Bagaimana Pornografi Merosakkan Otak Pelajar – Fadhli Othman

0
324
views

Hari ini jika di sekolah, masalah rokok dan dadah menjadi kempen utama di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri.

Bulan tanpa rokok dan anti dadah menjadi satu kempen yang wajib dilaksanakan di peringkat sekolah. Namun tidak bagi dadah pornografi.

Rokok dan dadah mampu dilihat secara zahir. Langkah pencegahannya mampu dirancang agar murid-murid sedar dan tahu akan akibat dan kesan bahayanya.

Manakala pornografi pula merupakan jarum halus yang sukar dikenal pasti pada diri seseorang pelajar.

Sebuah kajian telah dijalankan, 420 survey kanak-kanak 9 – 16 tahun di beberapa buah sekolah di Selangor. 50% dari kanak-kanak antara telah terdedah dengan pornografi di laman web (1).

Manakala 860 survey remaja berumur 13-18 tahun dari beberapa negeri Pulau Pinang, Selangor & Johor mencatatkan 36% remaja telah terlibat dengan satu jenis tingkah laku seksual dan 11% terlibat dengan hubungan seksual (2).

supreme-court-porn-law

Cara Pornografi Merosakkan Otak

Kecanggihan teknologi seperti internet, telefon bimbit dan segala aplikasi media sosial antara faktor utama pornografi sangat mudah berada dalam genggaman tangan dan memasuki ruang peribadi kehidupan pelajar.

Hal ini menyebabkan, mereka mudah meneroka tanpa batasan dan memperoleh ‘dadah’ pornografi dengan mudah.

Terdapat dua sistem di dalam otak manusia, iaitu responder (sistem limbik) dan director ( prefrontal cortex / PFC).

Sistem Direktori (director) berkaitan dengan kemampuan berfikir secara rasional. PFC, antara lain, bertanggungjawab dalam membuat keputusan, menentukan prioriti, menganalisis risiko, dan berkeupayaan penilaian.

Namun, PFC belum sepenuhnya berkembang pada usia remaja. Bahagian ini akan sempurna sepenuhnya ketika seseorang mencapai usia 24-25 tahun.

Sistem limbik terdiri dari sturuktur di otak yang berhubungan dengan emosi seperti marah, kebahagian dan takut. Sistem limbik juga boleh dikenali sebagai responder.

Tugasan responder adalah untuk mengatur perilaku, hasrat, emosi, ingatan, motivasi, dan perkara yang berkaitan gerakbalas.

Sistem responder antara lain akan mendorong seseorang untuk senang, memuaskan diri, dan merasakan kenikmatan.

anti_pornografi_anak_20131217_112903

Bagi kanak-kanak, rangsangan sangat mudah kerana mereka lebih cenderong belajar dengan cara melihat berbanding rangsang berfikir. Kesannya mereka sukar membezakan antara fakta dan fantasi serta tindakan yang boleh dan tidak boleh,

Apabila seorang kanak-kanak menyaksikan bahan pornografi, sistem responder lebih banyak dipacu dan jauh lebih besar bertindak.

Hal ini kerana pornografi membawa ke arah kesenangan, sedangkan otak depannya atau PFC masih kurang berkembang.

Pornografi membuatkan otak kanak-kanak bertarung antara sistem responder dan direktor. Akhirnya sistem responder akan berkembang pesat berbanding sistem director yang membawa ketidak seimbangan dalam berfikir dan membuat keputusan.

Kesan Kepada Pembelajaran

Kini, wabak pornografi bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sejak awal sekolah rendah, wabak ini telah meracuni pemikiran pelajar-pelajar.

Sehinggalah ke dunia IPT, bahan pornografi lebih mudah di miliki tanpa rasa bersalah di jiwa.

Pornografi telah memusnahkan sistem fikir mereka. Bukan itusahaja , virus ini mampu mempengaruhi fizikal dan emosi sehingga ke tahap yang amat teruk. Akhirnya kualiti pencapaian mereka dalam pelajaran akan merosot.

Kecanduan pornografi membuatkan sistem responder pelajar menjadi selesa dengan kenikmatan yang mereka perolehi.

Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar yang candu pornografi mengalami boring, keseorangan atau berada dalam tekanan maka mereka akan menghalakan diri mereka ke arah mencari nikmat seks yang singkat.

Setelah perkara ini berulang ulang kali dilakukan, maka sistem director mereka akan rosak. Di sini kita akan dapati pelajar akan kurang mampu berfikir secara rasional.

Idea dan pendapat-pendapat yang dikeluarkan tidak mampu mencapai tahap kualiti yang tinggi.

Selain itu, mereka yang telah candu dengan pornografi juga akan sukar menentukan prioriti dalam sesuatu hal atau perkara.

Akhirnya berlaku tidak keseimbangan dalam menganalisis sesuatu masalah yang akhir lemah dalam menangani setiap risiko atau rintangan yang mereka hadapi.

stop-pornografi

Oleh kerana itu, kita boleh dapati keputusan pembelajaran seseorang pelajar boleh berada dalam keadaan merosot setelah menjadi penagih pornografi.

Mereka akan hilang fokus, hilang daya fikir dan tidak mampu untuk ke arah kemahiran berfikir aras tinggi seperti yang digariskan oleh sistem pendidikan terkini. Akhirnya pelajar ini akan terkulai layu.

Jalan penyelesaian

Mereka yang telah kecanduan pornografi perlu diberi kesedaran. Hukuman berbentuk fizikal tidak mampu mengubah cara fikir mereka. Malah berkemungkinan akan terus mendorong mereka melakukan tabiat lama itu.

Kesedaran perlulah dilakukan dalam bentuk didikan yang berpanjangan dan berkala. Perhatian perlulah diberi oleh ibu ayah dan guru. Mangsa kecanduan pornografi ini perlulah dikenalpasti dari peringkat awal.

Ibubapa tidak seharusnya membiarkan perkara ini seperti melepaskan batuk di tangga. Menganggap isu ini adalah isu biasa.

Guru-guru dan pegawai pendidikan pula disarankan memberikan perhatian dan pencegahan yang berat kepada permasalahan ini. Usah menafikan kehadiran wabak pornografi ini. Sesungguhnya isu pornografi ini sedang bermaharajalela seperti rokok dan dadah.

Ayuh kita berganding bahu. Mothers Against Pornography dan Goodbye Pornography sedia membantu.

Rujukan

  1. Teimouri M, Hassan MS, Bolong J et al. What is upsetting our children? Procedia Social &Behavioural Sciences (155) 2014: 411-416.
  2. Impact of sexual knowledge, attitude, and exposure to pornography on sexual behaviour among urban adolescents in Peninsular Malaysia
  3. Wong, Fui Ping (2012) Impact of sexual knowledge, attitude, and exposure to pornography on sexual behaviour among urban adolescents in Peninsular Malaysia. Universiti Putra Malaysia.

Artikel Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Cikgu Fadhli merupakan seorang guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah di Johor. Selain menjalankan tugas sebagai seorang guru, cikgu Fadhli juga merupakan seorang pendakwah bebas serta persona Best Belajar. Pada tahun 2016, cikgu Fadhli telah melebarkan sayapnya ke bidang penulisan dengan terbitnya buku ‘Sisi Terlindung’ yang menghimpunkan hasil idea barisan pena syariah berkaitan pandangan mereka tentang isu-isu agama, ilmiah, kemasyarakatan dan isu-isu semasa.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply