Bagaimana Islam Memandang Sistem Perhambaan – Fatimah Dolah

0
2047
views

Modern_day_slavery

Barangkali kekeliruan tentang sistem perhambaan telah ada dalam kalangan umat Islam sendiri. Kata mereka, andai benar Islam itu sesuai sepanjang zaman tentulah system perhambaan akan terus diharamkan ketika mula-mula ajaran wahyu Nabi diturunkan kepada umat manusia.

Sedangkan pada zaman itu system perhambaan dihalalkan dan dikatakan menjadi bukti bahawa Islam adalah agama yang sesuai untuk jangka masa yang tertentu sahaja. Benarkah begitu?

Mari kita melihat latarbelakang perhambaan yang pernah dirakamkan oleh sejarah di negeri Rome di zaman purba. Hamba abdihanya dianggap sebagai barangan bukan manusia. Peperangan hanya dilakukan untuk memperhambakan manusia-manusia untuk kepentingan diri sendiri.

Manusia-manusia ini diperlakukan seperti barang-barang yang tidak beridentiti manusia. Mereka bekerja di sawah bendang, tetapi kakinya dirantai dengan besi-besi yang berat. Mereka diberi makan, tetapi hanya sekadarnya ibarat binatang-binatang yang harus diberi makan.

Mereka diseksa, disebat dengan ganas semata-mata hanya untuk memuaskan nafsu tuan kepada hamba yang merasa kenikmatan ketika menyiksa hamba abdinya. Mereka juga tidur beramai-ramai kesempitan di bilik gelap yang hanya dipenuhi lipas dan serangga.

Tetapi antara yang lebih jelik lagi ialah hamba-hamba abdi ini dipaksa untuk menyertai pertandingan-pertandingan pedang dan lembing sambil ditonton oleh tuan mereka dan pembesar-pembesar kota. Mereka menikam dan menetak antara satu sama-lain diiringi sorak tepuk dan hilai tawa yang memenuhi angkasa.

Demikian kita membaca sejarah dan nasib hamba abdi yang tidak mempunyai apa-apa hak dalam kedudukan undang-undang. Hak mutlak untuk menyiksa, mengeksploitasi malah membunuh hamba abdi ini terletak sepenuhnya pada tuan kepada hamba abdi masing-masing.

Di samping itu di daerah lain mahupun di pelbagai rentas tempat dan lain-lain negeri tidak banyak bezanya dengan layanan-layanan di negeri Rome seperti yang dibincangkan tadi.

Kemudian dalam beberapa ketika Islam telah muncul untuk mengembalikan keinsanan hamba abdi. Firman Allah dalam surah An-Nisa, ayat25 :

Di antara setengah dengan (suami yang merdeka dan isteri dari hamba) adalah sama dari segi asal keturunan dan keimanan.”

Islam juga dalam surah An-Nisa ayat ke-36  ada memerintahkan supaya memberi layanan yang baik kepada hamba abdi. Malah, Islam datang memberi penentuan apabila tuan kepada hamba abdi tersebut juga boleh membina perhubungan persaudaraan dan kekerabatan dengan mengahwini hamba abdi mereka.

“Kamu boleh mengahwini wanita yang beriman dan hamba-hamba yang dimiliki oleh kamu.” – An-Nisa, 25.

Islam Dan Sejarah Perhambaan

Dalam sejarah Islam sendiri tindakan yang praktis untuk membebaskan kaum hamba dilakukan dengan pembebasan sukarela oleh tuan kepada hamba abdi dan pemberian hak kepada hamba abdi untuk memerdekakan dirinya.

Lihat sahaja Abu Bakar yang menggunakan kekayaanya untuk membebaskan hamba abdi dari pembesar-pembesar  Quraisy  supaya mereka ini bebas dari sebarang perhambaan. Rasulullah juga dalam strategi peperangan telah membebaskan mana-mana tawanan perang yang dapat mengajar tulis baca kepada sepuluh orang Islam.

Lebih menarik adalah galakan dari Al-Quran sendiri yang menyatakan bahawa sesetengah dosa dapat ditebus dengan membebaskan hamba abdi.

Persoalannya ialah, mengapakah Islam tidak hanya terus melaksanakan langkah muktamad dan tegas supaya menghapuskan sama sekali dasar perhambaan?

Untuk menjawab soalan ini kita terlebih dahulu harus memahami hakikat-hakikat sosial, psikologi dan politik yang menyelubungi persoalan tentang hamba abdi.

Pertamanya ialah, Islam muncul di kala sistem perhambaan diakui oleh seluruh pelusuk dunia bahawa sistem itu adalah satu sistem yang lumrah dan tiada salahnya dan tiada siapa pun yang terfikir bahawa sistem itu dapat diubah. Justeru proses sistem perhambaan memerlukan langkah-langkah beransur-ansur dan jangka waktu masa yang panjang.

Kedua, kemerdekaan itu biasanya bukanlah dicapai dengan pengurniaan. Malah harus direbut dengan usaha perjuangan. Pengalaman Amerika membebaskan hamba abdi ketika zaman Abraham Lincoln menunjukkan mereka tidak mampu hidup dengan kemerdekaan malah kebanyakan mereka kembali semula kepada tuan masing-masing agar diterima semula sebagai hamba. Ini kerana sebenarnya jiwa mereka belum lagi merdeka.

Seperti yang kita maklum hidup itu adalah suatu kebiasaan dan suasana-suasana yang melingkungi hidup seseorang yang membentuk perasaan dan jiwanya. Maka inilah yang telah dibuat oleh Islam. Mula-mula ia bertindak menyuruh manusia memberi layanan sebaik-baiknya kepada hamba abdi bagi memulihkan jiwa hamba dan memulangkan kehormatannya supaya mereka merasa harga diri sebagai manusia.

Dengan pemulihan jiwa inilah hamba abdi tadi akan dapat mengecap nikmat kebebasan dan merasa perlu untuk menuntut kemerdekaan diri mereka. Inilah jaminan hakiki untuk mencapai pembebasan.

Hari ini perhambaan tidak lagi dalam konteks realiti jasadi dengan dua belah mata yang dikurniakan, tetapi dalam konteks yang lebih mendalam lagi. Hanya kerana kita di dalam kontinuum yang berlainan, penghambaan dan penindasan terlahir dalam dogma-dogma yang tidak lagi sama.

Hingga saat ini, tidak ramai orang yang sanggup lagi berbicara tentang harga atas sebuah kebebasan. Lebih-lebih lagi pada praktikal tentunya. Justeru janganlah kita lupa bahawa kemerdekaan ada harganya yang perlu dibayar. Tanggungjawab, integriti dan pengorbanan bagi mencapai tujuan.

Semoga kita semua bebas dari sebarang bentuk perhambaan yang wujud pada hari ini.Berpeganglah dengan Al-Quran dan hadis nabi supaya kita sentiasa terpandu dalam lorong kebebasan yang dibawakan oleh Islam.

Penulis :

Fatimah Dolah

Aktivis IKRAM  Siswa Cyberjaya University Colleges of Medical Science (CUCMS)

Artikel Yang Berkaitan :

 

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply