Apakah Erti Ikhlas Yang Sebenar Dalam Melakukan Amal Soleh – Fauzie Muis

0
133
views

ukhuwah-fillah

Tiada yang lebih bermakna berbanding nikmat iman dan islam yang dikecapi sehingga hari ini, dan bonus tambahan bagi orang yang ditarbiyah adalah nikmat ukhuwwah.

Seperti yang kita maklum nikmat ukhuwwah ini tidak mungkin dapat dikecapi walaupun kita belanjakan sebanyak harta yang kita miliki.

Allah berfirman dalam QS Al Anfal(8):63

“Dan Dialah yang mempersatukan antara hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana”

Jadi ikhwah akhwat fillah, yang mengikat hati-hati kita adalah sebenarnya datang dari Allah, dan ukhuwwah ini sangat memerlukan keikhlasan yang datang dari lubuk hati seorang manusia.

belajar-ikhlas-dari-kisah-ubi-dan-kambing

Keikhlasan dalam berukhuwwah tidak sama sekali  mengharapkan habuan yang tendensinya kepada keajaiban duniawi, lebih-lebih lagi kita sangat mengharapkan balasan yang bakal kita perolehi tatkala kita membantu saudara kita.

Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan dunia, nescaya Allah akan memudahkan berbagai kesulitannya pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan nescaya Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat.” [HR Muslim]

Agar tidak kecewa, lakukan segala kebaikan secara tulus sebagai sedekah, bukan mengira apa ganjaran yang bakal kita dapat.

Kita harus yakin, Allah akan memberi balasan atas usaha dan doa hamba NYA melebihi apa yang diminta hamba NYA. Allah memberi lebih besar tentu dengan cara dan kehendak-NYA, bukan kerana target-target kita.

Bila berbicara berkenaan tentang ikhlas, ia merupakan sesuatu perbuatan yang tidak mungkin kita perolehi atau rasai dalam masa yang singkat.

Keikhlasan memerlukan proses dan bergantung sejauh  mana kesungguhan serta komitmen seseorang dalam menjalani sesuatu ibadah.

Apa yang paling penting adalah sejauh mana kesedaran yang ada dalam diri dan mempunyai alasan yang kuat mengapa perlunya ikhlas dalam beribadah dan melakukan amal soleh.

Ada orang yang telah terbiasa melakukan amal ibadah, bahkan bertahun-tahun lamanya tapi tidak pernah pun merasakan kemanisan dalam beribadah kerana melakukan amal tersebut atas dasar sudah lali (adat)  dengan perkara tersebut dan akhirnya  terus menerus melakukan maksiat walaupun dikatakan sebagai ahli ibadah oleh orang lain.

Dalam kita melakukan sesuatu ibadah itu harus dimulai dengan niat terlebih dahulu,

Rasulullah bersabda, “sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yg diniatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan rasul-NYA, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-NYA. Dan siapa yang hijrahnya  kerana menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang diniatkan”. [HR Bukhari dan Muslim]

Menurut Syeikh Muhyidin An-Nawawi, niat merupakan syarat sahnya amal. Maka, sesuatu perkara yang tidak diniatkan kerana Allah maka amalannya itu akan menjadi sia-sia, malah tidak mendapat sedikit pahala pun.

ikhlas_1

Jadi, ikhwah akhwat fillah taala, niat adalah sangat penting dalam kita memulakan sesuatu ibadah yang tujuannya tidak lain tidak bukan hanyalah ingin mendapat redha dari Allah.

Abu Ali al-Fudhail ibnu Iyadh pernah ditanya tentang amal yang paling baik dalam firman Allah “Mana di antara kamu yang paling baik amalannya” ia menjawab, “Amal yang paling baik adalah adalah yang paling ikhlas dan paling benar dilakukan”.

Dikatakan kepadanya, “Apakah itu amal yang paling ikhlas dan paling benar? “Ia menjawab, “Sesungguhnya Allah tidak menerima amal selagi amal tersebut tidak murni (ikhlas) dan benar; jika ia benar namun belum ikhlas tidak akan diterima; jika ia ikhlas namun belum benar, maka ia akan ditolak pula.

Dikatakan ikhlas, amal tersebut hanya untuk Allah, dan haruslah amal tersebut berdasarkan as-Sunnah.

Untuk terus berada dalam keikhlasan itu bukan lah sesuatu yang mudah, ia sangat memerlukan keyakinan serta prinsip yang teguh dalam diri seorang muslim serta pengharapan yang tinggi dengan berdoa kepada Allah agar hati  terus ikhlas sampai penghujung hayat.

Hati manusia sangat mudah dibolak balikkan oleh Allah, sesuai dengan hadis nabi;

Dari anas ia berkata; Bahawasanya Nabi s.a.w banyak mengucapkan doa; ” Ya Allah Dzat yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-MU”. Anas berkata; Maka kami (para sahabat) berkata; “Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan kepada wahyu yang engkau bawa, maka apakah engkau masih mengkhuatirkan kami?”. Rasulullah menjawab: “Ya, sesungguhnya hati itu berada di antara jari-jari Allah, dialah yang membolak-balikkanya”. [HR Ahmad]

6174551304_6bcfa397aa_b

Dan itu lah asbab mengapa kita di anjurkan untuk terus istiqamah dalam melakukan ibadah semata-mata kerana Allah dengan berbekalkan keyakinan yang tinggi terhadap-NYA.

Allah berfirman dalam QS Al Fussilat (41) : 30

“Sesungguhnya orang yang berkata: ” Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembirahlah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.”

Sunnatullah bagi orang yang istiqamah dalam tindakan itu pasti akan ada cabaran dan tribulasi yang harus di hadapi. Orang yang berjaya tidak mungkin akan memperoleh kemenangan sekiranya tidak melalui dugaan dan cabaran, pasti akan ada usaha yang perlu kerahkan untuk memperoleh hasil yang diinginkan.

Orang bisnes sahaja misalnya, pada mulanya berhempas pulas siang malam untuk memastikan mereka dapat mengaut keuntungan. Kenapa tidak dalam kita meraikan redha Allah dan menginginkan syurga Allah, kita buktikan dengan kesungguhan dalam menghadapi setiap liku-liku cabaran serta dugaan.

Allah berfirman dalam QS Al Ankabut (29) : 2 – 3

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: “Kami beriman”, dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui tentang orang yang berdusta.

Jelas ikhwah wa akhwat fillah, orang beriman itu pasti akan diuji dan jangan biarkan diri kita berada dalam ‘comfort zone’. Buat sesuatu untuk ‘upgrade’ value dalam diri.

Biarlah kita melakukan sesuatu ibadah itu sedikit-sedikit tetapi berkualiti di sisi Allah. Mulakanlah sesuatu ibadah itu berperingkat-peringkat ataupun bertahap, latih diri untuk ikhlas dengan melakukan

sesuatu perkara yang mampu kita lakukan. Pada mulanya, mungkin kita kena paksa diri, tetapi bila dah mula terbiasa dan dapat menghayati ibadah tersebut, maka kelazatan dalam melakukan ibadah pasti akan dirasai.

Rasulullah bersabda: “Amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang rutin dilakukan meskipun sedikit” [HR Bukhari dan Muslim]

Mengerjakan sesuatu ibadah yang sedikit namun terus-menerus adalah lebih baik daripada melakukan ibadah yang banyak sekaligus di waktu tertentu sahaja.

Apabila seseorang melakukan suatu ibadah yang meskipun hanya sedikit namun dilakukan terus-menerus, maka dia akan terus berada dalam keadaan beribadah dan terus menjalin ikatan dengan rabbnya tanpa terputus.

Mudah-mudahan kita semua dimudahkan segala urusannya dan terus istiqamah dalam melakukan ibadah dan mohon pada Allah agar hari kita terus berada dalam keadaan beriman kepada Allah dan mengharapkan kita mati dalam khusnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik, dan mohon dijauhkan daripada penghakhiran yang buruk iaitu su’ul khatimah.

Manusia diberikan pilihan dan kebebasan dalam beramal dan berusaha dengan pilihan mengikut kehendaknya sendiri.

Namun manusia pun diatur dan ditentukan jika dilihat dari sisi bahawa tidak ada sesuatu pun yang terjadi dari usaha dirinya melainkan berdasarkan kehendak Allah.

Dan kedua hal ini telah ditunjukkan oleh hadis tersebut, iaitu tatkala seorang berada di saat-saat kematiannya, ia didahului oleh  ketentuan Allah.

Hingga akhirnya ia beramal dengan amalan penghuni syurga atau neraka. “We never know where will we ended our life, either Jannah or Jahannam”.

Jelaslah disini bahawasanya tiada manusia pun yang boleh menjamin dirinya akan masuk ke syurga, hatta kita tidak boleh juga menilai orang lain samada mereka masuk syurga ataupun sebaliknya.

Oleh itu, setiap orang muslim itu wajib untuk selalu berada dalam pengharapan dan takut pada Allah.

Allah berfirman dalam surah Al Kahfi (18) : 30,

Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.

Mudah-mudahan kita masuk syurga dengan rahmat serta kasih sayang Allah.

Marilah sama-sama kita terus ikhlas dalam melakukan amal soleh serta kebaikan dan jika amalan kita diterima oleh Allah dengan janji-NYA, insyallah kita akan terlepas dari suul khatimah (pengakhiran yang buruk).

Janganlah pernah merasa penat dan lelah dalam melakukan amal kebaikan, kerana sesungguhnya kelelahan dan kepenatan dalam melakukan kebaikan pasti akan hilang namun pahalanya akan terus kekal bahkan akan terus bertambah.

Tapi sbaliknya, jika kita bersuka ria dengan maksiat yang kita lakukan, ketahuilah bahawasanya dosa itu akan kekal sampai kita mati sehinggalah kita sedar dan taubat akan kesilapan kita.

Wallahualam…

Mohd Fauzie Bin Abd. Muis

Aktivis IKRAM Siswa Sabah

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply