Asmaul Husna Pemangkin Motivasi – Raihana Zakaria

0
66
views
beautiful-sunset-wallpaper-hd-1920x1080

Bismillahirrahmaanirrahim.

Hari-hari yang berlalu, masa-masa yang pergi seringkali membelenggu diri kita. Kita seakan dirantai dengan masa depan yang kita tidak pernah tahu sinarnya bagaimana, dan tidak kurang pula kita acapkali dihimpit gundah akan perkara yang telah pun berlaku.

Lalu kita sering bertanya kepada diri kita, apa yang membuatkan kita terus beraktivitas setiap hari saat diberi kesempatan bangun pagi? Apa yang mendorong kita untuk sekurang-kurangnya mengulangi rutin yang sama setiap hari, meski 1001 perkara yang tidak disenangi berlaku hari sebelumnya? Dan saat kita penat dek masalah yang mungkin menghambat, apa yang menjadi ‘driving force‘ kita untuk terus berbuat?

Walau apapun masalah dan cerita kehidupan kita, yang sudah pasti berbeza, saya terfikirkan satu perkara ini, yang saya kira perlu untuk sama-sama kita tanamkan dalam hati, sebagai pemangkin motivasi setiap hari.

Sentiasa refleks kehidupan dengan mengingati nama-nama Allah yang baik (Asmaul Husna)

Sudahkah kita menghafaz 99 nama-nama Allah? Tahukah kita makna di sebalik nama-nama Allah itu? Pernahkah kita memperuntukkan sedikit masa dalam sehari untuk duduk, dan memikirnya nama-nama Allah yang agung?

Jika jawapan kepada semua soalan di atas ialah ya, tahniah. Saya percaya kitalah orang yang paling bermotivasi saat ini.

Jika jawapannya tidak, tidak mengapa. Tidak pernah terlambat untuk kita usahakan hal-hal di atas.

Masa kita terasa sempit? Ingatlah, Allah itu Maha Luas Pemberian-Nya (Al-Wasi’) dan Maha Melapangkan (Al-Basith). Minta sahajalah kelapangan hati dan barakah masa dari-Nya.

Urusan kita berserabut dan menyesakkan?

Ketahuilah bahawa Allah itu Maha Mentadbir dan Mengurus. Sebutlah nama-nama Allah berulang kali, dan usah sesekali berputus asa dalam mengendalikan urusan kita, menurut prioriti yang sepatutnya. Mudah-mudahan Allah berkenan melancarkan urusan kita sehari-hari.

Masalah kita terasa besar, seakan membantutkan perjalanan hidup kita?

Yakinilah bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Penguasa, Maha Pembantu. Sebesar mana masalah yang menimpa, besar lagi kudrat dan iradat Allah untuk membantu kita. Teruskan percaya dan move on.

Kita rasa down dengan prestasi harian kita yang kurang memberangsangkan? Terasa berdosa, tidak lagi punya harapan dan peluang untuk berubah?

Usah sesekali lupa, Allah itu Maha Pengampun, Allah Al-‘Afuwwu, Al-Ghafur. Teruskan beristighfar dan mohonlah keampunan dari-Nya dengan penuh rasa takut, tetapi yakin dan berharap. Harapan sentiasa ada buat kita. Bertaubatlah dengan taubat nasuha (sebenar-benarnya). Allah Maha Penerima Taubat.

Akhirnya, hakikat yang perlu kita imani bersama-sama ialah selagi mana kita meyakini Allah sebagai Tuhan dan Tuan Milik kepada diri dan kehidupan kita, selagi itulah kita mempunyai asbab yang kuat untuk terus beraksi dan berprestasi; dan kita sesekali tidak memiliki alasan yang kukuh untuk mengalah kepada cabaran kehidupan.

Ayuh, jadikan Asmaul Husna sebagai bekal untuk kekal positif dan bermotivasi.

Allah yang Maha Baik, kurnikanlah kebaikan kepada kami, sepanjang masa. Ameen.

 

 

 

 

 

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply