Apakah Kitab Tafsir Terbaik Untuk Memahami Al-Quran? – Sheikh Essam Tallima

0
134
views

Mungkin ada sebahagian daripada kita telah menetapkan untuk membaca tafsir Al-Quran dan pada saat itu, ramai yang bertanyakan:

“Apakah kitab tafsir terbaik untuk dibaca pada bulan Ramadan ini yang dapat membantu memahami kitab Allah serta mentadabbur makna-maknanya?”

month_quran-620x330

Mungkin para pembaca merasa hairan dan terkejut jika saya katakan kepadanya: “Sesungguhnya tafsir Al-Quran yang terbaik saya nasihatkan pembaca untuk membacanya tahun ini dan setiap tahun adalah ‘akal dan hatinya’.

Dan hendaklah dia tidak memulakan dengan membaca apa-apa tafsir sebagai mencuba sesuatu yang baru bagi tahun ini.

Inilah apa yang pernah dicuba sebelum ini oleh ulama yang rabbani dan para pemikir yang musleh. Sesungguhnya nasihat mereka adalah sebaik-baik nasihat kerana telah terbukti keberkesanannya.”

Imam Muhammad ‘Abduh pernah menasihatkan salah seorang muridnya dengan kata beliau:

“Lazimilah membaca Al-Quran, memahami segala perintah dan larangannya, mengambil nasihat dan pengajarannya seperti yang pernah dibacakan kepada mukminin suatu ketika dahulu pada hari-hari wahyu sedang diturunkan.

Dan hendaklah engkau berjaga-jaga daripada melihat tafsir yang pelbagai melainkan untuk memahami beberapa perkataan yang tidak engkau ketahui apa yang dimaksudkan oleh orang Arab atau ingin mencari makna yang tersembunyi daripada perkataan tersebut.

Setelah itu, pergilah engkau dengan apa yang Al-Quran telah gambarkan kepada engkau dan bawalah dirimu bersama apa yang Al-Quran telah bawakannya.”

Seorang akh pernah bertanyakan kepada Hasan Al-Banna tentang tafsir yang terbaik dan jalan yang paling singkat untuk memahami kitab Allah SWT. Maka jawab beliau:

“(Hatimu). Sesungguhnya tidak syak lagi hati seorang mukmin itu adalah sebaik-baik tafsir bagi kitab Allah SWT.

Dan jalan yang paling singkat untuk memahaminya adalah dengan membacanya dengan penuh tadabbur dan khusyuk, memohon kepada tuhan untuk mengilhamkan petunjuk dan kebenaran, asyik dan tenggelam fikiran saat membacanya, mengaitkan dalam masa yang sama dengan sirah baginda yang suci, mengambil berat dan memberi perhatian khusus terhadap ‘asbab an-nuzul’ serta kaitannya dengan konteks daripada sirah Nabi SAW.

Nescaya ia akan mendapati bahawa yang demikian itu merupakan sebesar-besar perkara yang membantunya untuk memperoleh kefahaman yang benar dan sejahtera.

Dan apabila ia membaca daripada kitab-kitab tafsir setelah itu, maka ia hanyalah sekadar untuk berhenti pada makna perkataan yang samar-samar, atau pada susunan ayat yang tersembunyi (tarkib khafiy) di mana maknanya di depan susunan tersebut, atau untuk menambahkan lagi pengetahuan yang dapat membantunya memperoleh kefahaman yang sahih daripada Al-Quran.

Inilah dia perkara yang dapat membantu untuk memperoleh kefahaman dan kefahaman tersebut setelah itu menjadi sinaran yang mampu menyuluh hingga ke dasar hati.”

fi-zilal-al-quran

Sesiapa yang pernah membaca ‘Fi Zilal Al-Quran’ karya Sayyid Qutb atau pernah mendengar ‘khawatir’ Syeikh Al-Sya’rawiy berkenaan Al-Quran, ia akan mendapati metod dan manhaj yang sama dengan jelas sekali dalam rangka yang lebih besar lagi.

Inilah dia renungan seorang muslim dengan hati dan akalnya bersama kitab tuhannya, tiada perantaraan antara kedua-duanya melainkan apa yang ia perlukan daripada makna-makna kalimah atau ‘asbab an-nuzul’.

Oleh yang demikian, saya nasihatkan para pembaca pada bulan yang mulia ini untuk membawa sekali kitab ‘Kalimat Al-Quran’ oleh Syeikh Hasanain Makhluf atau mushaf yang ditulis di tepinya makna-makna kalimah tanpa perlu merujuk mana-mana tafsir yang membuatkan engkau terikat dengan apa yang telah ditulis oleh mufassir tersebut dan yang lebih penting, engkau sendiri dapat merenung ayat-ayat tuhanmu.

Saya juga menasihatkan para pembaca supaya menyediakan buku nota kecil atau nota di dalam telefon bimbit di mana dicatatkan setiap hari makna-makna baru yang ia fahami dan apa yang Allah SWT telah bukakan pintu hatinya daripada lintasan-lintasan daripada ayat tersebut.

Pembaca juga tidaklah perlu memaksa dan membebankan diri dengan meletakkan ‘wajibat’ yang berlebihan untuk mentadabbur.

Pembaca akan mendapati setelah itu hasil yang sangat besar di mana makna-makna tersebut mula tersemat dan menetap dalam hati dan akal para pembaca dan kefahaman itulah yang akan meninggalkan kesan yang besar pada diri pembaca dari sudut tarbawi, moral dan spiritualnya.

Suka untuk saya kongsikan pengalaman saya sendiri dalam perkara ini. Setelah melakukan seperti apa yang telah disebutkan, saya mendapati bahawa saya telah memperoleh satu simpanan yang besar daripada pelajaran, makna dan renungan yang berkemungkinan tidak akan didapati dalam mana-mana kitab tafsir.

Yang demikian itu adalah kurniaan Allah SWT, Dia memberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Dahulu, saya selalu membaca surah Al-Kahf berulang kali tetapi sampai pada satu ketika, saya berhenti pada satu persoalan penting dalam kisah tersebut dan saya mendapati tiada satu pun kitab tafsir mahupun kitab kisah-kisah para Nabi atau kisah-kisah dalam Al-Quran yang menjawab persoalan ini.

Persoalan itu adalah:

“Ketika para pemuda tersebut masuk ke dalam gua, pada waktu itu, hanya mereka sahaja yang beriman daripada penduduk negeri tersebut dan mereka tidak meninggalkan seorang mukmin pun di belakang mereka.

Tetapi apabila mereka keluar dari gua tersebut, mereka mendapati penduduk negeri itu kesemuanya telah beriman daripada pemerintahnya hinggalah sekecil-kecil warganya.

Maka, siapakah yang melaksanakan kewajipan berdakwah kepada masyarakat sepanjang ketiadaan mereka?

Dan bagaimana iman boleh tersebar dalam kalangan masyarakat di mana dahulunya pemuda-pemuda itu sendiri pernah berkata tentangnya:

“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa)…” (Al-Kahf:20)

Dalam erti kata yang lain, masyarakat pada ketika itu adalah masyarakat yang ekstrim menentang seruan mereka. Maka bagaimana iman boleh tersebar dalam kalangan mereka dan mereka semua berubah haluan?”

Saya tidak mendapati sebarang jawapan melainkan satu lintasan makna ini yang pernah datang menjengah:

“Sesungguhnya penduduk negeri kufur tersebut pada awalnya menceritakan kisah pemuda-pemuda itu kepada anak-anak mereka untuk menghina dan mencela mereka, dan sebagai langkah berjaga-jaga daripada pemikiran yang bertentangan dengan pemikiran mereka.

Mereka seolah-olah berkata:

“Dahulu ada beberapa orang pemuda yang gila pernah berkata: “Sesungguhnya tuhan itu esa dan hanya ada satu tuhan sahaja yang disembah.” Maka hati-hatilah anakku daripada ditimpa kegilaan yang menimpa mereka.”

Tetapi setelah itu, ketakutan dan amaran tersebut bertukar menjadi persoalan tentang siapa mereka, apa manhaj mereka dan apakah ada kebenaran di sebalik apa yang di bawa oleh mereka itu.

Setelah itu, segala penyelewangan dan penghinaan itu bertukar membentuk satu pemikiran yang tersusun, yang membawa ramai daripada kalangan mereka beriman kepada Allah SWT.”

Itulah satu renungan daripada renungan-renungan saya. Besar kemungkinan jika engkau yang merenung ayat-ayat ini, kemungkinan engkau dapat keluarkan makna-makna lain yang lebih kuat hujahnya dan lebih teliti berbanding apa yang telah saya keluarkan.

Inilah dia Al-Quran yang memandu, yang tidak pernah kering bagi sesiapa yang ingin meneguk daripadanya.

Tulisan: Syeikh Essam Tallima
Terjemahan: Thufail Sayuti

Rujuk link asal: http://arabi21.com/story/912699/ أفضل-تفسير-للقرآن-في-رمضان

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply