Bacalah Dengan Nama Tuhanmu!

0
163
views

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu | Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari seketul darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.

(Surah Al-‘Alaq, 1-5)

Kalam Allah s.w.t di atas ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan. Perkataan pertama yang difirmankan Allah adalah bacalah bukan beribadatlah. Bermakna, untuk melakukan apa perkara sekalipun, kita harus mempunyai ilmu. Bagaimana untuk kita beribadat kepada Allah jika kita tidak tahu bagaimana pergerakannya, bacaannya, tatacaranya dan sebagainya?

Apakah bermakna sesebuah kehidupan itu andai tanpa ilmu? Lupakah kita pada kisah Saidina Umar Al-Khattab tentang bagaimana ilmu telah menariknya ke dalam Islam? Renunglah kisah ini.

Sebelum memeluk Islam, Saidina Umar terkenal dengan perwatakannya yang bengis, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Hatinya cukup keras sehingga sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup. Suatu hari, Saidina Umar mendapat tahu bahawa adik dan adik iparnya telah memeluk Islam, agama yang paling dibencinya. Lalu, Saidina Umar pulang ke rumah dan melihat adik iparnya sedang membaca Al-Quran. Ditampar adik iparnya itu hingga tersungkur.

Lalu keluar adik perempuannya menghalang Saidina Umar dari terus memukul suaminya. “Katakan padaku benarkah engkau dan suamimu telah mengikut agama Muhammad?”, soal Saidina Umar keras. “Ya, wahai abangku. Rasulullah membawa risalah yang benar”. Saidina Umar menjadi semakin marah lalu merampas mashaf yang dibaca adik iparnya tadi. “Janganlah wahai abangku, jangan di apa-apakan kalam Tuhan ini”, rayu adiknya. Lalu Saidina Umar berjanji untuk tidak merosakkan isi kandungan itu. “Aku cuma ingin melihat apa isinya!”, jelas Saidina Umar lantang. Setelah menunaikan beberapa permintaan adiknya, Saidina Umar pun membuka mashaf yang dibaca adiknya tadi.

“ TaHaa. Kami tidak menurunkan A-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut yang melanggar perintah Allah. Al-Quran diturunkan dari tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu Allah Ar-Rahmaan, yang bersemayam (berkuasa) diatas ‘Arasy”.

(Surah Taha, 1-5)

Setelah membaca hingga ayat kelima, muka Saidina Umar bertukar pucat dan air matanya bergenang. Lalu beliau bersuara “Bawakan aku kepada Muhammad!”. “Tidak boleh” tegas adiknya, “Abang sudah berjanji, kami tidak akan biarkan abang menyakiti Rasul kami!” sambung adiknya lagi. Lalu Saidina Umar berkata “Aku perlu berjumpa dengannya”.

Kemudian Saidina Umar terus bergegas ke rumah Rasulullah s.a.w. Para sahabat yang sedang mendengar syarahan baginda ketika itu terkejut dengan kedatangan Saidina Umar lalu bingkas mereka semua bangun kerana gentar pada Saidina Umar tetapi masih lagi bertindak melindungi baginda. Saidina Umar datang menghampiri Rasullullah yang hanya tersenyum. Lalu Saidina Umar berkata,

“Aku mahir semua sastera Arab, aku tahu semua tentangnya, aku pernah membaca semua jenis sastera Arab tetapi kalam yang engkau sampaikan itu aku benar-benar terpesona dan aku yakin ia bukan dari seorang manusia, ia pasti kalam dari Tuhan Yang Esa. Jadi kedatangan aku kemari untuk menyatakan ‘Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan engkau Muhammad adalah pesuruh Allah’,” Air mata Saidina Umar bercucuran lalu memeluk Nabi. Sahabat-sahabat yang berada di sekitar, semuanya bergembira dan mengalirkan air mata tanda kesyukuran.

(Cerita ini dipetik daripada buku Bertanya Tentang Tuhan karya Ibnurijal.)

Saudara, kisah ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu penngetahuan. Lihatlah bagaimana sesuatu ilmu dapat memandu kita pada sebuah kebenaran. Dek kerana Saidina Umar berilmu dalam bidang sastera, beliau tahu menilai manakah karya manusia dan manakah karya daripada Tuhan. Hanya dengan lima ayat dalam surah Taha, tersungkur Saidina Umar. Seorang yang bengis, tidak berperikemanusiaan dan memusuhi agalam Islam bertukar menjadi manusia yang tunduk dan patuh pada Allah. Malah sentiasa membantu baginda Rasulullah s.a.w dalam perjalanan dakwah membangunkan Islam. Bagaimana semua ini boleh berlaku? Kerana ILMU!

Allah s.w.t telah memberikan akal fikiran kepada kita. Itulah nikmat terbesar untuk manusia yang membezakan kita dengan makhluk lain. Maka, gunalah nikmat itu sebaik-baiknya. Janganlah sesekali kita kufur nikmat. Ingatlah, betapa ilmu pengetahuan akan membawa kita kepada sebuah kebenaran! InsyaAllah, semoga Allah redha.

Farah Hani Azman

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply