Bahaya Dadah Gajet Yang Tersembunyi – Nabila Mokhtar

0
646
views

Bila tengah makan, tangan kanan menyuap makanan ke mulut, tangan kiri memegang telefon bimbit.

Sedarkah kita, bilamana masa terluang bermasa keluarga kita mensia-siakan?

Apakah perasaan ibu bapa dan ahli keluarga kita, bilamana kita terlalu taksub dengan alat tersebut?

Bila tengah memandu, pun begitu. Sedarkah kita bahawa kita memandu dalam keadaan yang salah di sisi undang-undang keselamatan jalan raya?

Nyawa itu amanah dan pemberian Dia yang kita bagai acuh tak acuh. Lagi mendukacitakan bilamana seusai memberi salam ketika mendirikan solat, kita terus mencapai alat tersebut.

Astaghfirullah hal ‘azim, Astaghfirullah hal ‘azim. Astaghfirullah hal ‘azim .

Terlalu banyak masa yang telah dibuang dengan menghadap gajet tersebut sehingga mengabaikan tanggungjawab dan kewajiban kita yang sebenar.

Allah S.W.T telah bersumpah dalam Surah Al-`Asr, ayat  1-3:

وَالْعَصْرِ }1{ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ }2{ إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ }3{

“Demi Masa!” {1} “Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian” {2} “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” {3}

Ayat di atas teramat jelas bahawa Allah S.W.T telah bersumpah dengan masa. Pada tika itulah terjadinya amal perbuatan manusia yang baik atau yang buruk.

Jika waktu itu digunakan untuk amal kebajikan maka itulah jalan terbaik yang akan menghasilkan kebaikan dan sebaliknya jika digunakan untuk ke arah keburukan maka tiada sebarang apa yang dihasilkan kecuali kerugian dan kecelakaan.

Kepesatan dunia hari ini telah mempengaruhi dan mengubah gaya hidup, pelbagai perkembangan teknologi yang lebih canggih dengan berbagai aneka bentuk, jenama dan ciri-ciri serta perisian yang menarik didalamnya seterusnya ini akan membuat sesiapa menjadi tertarik tanpa mengira golongan.

Seterusnya, secara tak diduga alat ini telah menyerang akal kita, namun tersangat sayang kita telah tunduk padanya dan telah jauh dari agama Islam yang sebenar serta jauh dari berzikir atau berdoa kepada Allah S.W.T.

Justeru itu, kita telah menjadi seorang penagih yang terlampau ketagih pada alat. Hal ini amat bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’, ayat 36:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun ..” {36}

Dalam ayat tersebut Allah S.W.T telah memerintahkan kita untuk menyembah kepada-Nya saja dan mengarahkan manusia untuk beribadah kepada-Nya dan melarang mereka dari menyekutukan-Nya. Allah S.W.T Maha Mengawasi akan setiap perbuatan kita semua di alam fana ini.

Maka kita sebagai hambaNYa hendaklah berhati-hati dalam melangkah kerana di kanan dan di kiri kita ada malaikat yang ditugaskan untuk mencatat amal perbuatan kita.

Secara tidak sedar hati kita telah menjadi keras kerana terlalu asyik dan lalai dengah pengaruh alat tersebut. Ia juga telah membuatkan hati kita kini mempunyai kebiasaan yang tidak lagi takut pada sesuatu pun.

Oleh itu, hati mula mengeras seperti batu.

Selain itu, dari aspek kekeluargaan dan persaudaraan pula telah menjadi jarang, renggang dan  janggal kerana kini ikatan silaturrahim kita hanya melalui aplikasi di medan sosial saja seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya.

Hal ini seakan-akan kita bertemu hanya bersosial di alam maya sahaja setiap hari. Kenapa kita perlu berpecah belah dan putus tali persaudaraan?

Inikah cara yang dipupuk oleh agama Islam kita? Namun bukan begini tatacara bersilaturrahim dalam agama Islam. Sedarkah bahawa kita menjadi bongkak atau angkuh atau sombong dengan diri kita apabila teknologi di hujung jari kita punyai.

Allah telah befirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 1:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا  {1}

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” {1}

Ayat tersebut telah menjelaskan bahawa memutuskan hubungan silaturrahim termasuk perbuatan yang mendapat peringatan dari Allah S.W.T. Disamping itu, intipati ayat ini ialah larangan memutuskan silaturrahim.

Jelas sekali bahawa pengaruh alat ini amat mendalam.

Sayang sungguh, kita telah menjadi penagih yang begitu ketagih akan teknologi atau alat ini, jika sesaat saja gajet kita tertinggal atau terlepas dari pandangan betapa kita merasa sangat kehilangan.

Mana hilangnya sikap kita yang bertanggungjawab yang rajin melaksanakan ibadah kepada Allah S.W.T. Tepuk dada, apa kata iman anda!

Mari kita sama-sama kembali kepada Allah S.W.T, jangan sampai ada hal-hal yang menyibukkan kita sehingga melepaskan segala apa soal tanggungjawab kita yang sebenar.

Semoga gajet yang kita miliki adalah wasilah (alat) untuk kebaikan dan bukan wasilah dalam keburukan.

 

Nurul Nabila bt Mokhtar, Mahasiswi USIM

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply