka’ab dengan penuh kegembiraan kerana sepanjang tempoh pemboikotan Ka’ab, mereka hanya menurut arahan Rasulullah untuk memulaukannya walaupun sebenarnya mereka sangat rindu dengannya.

Dipulau dalam tempoh yang begitu lama oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat seperjuangan yang sangat disayangi bukanlah suatu perkara mudah untuk dilalui.

50 hari merupakan satu tempoh yang cukup panjang dan menyeksakan.

Bayangkanlah sepanjang tempoh itu tiada siapa pun yang mahu bercakap dengan kita dan mengelak apabila bertemu.

Sudah tentu kita akan berkecil hati, bukan?

Jika kitalah yang berada di tempat Ka’ab bin Malik, apakah agaknya keputusan kita ketika itu?

Mungkin kita akan memilih untuk berhijrah ke luar kota untuk membawa diri, atau lebih parah lagi memilih untuk keluar dari Islam.

Tetapi lihatlah bagaimana Ka’ab bin Malik.

Dengan penuh kesabaran, beliau hanya menunggu tamatnya tempoh pemboikotan itu tanpa bertindak seperti kemungkinan yang dinyatakan di atas.

Kerana beliau faham itu merupakan tarbiyah daripada Allah dan ada sesuatu yang perlu dipelajari daripadanya.

Itulah bukti tarbiyah yang berkesan, kerana asasnya kukuh.

Keberkesanan tarbiyah bukanlah diukur melalui berapa banyak buku tarbawi dan bahan tarbiyah yang telah kita khatam, berapa banyak liqa’ yang kita bawa, berapa kali kita diundang menjadi muwajih, dan berapa tingginya mustawa kita, tetapi bagaimana diri kita sewaktu diuji.

Bagaimanakah penerimaan kita terhadap keputusan syura yang mungkin tidak menepati kehendak kita, bagaimana penerimaan kita apabila murabbi memposisikan kita dalam sesuatu hal yang kita rasa berat dengannya, bagaimana penerimaan kita apabila bukan kita yang dipilih untuk sebuah posisi tetapi orang lain yang kita rasakan kurang layak berbanding kita yang dipilih, bagaimana penerimaan kita apabila ada ikhwah atau akhawat yang ikhlas menegur kesilapan kita.

Adakah situasi-situasi seperti itu yang menjadi sebab untuk kita meninggalkan dakwah dan tarbiyah?

Back to the basic.

Sama-sama kita imbas kembali saat awal-awal kita sewaktu menerima tarbiyah.

Apa tujuan sebenar kita berada di jalan ini.

Keikhlasan, kehendak, dan kesungguhan kita untuk memahami deen Allah yang mulia ini pada suatu ketika dahulu begitu murni dan membara.

Masih samakah kita sewaktu di awal tarbiyah dengan kita pada hari ini?

Semakin jauh kita dalam gerabak ini, mungkin banyak perkara asas yang telah kita lupakan.

Ikhlas, sabar, dan doa.

Antara perkara penting yang mungkin kita lupa ialah bahawa hakikat jalan ini adalah sangat panjang dan payah.

Hanya yang berdoa, bersungguh, dan bersabar sahaja yang akan menemui kefahaman yang sebenar-benarnya.

Teringat saya akan pesanan seseorang, bahawa yang sempurna itu hanyalah Allah s.w.t. Tiada langsung manusia yang sifatnya sempurna.

Yang berusaha menggerakkan segala wasail dalam dakwah dan tarbiyah ini pun hanyalah manusia biasa, maka sudah tentu banyak lompongnya.

Keberkesanan tarbiyah bukanlah terletak pada kehadiran peserta dalam sesebuah program, bukanlah terletak kepada berapa ramai yang berjaya ditajmik, bukanlah terletak kepada jemaah mana yang paling ramai bilangan ahlinya, tetapi keberkesanan tarbiyah itu terletak kepada diri kita sendiri.

Bagaimanakah diri kita setelah menerima tarbiyah. Samakah seperti yang sebelumnya?

Jika pada awalnya kita benar-benar ikhlas ingin memahami agama Allah ini, pasti kita akan mampu bersabar dengan segala perkara yang berlaku sepanjang proses ini.

Tak semua perkara kita akan dapat jawapan dengan kadar segera. Dan itu juga merupakan sebahagian daripada proses tarbiyah yang Allah mahu ajarkan kepada kita.

Sabarkah kita, berlapang dadakah kita, berbaik sangkakah kita terhadap orang lain. Perkara-perkara asas yang mungkin dilihat kecil, namun itulah asas yang perlu dibentuk dan diperkukuhkan dalam diri kita supaya kita menjadi kuat dan tidak mudah berputus asa.

Tarbiyah itu suatu proses, bererti ianya sentiasa berlangsung.

Sekiranya kita memilih untuk meninggalkan jalan yang mulia ini, ketahuilah bahawa jalan ini sama sekali tidak mengalami sebarang kerugian.

Bahkan dengan perginya seorang, mungkin ada sepuluh orang yang akan datang mengganti.

Dan bagaimana pengakhirannya nanti, sama ada kita ini diredhai atau yang sebaliknya, kita akan ketahui hanya setelah kita mati suatu hari nanti. Kerja kita hanyalah berusaha.

Maka teruslah berusaha sehabis baik dan berharap kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan dan terus tsabat di jalan ini, jalan yang telah dilalui oleh para anbiya’ dan para sahabat.

Lihatlah berkat kesabaran Ka’ab bin Malik, Rasulullah s.a.w sendiri mengumumkan bahawa dosanya telah diampunkan Allah.

Membuktikan bahawa kesabarannya itu bukanlah suatu yang sia-sia, bahkan menjadi asbab untuk Allah mengganjarinya dengan ganjaran yang lebih bernilai lagi!

Jika yang menulis ini ditakdirkan tergelincir suatu hari nanti, ingatkanlah dia kembali melalui tulisan ini.

Mari kita contohi Ka’ab bin Malik yang sungguh besar dan murni jiwanya.

Semoga Allah mengampuni kita semua yang penuh dengan kelemahan dan meredhai seluruh hayat kita.

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply