Benci

0
21
views
benci tapi cinta
kredit

Rintik hujan turun membasahi jalanan tar dan pejalan kaki di Kota Kecil Rebel. Berpusu mereka berlari mencari teduhan.
Aku turut ikut sama.

Dalam kesejukan malam ditambah dengan kedinginan baju kuyup, hela nafas yang ku hembus keluar berkepul menjadi asap. Mulanya tebal, kemudian samar, seterusnya menghilang begitu saja.

Tiada yang suka musim sejuk. Tiada siapa yang mahu keluar di malam hari ini hanya untuk dirai dingin malam dan basah hujan.

Tetapi aku di sini. Di luar.
Adakah aku menyukainya? Tidak.

Suatu masa dulu, aku benci. Kini juga aku kekal benci.
Jadi mengapa aku di sini?

Retrospeksi

Bila pula bas Air Coach nak sampai?

Aku berteduh di hadapan muka pintu Kasino. Hujan walau sudah semakin reda, namun masih tiada tanda untuk berhenti. Menarik bukan? Walaupun di pekan kecil sebegini, kasino masih lagi punya tempat di hati mereka. Betapa agungnya taruh dan judi pada benak hati manusia bumi Eropah.

Ah, kenapa pula aku ingin hairan? Arak dan judi adalah masalah pada setiap ketamadunan. Walaupun disingkir, diharam, namun apabila manusia berada di puncak, perlahan-lahan rasa Tuhan dalam hati di ganti enak Syaitan dalam sanubari.

Malam ini aku akan ke Dublin; 3 jam dari pekan kecil Rebel.

Kalau di Malaysia, 3 jam ini lebih kurang sama tempoh masanya dengan perjalanan dari KL ke kampungku di Muar.

Di Malaysia dahulu 3 jam terasa sebegitu lama. Namun apabila aku di sini, 3 jam itu sebenarnya sudah dikira dekat.

Ajaib sungguh. Betapa pengalaman yang aku timba dalam suka duka kehidupan sebagai perantau membina neraca baru dalam penilaian.

3 jam? Lama tu, kata Biru padaku sejurus habis tutorial hospital pada hari Rabu lepas.

“Tak lama pun. Sekejap je.” Aku tersengih.
“Jadi kau ke Dublin lagi lah Jumaat ni”, soal Biru.
“Ya, lebih kurang.” Balasku lagi.

Perlahan-lahan kami menapak kaki pulang ke rumah. Kenderaan berderu laju di jalanan. Hingar bingar kereta membingitkan telinga.

Senja sudah hampir tiba. Para proletar (golongan pekerja) dalam kenderaan sudah tidak-tidak sabar mahu pulang ke rumah. Kami berdua juga begitu, cuma bezanya kami berjalan kaki. Itu saja.

Sabar ye abang-abang pekerja sekalian. Jangan eksiden pulak, bisikku.

Biru menoleh ke wajahku. “ Kenapa kau pergi Dublin?”
Aku membalas pandangannya. Lantas aku berkata,” Untuk usrah”

“Ohh..”
“Kau ok ke Merah, asyik ulang alik dari Rebel ke Dublin setiap minggu? Buat je lah online. Kan senang “

Aku mendiam. Bingit dan hingar bingar kereta sudah beransur sunyi.

Dalam telingaku sekarang, hanya derap kaki kami saja kedengaran. Dalam fikiranku, cuma ada soalan daripada Biru. Mindaku sedang ligat memulas dan memerah neuron untuk berkeringat menjawab soalan ini.

Mudah?

“Memang senang Biru. Kalau buat online jauh lebih mudah. Tak perlu nak ke sana setiap minggu”.
Dengan pantas Biru mencelah,” Kann…. Aku dah kata dah lagi mudah”

“Tapi…”
“Tapi apa ?” Biru kehairanan.

“ Adakah itu yang terbaik boleh aku beri? Kalau dengan senang, aku ambil jalan mudah, maka di mana pengorbanannya? Di mana kesungguhannya? Di mana keazaman dan kemahuannya? “ balas ku.

Biru mendengar kataku dengan teliti. Sesekali dia membetulkan cermin mata.

Seolah seorang cendekiawan, dia meraut tompok janggut kecil di dagu tirusnya. Biru memang seorang yang pintar dan pantas pemikiran. Dia dari sekolah sains terkemuka di Malaysia. Aku pula cuma seorang budak hingusan dari sekolah tidak dikenali. Mustahil dia hanya akan mendengar kataku begitu saja. Sudah pasti dia akan bertanya lagi untuk memuaskan curiga dalam jiwa.

“ Salah ke nak ambil jalan mudah? Solat pun ada rukhsah (keringanan). Kau nak belajar pun ada kata kunci supaya mudah untuk ingat. Nah, keringanan bukan satu kesalahan!” Biru bertanya dengan nada perbincangan.

“ Pasti saja tak salah. Rukhsah itu kalau dalam ibadat, ambil saja kerana ia adalah rahmat. Kata kunci juga begitu. Suatu rahmat. “

“Tetapi untuk beribadat, kau tidak boleh mewakilkan orang lain untuk beribadat untuk kau. Kata kunci dalam pelajaran pun tidak guna juga jika kau tidak usaha untuk belajar”, jawab ku seringkas mungkin.

Biru sedang menghadam buah kataku.

“Biru, apa yang ingin aku katakan adalah, dalam perjalanan kau untuk berdamping dengan Allah, kau harus menunjukkan usaha. Kau harus berikan terbaik. Tiada jalan pendek.

Rukhsah itu ada, tetapi ia setelah kau berusaha di atas jalanNya, bukan sebelum kau memulakan langkah lagi. Setelah kau berusaha sebaik mungkin, barulah kau boleh mengambil keringanannya. Barulah kau dapat merasakan manis rahmat Allah”.

Biru mengangguk tanda setuju.

Aku kembali menambah. “Semuanya bermula dengan usaha yang terbaik yang kau boleh beri Biru. Yang terbaik buat manusia itu berbeza-beza. Untuk diriku, aku berpandangan aku boleh berikan lebih dari itu. Aku mahu kalau sekurang-kurangnya jika aku mati dalam usia muda ini, aku boleh katakan pada Tuhan bahawa aku sudah bersunguh-sungguh dalam menunjukkan pengorbananku, keazamanku, dan kemahuanku dalam ingin dekat kepada Dia. Untuk mengingatkan manusia lain tentang Dia. Aku nak jadikan semua ni macam –-“

Biru mencelah, “ Macam passport ke syurga bila kau di akhirat nanti?”

Eh tahu pulak dia apa aku nak cakap.

Biru berdekah ketawa. “ Kalau aku tak mencelah nanti panjang lagi leret kata tu. Nanti kau terlepas dari pintu rumah. Ini haa. Dah smpai rumah kau. Kahkahkah!” Pipiku kemerahan malu. Asyik sungguh dalam perbincangan sampai nyaris terlepas rumah sendiri!

Dalam permusafiran ini

Walaupun sudah hampir 3 hari berlalu sejak perbincangan tersebut, dialog dan insiden itu masih dapat ku ulang dengan jelas dalam memori.

Aku tersenyum sendirian sambil ku sandarkan kepala ke tingkap. Aku cuba memposisikan diri aku seselesa mungkin. Jam di tangan berbunyi nyaring, tepat menunjukkan 7 petang. Enjin bas ligat berderu menandakan ia akan bertolak.

Rintik hujan dengan perlahan meluru ke arah cermin. Serta merta, ia menjadi basah. Alir- alir air di cermin berubah tuju mengikut hala angin.

Ya. Aku benci sejuk malam sebegini. Aku benci titis hujan di luar yang menguyupkan baju. Aku benci juga pada kelelahan yang menemani perjalanan ini.

Tetapi aku bersyukur.

Kerana benci ini memacu aku di jalanNya untuk mencari dan lebih laju berlari.
Kerana benci ini mengajar aku untuk menggapai Cinta ilahi !

Penulis : Imhaf Nalsam

Blog Penulis : kasutmerahlonsdale.tumblr.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply