Berkeputusan Dalam Pilihan Yang Rumit – Fakhrur Radzi

0
90
views

Berapa ramai antara kita, yang tidak berpenghujung terus berkira-kira; mampukah aku menghadapi masa hadapan? Tanpa disedari, waktu langsung berjalan tidak ikut menunggu jawapan kita. Kerana itu sunnatullah-nya alam ini. Tidak pernah masa itu berhenti sesaat pun menunggu kebersediaan kita.

sand-timer

Ragu-ragu, tidak yakin dengan sendiri bahkan tidak percaya dengan takdir dan kuasa aturan Allah. Bebaskanlah dirimu, tiada suatu musibah pun yang akan berlaku selagi mana Allah ada dan mengawasi kita. Itu iktikadnya. Keyakinan yang tidak terbelah bahagi.

Hari ini, lebih ramai memilih untuk berada di dalam zon selesa. Boleh jadi kerana takut akan gagalnya rencana, kita lebih suka terus mendiam di ruang sendiri. Boleh jadi kerana tidak kuat menongkah arus persepsi negatif orang sekeliling, kita lebih memilih untuk berkeputusan yang menyenangkan mereka tapi merugikan kita.

Teladan Salman Al-Farisi Dan Abu Darda’

Seharusnya teladan yang diunjurkan dua sahabat Rasulullah yang agung ini dicontohi. Bagaimana ketika Salman al-Farisi sudah sedia dan bertekad untuk menikah, perhatikan pilihan yang tersedia untuknya dan bagaimana dia menoktahkan sebuah keputusan.

Hatinya tertarik pada seorang muslimah Madinah. Sedangkan beliau bukan anak jati pemuda Madinah. Kampung halamannya jauh beribu batu di Parsi.

Perempuan Madinah tentu sahaja tidak sama dengan perempuan Parsi. Ditambah pula dengan adat dan budaya Madinah yang beliau langsung tidak fasih. Untuk melamar seorang wanita pribumi sudah tentu janggal dan asing bagi seorang pendatang sepertinya. Setidaknya itu apa yang difikirnya.

Kesulitan ini sedikit sebanyak menggugah pertimbangannya. Lalu mari kita lihat bagaimana Salman berkeputusan dalam pilihan yang rumit.

Salman memanjangkan hasratnya itu kepada Abu Darda’; sahabat Ansarnya yang telah dipersaudarakan oleh Rasulullah. Bantuan Abu Darda’ diperlukan kerana Salman sedar akan dirinya yang bukan berasal dari Madinah sehingga dipuji Allah sebagai golongan Ansar yang sedia mengorbankan keperluan sendiri untuk sahabat muhajirin dan bukan pula termasuk kelompok sahabat Makkah yang keluar berhijrah meninggalkan segalanya kerana Allah.

 

لِلۡفُقَرَآءِ ٱلۡمُهَـٰجِرِينَ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَـٰرِهِمۡ وَأَمۡوَٲلِهِمۡ يَبۡتَغُونَ فَضۡلاً۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٲنً۬ا وَيَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ (٨) وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِہِمۡ خَصَاصَةٌ۬‌ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٩)

 

(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya). (8) 

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (9)

{Al-Hasyr : 8-9}

Abu Darda’ dengan girang senang hati membantu Salman menjadi orang tengah untuk melamar gadis itu. Setelah semua persiapan mahar dan hantran dibuat, mereka berdua langsung ke rumah wanita tersebut, bertemu dengan dengan kedua ibu bapanya, menyampaikan hajat yang menggunung tingginya.

3252775180_6c11e23e03_z

Orang tua wanita tersebut tiada halangan menerima Salman sebagai menantu, dan pada hemat mereka, begitu juga keadaannnya dengan anak perempuan mereka. Cuma mereka perlu mendapatkan persetujuan si empunya badan sendiri.

Berlalu beberapa ketika, kedua ibu bapa wanita tersebut pun kembali mendapatkan Salman dan Abu Darda’ yang setia menantikan jawapan.

Jawapan yang tidak disangka-sangka oleh kesemua mereka. Salman tersentak, Abu Darda’ pula terpinga-pinga. Wanita tersebut rupanya berkenan kepada si orang tengah yang menyampaikan – Abu Darda’, bukan kepada yang berhajat – Salman.

Bayangkan anda berada di tengah-tengah situasi Salman. Tersepit di antara malu dan sedih mungkin juga sedikit kecewa. Tentu saja perasaan itu dirasai Salman si manusia biasa. Tetapi keputusan yang dipilih Salman menjadikannya manusia luar biasa.

“Kalau begitu, segala mahar dan hantaran ini saya hadiahkan buat Abu Darda’.”

Tawakal dan pergantungan diri kepada Allah, menjadi kekuatan Salman dalam menghadapi detik itu. Hikmah yang tersembunyi di balik ujian ini lebih besar nikmatnya kelak.

Akhirnya Abu Darda’ yang menikahi wanita yang asalnya dilamar buat sahabatnya, Salman. Terkenal-lah wanita tersebut dengan panggilan Ummu Darda’.

Kisah ringkas ini besar pengajarannya buat kita. Bagaimana dari awal ketika menemukan kebuntuan dalam suatu usaha, seharusnya usaha-lah yang harus dipertingkatkan bukan langusung ditinggalkan urusan itu.

Dalam setiap urusan, semasa kita berusaha menjayakannya, kita tidak akan tahu apakah usaha kita akan menatijahkan hasil atau tidak.

Kerana usaha bukanlah syarat wajib kepada keberjayaan hasil.

Tetapi usaha adalah untuk melangsaikan tanggungjawab sunnatullah. Ihsan yakni melunaskan sesuatu pekerjaan dengan cara terbaik kerana merasakan Allah sentiasa ada melihat dan memerhatikan. 

Teladani-lah Salman, sahabat agung. Ketika berhadapan dengan pilihan yang sulit, beliau berkeputusan untuk terus ke depan. Kerana padanya takdir yang menunggu di hadapan sudah tentu lebih baik buatnya.

bird_photography26

Berusaha, tawakal dan redha. 

Dalam setiap keadaan,kita dibentangkan dengan pilihan. Membuat keputusan dalam pilihan yang menyenangkan mungkin mudah. Tetapi bagaimana pilihan yang terhampar itu rumit. Seperti keadaan tersepitnya Salman.

Oleh itu, teruskanlah berusaha kemudian bertawakal dan redha dengan apa jua hasil yang mendatang. 

Belajarlah dari burung. Hati mereka penuh dengan pergantungan tawakal kepada Allah. Pun begitu, setiap pagi mereka tetap terbang keluar mencari rezeki. Di kala petangnya terkadang perut terisi kenyang, ada juga masa yang terus berlapar hingga keesokannya. (HR Tirmidzi)

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply