Bangkitlah Duhai Pemuda!

0
163
views

Epic Photo

Jiwa yang muda, lahir dari semangat yang kental, keperwiraan yang sejagat serta keinginan yang membuak-buak. Jiwa muda juga adalah jiwa keberanian, jiwa kesatuan dan juga jiwa pengharapan. Rugilah jika anda muda pada “lahirnya” tetapi tua dari segi “semangat” dan “pemikiran”. Dalam hal ini, Imam Hassan Al Banna telah mengariskan 4 rukun pemuda iaitu ;

1) Iman (hati yang suci)
2) Ikhlas (jiwa serta sanubari yang jernih dan bersih)
3) Hammasah (perasaan yang kuat serta segar mekar)
4) Amal (azam seorang pemuda yang gagah lagi tabah)

Pembinaan individu ini mengambarkan pemuda sebagai seorang yang mempunyai kemampuan, tekad, keberanian dan kesabaran dalam menghadapi tentangan. Dengan adanya pemuda yang beriman seperti ciri-ciri di atas, segala permasalahan umat dapat diatasi, musuh dapat dihalau dan bendera kebaikkan dapat dikibarkan. Tidak keterlaluan jika disebut, pemuda adalah tongak kepada mana-mana kebangkitan umat sejak zaman berzaman dan mereka penjadi pendokong utama kepada mana-mana fikrah perjuangan. Allah berfirman di dalam surah Al Kahf ayat 13:

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka”

Justeru, apabila tanggungjawab menegakkan kembali risalah Islam dan mengembalikan semula syiar Islam diletakkan di bahu pemuda, maka sudah tentu kerja yang bakal dibuat bertambah banyak, tugas semakin besar, tuntutan-tuntutan umat menjadi semakin berlipat ganda dan amanah yang dipikul menjadi semakin berat.

Jadi, adakah pemuda sekarang boleh sekadar berpada-pada dengan masa terluang yang mereka ada? Masih lagi disibukkan dengan segala macam hiburan dunia, sedangkan masa yang ada sangat sedikit dan memerlukan kepada perancangan  yang rapi, kerja keras, serta membutuhkan pemikiran yang dalam? Hak umat kini diletakkan pada bahu mereka! Keselamatan umat kini diletakkan di bahu mereka! Adakah mereka mahu sekadar memerhatikan dari jauh, dan tidak ada upaya untuk tampil ke hadapan membela nasib ummat?

Pemuda dua dunia.

Ada dua jenis pemuda seperti yang dihuraikan oleh Imam As Syahid Hassan Al Banna.

Pemuda yang pertama adalah pemuda hidup dan membesar serta larut dalam kesenangan dunia. Lahir dalam keadaan diri yang senang lenang, tidak langsung merasakan serta memikirkan kepayahan umat dan mereka ini banyak menumpukan tenaga dan fikiran mereka hanya untuk memuaskan nafsu diri. Pergi kuliah, balik kuliah, pergi kerja balik kerja, malam hari berhibur bersama rakan-rakan, bershopping sakan, tengok cerita korea, tengok anime, main game, masih ada lagi masa bercinta, bercouple, mencari wang untuk mengejar kekayaan dunia, hidup untuk diri sendiri dan mati untuk diri sendiri. Hanya itu! Tiada agenda hidup yang jelas. Pandangan alam mereka hanya diri sendiri.

Adapun pemuda kedua, adalah pemuda yang lahir dan membesar di tengah-tengah keadaan umat yang sedang berjuang dan bertindak kerana mereka sedang dijajah oleh musuh. Oleh itu, pemuda itu terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang telah dirampas dan juga segala kebebasan yang hilang.Kita beranggapan bahawa keadaan ini berlaku di Mesir, Syria, Palestin dan di celahan pelosok dunia Islam yang ditindas oleh kuasa militari.

Silap! Bahkan kita tersilap! Sebenarnya di celahan pelosok dunia, umat Islam kini ditindas! Tamadun bathil menaungi sistem hidup yang sedang kita diami sekarang. Di Malaysia, kita mungkin tidak merasakan penindasan berbentuk fizikal seperti mana yang dialami oleh sahabat-sahabat kita di jazirah Arab, tetapi diri kita sebenarnya ditindas dari sudut ideologi dan serangan pemikiran yang kuat menghunjam segenap aspek kehidupan ummat! Bersenang lenang dan beranggapan bahawa tiada lagi jihad di Malaysia, adalah satu tangapan yang salah! Apatah lagi bersenang lenang serta tidak risau akan nasib ummat.

Suatu hakikat yang kita harus fahami, jika perjuangan buat pemuda di sana berbentuk peperangan dan fizikal, di Malaysia, perjuangan buat pemuda adalah perjuangan berbentuk serangan pemikiran ideologi. Perjuangan ini memerlukan kepada pengorbanan dan musuh yang perlu dihadapi bukan sebarangan! Musuh ini lebih halus daripada bakteria kuman, kerana ianya boleh meresap masuk ke dalam pemikiran umat lalu merosakkannya tanpa kita sedari. Dan pada waktu dan ketika ini! Jika kita telah sedar maka, adalah kewajipan kita yang utama lagi pertama untuk menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan ummat melebihi kepentingan diri kita sendiri.

Kecelaruan pemahaman Islam

Imam Hassan Al Banna berkata; “Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai langkah yang bersimpang siur yang boleh memecah belahkan kekuatan yang ada”

“Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta satu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan asasi yang mesti dilakukan oleh setiap pejuang”

Justeru, adalah menjadi satu kewajipan kepada para pemuda Islam yang mahu berjuang menegakkan sistem Islam ini mengkaji terlebih dahulu segala bentuk fikrah yang mengaburkan umat ini. Serangan pemikiran ini adalah satu cubaan untuk menyamakan sistem bathil dengan sistem Islam, lalu betapa ramai pemuda yang terkeliru dengan slogan yang diislamisasikan serta disuai dengan konotasi agama. Sebagai orang muda, kita harus menggunakan akal yang dikurniakan Ilahi ini agar kita cerdik membuat penilaian. Bijak dalam membuat pertimbangan antara sistem Islam dan juga sistem bathil.

Fahami Islam dengan Syumul

Islam adalah syumul lagi sempurna. Sebagai seorang pejuang Islam, kita harus memahami Islam secara syumul dan tulen bukan seperti yang difaham dalam juzuk yang kecil. Perjuangan ini adalah perjuangan yang berpijak atas dasar Islam. Tiada lain. Memisah-misahkan Islam secara berjuzuk-juzuk adalah langkah yang sama sekali silap.

Ada sesetengah pemuda berpendapat, pejuangan Islam adalah sekadar pada pakaian sahaja. Bukan hendak menidakkan sunnah berpakaian, tetapi pejuangan Islam bukan sekadar itu. Perjuangan Islam bukan diukur pada panjangnya serban, atau putihnya jubah sahaja. Bukan! atau labuh tudung yang melitup tubuh, dihiasi pula dengan purdah! Bukan! Bukan sekadar itu! Apa gunanya tampak alim, tampak lebih beragama, tetapi dari sudut fikrah, kosong! Langsung tidak diisi rencana-rencana penambahbaikan untuk ummah ini! Bila berbicara tentang ummah? Ataupun permasalahan menimpa ummah ini? Langsung tidak kisah, atau tidak ambil peduli. Adakah ini perjuangan Islam yang sebenar?

Ada sesetengah pemuda berpendapat, perjuangan Islam yang sebenar hanya cukup sekadar duduk menjadi rahib di masjid-masjid. Bukan! Perjuangan Islam juga bukan juga sekadar duduk di masjid, menjadi rahib, beribadah untuk dirinya sendiri tanpa sedikit pun berfikir untuk ummah ini. Bukan juga terlalu larut dengan permasalahan fiqh dan khilaf yang tidak kunjung redha. Label, melabel, kafir mengkafir, dalam isu furu’sedangkan, ummah sedang tenat dan menuntut kita untuk berbuat sesuatu!

Perjuangan Islam juga bukan sekadar pada politik, dan mengenepikan aspek-aspek lain seperti tarbiyah. Tanpa tarbiyah, akhlak akan jadi rosak. Perjuangan politik hanya akan menjadi alat merebut kuasa dan bukannnya sebagai satu wasilah untuk mencapai sasaran yang lebih besar iaitu membina sebuah Tamadun Islam.

Dan, perjuangan Islam bukan juga bukan sekadar pada dakwah sahaja, dan mengenepikan aspek-aspek lain dalam kehidupan, ekonomi, pendidikan, urus tadbir negara, tanggungjawab ke atas keluarga dan sebagainya. Imam Hassan Al Banna menyebut, pejuang Islam yang sebenarnya diseru untuk menjadi pemimpin dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, berkerja dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, ketenteraan, kesihatan dan juga kekayaan. Segala kepakaran mereka ini akhirnya akan disumbangkan kepada pembangunan ummah itu kerana hakikatnya mereka menyedari bahawa hakikat diri mereka itu adalah milik ummah! Tentunya, kepakaran, pangkat dan kekayaan mereka itu sangat-sangat berguna untuk ummah di hari kemudianya.

Justeru, silaplah mereka yang memahami perjuangan Islam ini dalam kerangka yang sempit. Perjuangan Islam bukanlah perjuangan yang mengongkong diri di dalam ruangan ibadat Islam yang hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Perjuangan Islam adalah satu perjuangan yang menyakini bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan akhiratnya. Tidaklah bermakna, seorang pejuang itu meremehkan aspek-aspek ibadahnya. Dia tetap beribadah dan tidak culas mengerjakan ibadah fardhunya, tetapi pada masa yang sama, tidak melupakan hak ummah ini.

Mereka inilah sebaik-sebaik gambaran yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada para sahabat:

“Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari”

Bangkitlah!

قم !

Qumi !

Bangunlah !

Kalimah bangunlah dalam surah Al Muzammil ! ini seakan satu sergahan yang mengugah jiwa !

Syed Qutb di dalam tafsir fil zilal menghuraikan ayat ini dengan cukup indah sekali. Katanya ;

“Inilah panggilan dari langit dan seruan dari Allah Yang Maha Tinggi. Bangunlah ! untuk memikul tugas agung yang menunggumu dan untuk melaksanakan beban amanah yang berat yang disediakan untukmu. Bangunlah untuk berjuang dan berpenat lelah. Bangunlah ! Masa tidur dan berehat telah berlalu. Bangunlah dan bersedialah untuk tugas ini.

Bangunlah duhai pemuda!

Ia merupakan satu perintah yang amat penting dan hebat yang menarik keluar Rasulullah saw dari kehangatan selimut tidur dan dari rumah yang tenang ke dalam gelombang perjuangan di tengah-tengah berbagai gegaran dan ribut taufan dan di tengah-tengah pertentangan-pertentangan di dalam hati manusia dan dalam realiti kehidupan.

Seorang yang hidup untuk dirinya mungkin dapat hidup rehat, tetapi dia hidup kerdil dan mati kerdil, tetapi bagi manusia yang berjiwa besar yang memikul tugas yang agung ini, maka dia tidak lagi memperhitungkan persoalan-persoalan tidur, rehat, tilam yang hangat, kehidupan yang tenang dan kenikmatan yang selesa.

Rasulullah saw telah pun meyedari hakikat tugas da’wah itu, kerana itu dia telah berkata kepada Siti Khadijah yang menyuruhnya bertenang dan tidur, “Wahai Khadijah, masa tidur telah berlalu.” Ya, masa bersenang-senang dengan tidur telah berlalu dan tidak akan kembali lagi mulai hari ini. Masa kini ialah berjaga malam dan berpenat lelah dan masa perjuangan yang sulit dan panjang”

Allahu Allah…

Justeru, bangunlah duhai pemuda-pemuda Islam! Masa rehatmu telah tamat! Ayuh kita berjuang untuk menegakkan agama Allah ini !!!!! Umat sedang dalam bahaya!!!

Sesungguhnya tiada bencana yang lebih besar menimpa ummat ini melainkan matinya hati-hati mereka daripada sensitif terhadap isu ummat yang berlaku di seantero dunia Islam.

Wallahualam

Asyraf Farique

Penulis Buku

1) Aku Bukan Superman: Aku Pemuda Luar Biasa &
2 Usrah Ini Semua Poyo

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply