Terlintas di fikiranku, bukankah Allah telah menciptakanku dalam keadaan fitrah yang suci?
Namun saat ini,
Bahuku sudah remuk mendokong dosa-dosa lampau,
Lidahku sudah dibasahi dengan kalimah-kalimah kesat,
Mataku pula sudah berkali-kali menatap kemungkaran.
.
Lantas, adakah aku sudah terlambat untuk berubah?
.
Allah S.W.T bersabda di dalam Surah Az-Zumar, ayat ke-53:
“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa”
.
Merasakan diri terputus dari keampunan Allah ialah tindakan yang menzalimi diri kita. Setiap kali tergelincir, bangkitlah semula. Namun untuk bangkit dan berubah, engkau perlu menghidupkan suis jiwamu.
Kerana, jasad tidak akan terlintas untuk berbuat kebaikan melainkan ia adalah suara dari hati. Begitu juga keburukan.
Kegagalan untuk menghidupkan suis inilah yang mendorong dirimu agar berlengah dan bermalas-malasan untuk berubah ke arah ke kebaikan.
Dua ciri hati yang membawa kegagalan dalam perubahan:
1. Hati yang terikat
Yang memberatkan diri kita menuju Allah ialah kerana hati ini telah terikat dengan dunia. Nafsu dan Biah telah mengukuhkan ikatan ini dalam dirimu. Sukar dinafikan, bagi memutuskan ikatan ini amat sukar dan mustahil melainkan melalui pengorbanan yang tinggi.
“Saat kekalahan itu bermula apabila kamu lemah dalam perjuangan dan saat kemenangan itu bermula apabila kamu melawan rasa lemah itu”
Ingat! Perubahan juga suatu perjuangan!
2. Hati yang hitam
Cahaya tidak boleh menembusi kegelapan. Dosa-dosa telah membina lapisan-lapisan yang menyukarkan iman memasuki hatimu.
Analoginya, disuluhkan lampu ke dalam cawan yang berisi kopi. Maka lampu tidak mampu menembusinya.
Begitu juga cahaya iman!
Terangilah hatimu dengan ibadah-ibadah, nescaya posisi dosa yang menghitamkan akan digantikan dengan keimanan yang menerangkan.