Apabila Hujan Merajuk

1
191
views

Apabila Hujan Merajuk

Apabila Hujan Merajuk | Akhir-akhir ini, setiap kali saya menelifon ibubapa di Malaysia, antara berita yang menjadi kerunsingan keluarga adalah musim kemarau yang melanda Malaysia baru-baru ini.

Terkejut saya. Dramatiknya Malaysia. Akhir 2013 lepas, Malaysia digemparkan dengan berita banjir yang melanda Kuantan dan beberapa kawasan lain. Banjir besar yang memusnahkan banyak harta-benda.

Kemudian Malaysia dikejutkan pula dengan perubahan cuaca yang sungguh sejuk dan ramalan salji, terutamanya di kawasan Timur Tengah dan Utara.

Kemudian, Allah masih terus menguji Malaysia dengan kemarau panjang. Khabarnya, hujan tidak turun semenjak Januari. Apabila difikirkan semula, apakah sebenarnya hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap perancangan Allah ini?

 

Jalan penyelesaian

Semenjak hujan tidak turun, banyak pihak mula tidak senang duduk. Terutamanya para petani. Air di sawah semakin surut saban hari. Malah ada sahaja pokok-pokok yang mati kekeringan dan hutan-hutan kecil yang terbakar akibat kekeringan yang melampau.

Beberapa inisiatif cuba dilaksanakan seperti berkumpul untuk Solat Istisqa’ (Solat Meminta Hujan) dan catuan air mula dilaksanakan.

Saya tidak mengatakan bahawa inisiatif tersebut tidak bagus, tetapi saya ingin mengajak semua pembaca merujuk kembali kalam Allah yang Maha Agung. Dimana sebenarnya Allah telah memberikan jawapan di atas situasi ini jika ia terjadi,

 فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارً

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.

 يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Nescaya Dia akan menurunkan hujan lebat mencurah-curah,dari langit kepada kamu;

 وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا

“Dan Ia akan memperbanyak harta kekayaan serta anak-anakmu;  serta mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh: 10-12)

Lihatlah, bagaimana Allah telah menunjukkan jalan penyelesaian kepada situasi yang sedang melanda Malaysia ketika ini. Allah meminta kita, manusia yang lemah ini untuk kembali kepadaNya. Mohonlah keampunan kepadaNya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Maka nescaya dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit untuk kebaikan manusia.

Oleh itu, mari kita muhasabah semula. Setiap yang Allah telah susun kepada kita, pasti ada hikmahnya yang tersembunyi.

Rupa-rupanya dengan beristighfar dan memohon keampunan, ia menjadi penyebab kepada turunnya rahmat Allah berupa air, anak-anak, kebun-kebun dan sungai-sungai.

Dan janji Allah itu tidak pernah salah. Apabila kita mengingati Allah, akan dilimpahkan nikmat kepada kita. Dan apabila kita melupakannya, maka nikmat-nikmat akan ditarik daripada kita.

Sering kali, kita selalu mengeluh apabila hujan kerap turun setiap hari,

“ Lecehnya asyik hujan, baju pun tak sempat kering. Lembap sahaja”

“ Hujan lagi? Bagaimana nak pulang ke rumah ni. Kalau menunggang motorsikal ni, mesti basah lenjun”

Tetapi sebenarnya, banyak kepentingan hujan yang dipandang enteng selama ini. Dengan hujan, maka sejuklah muka bumi. Dengan adanya hujan, maka suburlah tanam-tanaman. Dengan turunnya hujan, maka dapat mengurangkan pencemaran udara di negara kita.

Dan apabila nikmat ini ditarik sedikit, manusia masih tetap manusia. Akan terdengar juga keluhan di mulut-mulut mereka.

“ Tak hujan lagi hari ini? Hai. Kering la pokok mawar kesayangan saya”

“ Macam mana ni bapak? Air di sawah sudah surut “

 

Rasulullah contoh tauladan

Rasulullah mengajar umatnya memperbanyakkan istighfar dalam usaha untuk mengejar keampunan Allah. Rasulullah sendiri beristighfar tidak kurang daripada 70 hingga 100 kali setiap hari semalam.

Rasulullah SAW bersabda : Tidakkah engkau beristighfar? Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dalam sehari semalam seratus kali ( Riwayat Ahmad)

Begitu juga para sahabat yang banyak beristighfar kepada Allah diwaktu malam di kala orang lain sedang nyenyak tidur lena dibuai mimpi indah seperti yang dirakankan Allah didalam firmanNya yang bermaksud: “ Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan di akhir malam mereka beristighfar kepada Allah (Surah Az-Zariyat: 17-18)

Di dalam sebuah hadis sahih yang lain, Rasulullah SAW bersabda : “ Wahai manusia, taubatlah kalian kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali” (Riwayat Muslim, Ahmad)

Namun begitu, amalan berzikir dengan Astaghfirullah ini, kebanyakannya ditemui selepas solat sahaja. Wirid selepas solat dimulai dengan Astaghfirullah sehingga wa-atubu-ilaih sebanyak 3-10 kali.

Jadi, bilakah pula ingin menghabiskan 70-100 kali istighfar?

Rasulullah SAW sendiri melakukan yang bakinya di luar waktu solat. Mungkin ketika baginda sedang memetik tamar, ketika sedang berjalan ke pasar, ke masjid, dan waktu-waktu lain juga.

Para sahabat meriwayatkan bahawa, sedang Rasulullah SAW duduk-duduk bersama kami, Rasulullah SAW akan berhenti selang beberapa percakapannya. Dan apabila sahabat bertanyakan, mengapa Rasulullah berhenti daripada perkataannya, Rasulullah menjawab bahawa sesungguhnya baginda sedang beristighfar ketika itu. Subhanallah!

Oleh yang demikian, sewajarnya kita beristighfar dalam setiap saat kita melaksanakan aktiviti harian kita. Contohnya sewaktu kita sedang memasak, memandu, melakukan kerja-kerja rumah, sedang menunggu lampu isyarat, sedang menunggu kertas di fotostat dan sebagainya.

Sedangkan Rasulullah yang maksum (tidak berdosa) dan dijamin syurga itu meminta ampunan Allah 70-100 kali sehari, apatah lagi kita yang marhaen ini. Siapalah kita yang hendak dibandingkan dengan Baginda Ar-Rasul SAW. Untuk dibangdingkan dengan sahabat-sahabat baginda juga ibarat bumi dan langit. Kita sekadar hamba Allah yang sering melaksanakan kesilapan dan kesalahan, hampir setiap waktu sama ada kita sedari atau tidak.

Tetapi, jangan berputus asa dengan rahmat Allah

Walau banyaknya dosa dan maksiat yang kita lakukan seharian hidup kita, tetapi Allah tetap melarang kita daripada berputus asa dari rahmatnya.

  قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar 39:53)

Siapa yang tidak mahu keampunan Allah? Siapa yang tidak mahukan syurga Allah? Tentu kita mahukannya. Oleh itu, tetaplah bersangka baik dengan Allah. Kembalilah kepadaNya, kerana rahmat Allah itu sangat luas dan disediakan untuk hamba-hambanya yang datang berlari kepadaNya.

Mari kita berdoa supaya Allah menghentikan rajuk hujan, dan mengizinkannya menurunkan hujan yang lebat untuk kebaikan sejagat.

Wahai hujan, turunlah!

Penulis : Musyirah Hanan Zulkarnain

Blog Penulis : musyirahanan.blogspot.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

1 COMMENT

Leave a Reply to hamie Cancel reply