Bersederhanalah Dalam Perbezaan

0
62
views

Bersederhanalah Dalam Perbezaan

Bersederhanalah Dalam PerbezaanBersederhanalah Dalam Perbezaan | Tidak ramai orang yang akan sama pemikirannya dengan kita. Ada masa tertentu mungkin boleh bersetuju. Ada ketikanya pada masa yang lain kita akan berbeza dalam perkara yang tidak terjangka. Sekalipun terdedah dengan suasana pendidikan yang sama silibusnya, perbezaan itu tetap akan ada. Tidak juga mustahil, sekalipun berbeza latar belakang pendidikan, kesepakatan dalam pendapat boleh wujud tanpa dipaksa.

Maka, kita jangan hairan kalau hari ini kawan yang selalu bersama dengan kita akan bertukar menjadi lawan. Demikian juga bukan perkara ajaib jika lawan yang kita tentang habis-habisan akan segala perkara yang berkaitan dengan dirinya akan menjadi kawan sejati dalam perjuangan. Yang sama atau berbeza itulah dinamakan sebagai prinsip pegangan.

Lumrah inilah yang akan kita saksikan di mana-mana pentas sejarah kemanusiaan. Berbeza itu fitrah. Sepakat juga fitrah. Jika fitrah yang satu ini kita hendak nafikan, bagaimana manusia ingin meninggikan tamadun dan tahap pemikirannya?.

Perhatikanlah, hak berfikir itu tertakluk kepada setiap insan. Juga hak memutuskan sesuatu terletak kepada hasil fikirannya. Malah, tindakannya pula bergantung kepada apa yang telah diputuskannya. Bayangkan, jika berfikir, memutuskan dan bertindak itu dikawal oleh sistem yang wujud di luar lingkungan dirinya, apa faedahnya kurniaan ‘aqal oleh Tuhan kepada manusia?

Satu campur satu bersamaan dengan dua. Ini adalah cara berfikir yang biasa.

Tetapi, enam tolak empat juga bersamaan dengan dua. Boleh jadi dua ditambah kosong juga menghasilkan jawapan yang sama. Ini adalah cara berfikir di luar kerangka pemikiran biasa. Hasilnya sama tetapi yang membezakannya ialah proses dalam menghasilkan jawapan.

‘Proses’ itu yang seringkali ditempuh secara sambil lewa. Proses itu juga kadangkala dipandang rendah oleh segelintir mereka yang berfikirnya hanya lurus bendul sahaja.

Walhal, ‘proses’ itulah yang mematangkan diri dan menjadikan kita mampu untuk berdikari. Proses itu jugalah yang menjadikan kita hormat kepada prinsip, pendirian dan pandangan orang lain. Hormat kita kepada orang lain, mengundang pula hormat orang lain kepada diri kita.

Demikian juga kita ingin bahagia dalam hidup. Bahagia itu letaknya di jiwa. Apa guna harta berkoyan-koyan jika tidur pun sudah tidak nyenyak?. Justeru, jiwa yang bahagia itu prosesnya pada merdeka dalam berfikir, membuat keputusan dan bertindak.

Sekalipun mempunyai ijazah yang professional, tetapi jiwa bahagianya ditemui ketika mengajarkan anak-anak kecil, tidak salah jika diteruskan langkahnya. Kerana jiwanya bahagia apabila dapat menyumbang dalam usaha memanusiakan manusia.

Oleh yang demikian, jiwa yang bahagia dalam kerjanya, hasilnya langsung memuaskan dan sudah pasti bukan sekadar biasa-biasa. Kerana pada kerjanya yang membuahkan bahagia itu, dilimpahkan usaha yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi supaya tidak mengundang sinis mereka yang lurus-lurus itu.

Lalu, jangan pernah kita meremehkan pendirian-pendirian orang. Tentu sekali kita boleh berbeza. Berbeza yang seharusnya diertikan dengan maksud yang betul. Dalam kerangka pemikiran yang tidak menafikan lunas-lunas agama dan prinsip ‘ilmu. Maka, yang tidak harus itu ialah memaksakan orang lain agar sependapat dengannya. Itu namanya menghina kemuliaan ‘aql kurniaan Ilahi. Juga dianggap memandang hina kepada prinsip karamah insaniyyah.

Penting sekali untuk kita ingat, bersederhanalah dalam sebarang perbezaan. Tolaklah kesalahan dengan baik dan sampaikanlah kebaikan dengan hikmah. Hal ini kerana kebenaran itu tidak selamanya akan berada di samping kita. Tidak salah untuk kita mengaku kalah tetapi harga diri tetap tinggi. Boleh jadi musuh kita pun terkadang ada juga benarnya. Mungkia kita tidak sedar, kita sebenarnya saling melengkapkan. Maka, hendaklah kita membuat pilihan yang terbaik dalam meneguhkan pendirian. Firman Allah ‘azzawajalla dalam surah Az-Zumar ayat 17 dan 18 yang bermaksud:

17.  Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira, sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba- hamba-Ku 18.  Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal (ulul-albab).

 

Muhammad Ukasyah bin Azhari

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply