Apakah Kriteria Seorang Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Dalam Sebuah Universiti?

0
586
views
pilihanraya-kampus-copy

Bismillah, untuk entri kali ini, penulis ingin berkongsi nasihat & kefahaman tentang memilih perwakilan Mahasiswa yang Qawiyul Amin. Tulisan ini berbekalkan pengalaman penulis selaku Yang Di-Pertua Perwakilan Mahasiswa USIM Darul Quran 15/16, sebelum peralihan tenure baru bagi sesi 16/17. 

MUQADDIMAH

Firman Allah, “Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
[Surah Ali Imran ayat 26]

Seseorang perwakilan, walaupun pada mata zahirnya dipilih oleh manusia, baik melalui syura ataupun Pilihan Raya Kampus (PRK) sekalipun, hakikatnya pemilihan itu, amanah itu oleh Allah s.w.t.

AL-QURAN ADA MENYEBUTKAN SIFAT QAWIYUL AMIN?

Ada. Al-Quran ada menyebutkannya. Ini berdasarkan Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Qashash ayat 26,

 ‎قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Wahai bapaku ambillah dia sebagai orang yang bekerja (dengan kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.”

Penulis secara peribadi terinpirasi dengan surah yang memperihalkan kisah Nabi Musa as ini kerana padanya ada nilai adab & pekerti mulia, baik kepada lelaki ataupun wanita untuk mencontohinya.

Secara ringkasnya, ‘Qawiy’ bermaksud kuat manakala ‘al-Amin’ bermaksud amanah. Sinergi antara ‘kuat’ dan ‘amanah’ inilah yang sepatutnya menjadi kayu ukur, khususnya dalam erti kata dimensi memilih bakal perwakilan Mahasiswa seperti yang penulis ingin sampaikan. Namun, persoalan mula timbul,

Sejauh mana kefahaman kita dalam memahami terma ‘kuat’ dan terma ‘amanah’ dalam konteks memilih perwakilan Mahasiswa pada era moden ini?

MEMAHAMI KONTEKS ‘QAWIY’ 

Kriteria bakal perwakilan Mahasiswa yang baik ialah mereka yang mempunyai kekuatan. Penulis telah membahagikan dimensi qawiy atau kekuatan ini kepada 5 :

1. Qawiy dari perspektif Ilmu.
2. Qawiy dari perspektif Mental.
3. Qawiy dari perspektif Material.
4. Qawiy perspektif Kesihatan.
5. Qawiy perspektif ‘Networking’.
6. Qawiy dari perspektif Spiritual.

* QAWIY DARI PERSPEKTIF ILMU

Suka untuk penulis nukilkan di sini, ciri-ciri bakal perwakilan Mahasiswa yang baik menurut penulis ialah mereka yang menguasai cabang ilmu seperti yang ditulis oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi melalui karya beliau yang bertajuk ‘Tsaqafah Ad-Daiyah’. Menurut beliau, untuk mendapat cara fikir yang baik, pandangan alam yang luas lagi matang, seseorang Muslim itu wajib menguasai enam jenis Ilmu iaitu :

1. Ilmu Islamiyyah.
2. Ilmu Sejarah.
3. Ilmu Kemanusiaan.
4. Ilmu Sastera & Bahasa.
5. Ilmu Sains.
6. Ilmu Semasa.

Tambahan, Menurut syed Naquib al-Attas, seseorang tokoh Ilmuwan bukan sekadar ‘Jack of all, Master trader of one'(pakar satu cabang ilmu) tetapi ‘Jack of all, Master trader of many’ (pakar pelbagai cabang ilmu). Hasil daripada penguasaan cabang ilmu tersebut, bakal perwakilan Mahasiswa itu mampu sedar dan menyedarkan komuniti sekelilingnya, bukannya menjadi seperti ‘Boiling Frog Syndrome’.

* QAWIY DARI PERSPEKTIF MENTAL

Jika kita melihat demografi politik kampus, adalah sangat dituntut untuk bakal perwakilan Mahasiswa menguasai seni & ilmu mengurus hal ehwal manusia. Di sini cabarannya mula hadir, bagi mereka yang lemah mental, pastinya cabaran-cabaran ini akan menjatuhkan keupayaannya seterusnya memilih untuk lari dari masalah.

Menjadi pimpinan Mahasiswa sepatutnya bukan satu kebanggaan, cara fikir seperti itu pasti akan membunuh niat utama, di samping komuniti Mahasiswa di bawah naungan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) akan sentiasa merujuk MPP, seterusnya kegagalan mana-mana individu perwakilan Mahasiswa dalam memberi servis pastikan akan dijadikan bahan untuk dikutuk, diherdik ataupun lebih teruk lagi.

Bakal perwakilan Mahasiswa sepatutnya bersedia dengan segala kemungkinan di samping mencari jalan untuk ‘takle’ sesuatu permasalahan yang timbul. Mengadakan pertemuan berkala dengan pelajar baik bersama pihak pentadbiran universiti merupakan idea yang baik, agar suara Mahasiswa sentiasa didengari serta diambil tindakan sepatutnya. Kampus yang harmoni ialah kampus yang pelajarnya mengamal politik berasaskan nilai dan kematangan, serta mengetahui ada sesetengah masalah perlu disuarakan secara terbuka ataupun disuarakan secara tertutup.

* QAWIY DARI PERSPEKTIF MATERIAL

Sebagai bakal perwakilan Mahasiswa, ekonomi diri perlu kukuh, perlu ada ilmu dalam pengurusan wang yang baik tanpa menafikan wang atau kuasa membeli yang tinggi sangat memberi kesan dalam soal gerak kerja harian. Membuat perniagaan sampingan merupakan idea yang baik serta dianjurkan. Suatu masa dahulu telefon atau kenderaan hanyalah sebagai kehendak tetapi era moden ini, telefon dan kenderaan telah menjadi satu keperluan apabila hampir segala-galanya melibatkan telefon mahupun kenderaan.

Dalam kebanyakkan waktu, seseorang perwakilan itu perlu untuk dihubungi mahupun untuk bergerak ke suatu tempat kerana khidmatnya diperlukan atau bagi melaksanakan tugasnya sebagai perwakilan Mahasiswa. Saat-saat isu kebajikan timbul, perwakilan Mahasiswa akan menjadi tempat rujukan rakyat Mahasiswanya serta pada waktu cuti semester, perwakilan Mahasiswa perlu berkorban cuti untuk hadir ke kampus bagi melaksanakan tugas atau bermesyuarat. Walaubagaimanapun, minda materialistik perlu dijauhkan, adapun kehendak ini perlu diurus dengan baik kerana ia hanyalah ‘alat’ bukan matlamat. 

* QAWIY DARI PERSPEKTIF KESIHATAN

Antara kriteria dalam memilih perwakilan Mahasiswa ialah berdasarkan kesihatan yang baik. Tanpa kesihatan yang baik, tatakelolanya tidak akan efisien, aktiviti akan terbantut, khidmat untuk diberi juga turut terbatas serta akal tidak dapat memutuskan keputusan dengan baik. Kesihatan dan riadah saling berkait, Apatahlagi riadah juga sunnah, maka proaktif dalam sukan mahupun aktiviti-aktiviti kampus merupakan contoh yang baik. Selain itu, menjaga kesihatan selari dengan muwassafat tarbiyah yang digariskan Imam Hassan al-Banna ‘Qawiyul Jism’ serta Gagasan Kampus Harmoni.

* QAWIY DARI PERSPEKTIF ‘NETWORKING’

Networking atau rangkaian sangat penting buat bakal perwakilan Mahasiswa. Ini kerana, rangkaian yang baik dapat memberi kesan yang baik dalam gerak kerja serta manfaat-manfaat yang lain. Warga kampus bukan hanya melibatkan Mahasiswa, tetapi juga melibatkan para pesyarah, para pengawal, makcik pakcik tukang kebun, tukang sapu, pakcik driver bas, makcik pakcik cafe dan lain-lain.

Menjaga silaturrahim dengan mereka adalah dituntut serta pada waktu-waktu terdesak, mereka mungkin dapat menolong perwakilan Mahasiswa. Tanpa menafikan, rangkaian bersama Mahasiswa di kampus lain baik di dalam negara mahupun luar negara juga memberi manfaat yang besar dari sudut silang budaya, libatsama, perpaduan, pengurusan, kepelbagaian dan lain-lain lagi.

* QAWIY DARI PERSPEKTIF SPIRITUAL

Sengaja penulis letakkan poin ini yang terakhir kerana penulis ingin menegaskan, sehebat mana pun, sekuat mana pun, tetapi jika hubungan dengan Allah tidak jaga, maka yang lain akan bermasalah. Menjaga ‘Hablum minallah’ (hubungan dengan Allah) merupakan indikator yang baik dalam memilih bakal perwakilan Mahasiswa dari sudut qudwah hasanah. Kesan menjaga hubungan dengan Allah, menjadikan insan yang muhsinin serta muqarrabin, sekaligus menghidupkan sifat ‘Tazkiyatun an-Nafs’ (penyucian jiwa) yang menatijahkan adab, akhlak mulia dan perkara-perkara baik yang lain. Dari sudut lain, menjaga hubungan dengan Allah menyebabkan hubungan sesama manusia juga turut terjaga. 

MEMAHAMI KONTEKS AMANAH 

Perwakilan Mahasiswa yang baik ialah mereka yang amanah. Penulis telah membahagikan dimensi amanah ini kepada 4 :

1. Amanah dari sudut ilmu.
2. Amanah dari sudut kepercayaan.
3. Amanah dari sudut masa.
4. Amanah dari sudut agama.

* AMANAH DARI SUDUT ILMU

Bakal perwakilan Mahasiswa perlu tahu, ilmu yang ditimba Mahasiswa sepatutnya disampaikan kepada masyarakat, untuk mengubah nasib masyarakat, Ilmu bukan untuk disorok apatahlagi disembunyikan kerana berdengki. Itulah amanah ilmu yang sering dilupakan. Yang benar dikatakan benar, yang salah dikatakan salah. Mahasiswa perlu tahu falsafah universiti ialah untuk melahirkan graduan Mahasiswa yang menguasai ilmu serta bermanfaat kepada masyarakat kerana ilmunya. Bukannya sekadar mendapat segulung ijazah, lantas hanya memenuhi market dan pasaran modal pekerja, kalau begitu jadinya, di manakah definisi belajarnya? 

* AMANAH DARI SUDUT KEPERCAYAAN

Sebagai bakal perwakilan Mahasiswa, amanah atau kepercayaan yang diberi tidak patut dikhianati. Menyelesaikan isu kebajikan Mahasiswa sepatutnya disenaraikan sebagai ‘urgent’ dalam list-to-do. Penulis teringat tentang salah satu tanda munafik menurut hadith, apabila diberi kepercayaan, dia khianati. Saat melangkah ke kampus, seseorang Mahasiswa itu membawa bersama kepercayaan agamanya, ibubapanya, bangsanya, bahkan negaranya pada bahunya dengan harapan, suatu hari nanti, dia dapat memberi yang terbaik serta tidak mengecewakan. Sebagai bakal perwakilan Mahasiswa, kepercayaan perlu dijaga sebaiknya.

Pecah amanah, culas, korupsi, rasuah dan lain-lain merosakkan integriti serta kredibiliti seorang pemimpin. Sekalipun punya ilmu yang tinggi dan mendalam, tetapi lokek adab serta tidak amanah, maka lahirlah golongan bergelar ‘Intellectual Barbarism’, mereka cerdik tetapi tiada adab, tidak berakhlak dengan akhlak mulia sekaligus merosakkan masyarakat dengan kezaliman mereka.

* AMANAH DARI SUDUT MASA

Kefahaman tentang menjaga masa seperti yang dinukilkan al-Imam Hassan al-Banna dalam muwassafat tarbiyah, bukan sekadar berada tepat pada waktunya tetapi juga tidak menzalimi waktu insan lain. Bakal perwakilan Mahasiswa perlu hadam berkenaan ini kerana masa sangat berkait rapat dengan proses pengurusan gerak kerja. Tambahan, masa sememangnya perlu diuruskan dengan baik meskipun kewajipan lebih banyak daripada masa. Dalam hadith, terdapat dua nikmat yang sering manusia lupa iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Bagi seorang perwakilan Mahasiswa, masa lapang itu masa yang sangat mencemburui. Berlalunya ibarat kelipan. Ironinya, manusia kekadang mahu cepat dalam solat dengan membaca surah pendek seperti surah al-Asr tanpa menyedari surah itu memperihalkan tentang masa.

* AMANAH DARI SUDUT AGAMA

Seperti poin sebelum ini, sengaja juga penulis letakkan di poin terakhir, agama sememangnya antara perkara yang paling penting. Calon bakal perwakilan Mahasiswa wajib ada kefahaman dan kesedaran yang baik bahawasanya Islam merupakan cara hidup yang sempurna. Tujuan manusia di bumi adalah sebagai hamba Allah serta menjadi khilafah yang memakmurkan bumi.

Setiap Muslim yang dilahirkan merupakan seorang daie, penyeru kepada kebaikkan dan melarang kepada kemungkaran, dengan kata lain, setiap Muslim menanggung amanah meneruskan risalah nubuwwah Rasul Allah saw. Apabila manusia lupa akan tujuannya dalam hidup, maka tersesatlah mereka kerana mengikuti petunjuk-petunjuk yang salah, terkapai-kapai lemas dalam dunia yang penuh menghiburkan, sehingga sebahagian mereka menjadi penentang yang keras terhadap wahyu Allah.

Sebagai bakal perwakilan Mahasiswa yang kelak punya kuasa, ‘kuasa’ itu perlu dihalakan ke arah memakmurkan komuniti masyarakat, bangsa, agama dan negara agar ‘kuasa’ itu menjadikan rahmah buat sekelilingnya, baik yang memerintah mahupun diperintah. Yang lemah dibantu, yang lapar diberi makan, yang dizalimi diberi keadilan. 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, penulis berharap agar menjadi kewajipan buat setiap Mahasiswa, apabila tiba waktu mengundi calon-calon perwakilan Mahasiswa dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) dilihat dahulu apakah wujud ciri-ciri Qawiyul Amin seperti yang ditulis penulis. Mempertahankan kekuasaan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atas dasar sentimen tanpa melihat dan menilai ciri Qawiyul Amin adalah bukan daripada objektif yang kita impikan daripada pengamalan Politik Nilai.

Siapa yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, servisnya, serta terhimpun pada dirinya ciri-ciri Qawiyul Amin, maka dialah yang layak untuk menang walau dari kelompok mana sekalipun dia datang. Kepimpinan yang bersifat Qawiyul Amin akan membawa sejahtera kepada rakyatnya, namun pemimpin yang korup akan menzalimi & memusnahkan kesejahteraan rakyatnya. Semoga dengan wujudnya kefahaman tentang Qawiyul Amin ini Malaysia menjadi negara yang Rahmah Mithali. WaAllahu’alam. 

Amir ‘Izzuddin bin Muhammad,
Yang Di-Pertua,
Perwakilan Mahasiswa,
Universiti Sains Islam Malaysia Darul Quran.

Artikel Yang Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply