Bersediakah Kita Sekiranya Malaysia Mengikut Jejak Langkah Amerika Menghalang Kemasukan Imigran?

0
80
views

Presiden Donald Trump telah melaksanakan beberapa polisi yang beliau janjikan semasa berkempen dalam pilihanraya presiden sebelum ini.

Akibatnya beliau telah mendapat kritikan teruk oleh berbagai pihak termasuk oleh rakyat Amerika dari berbagai latarbelakang. Bahkan beliau juga dikritik oleh rakan beliau dalam parti Republikan sendiri.

Campaign 2016 Trump

Polisi yang paling kontroversial ialah menyekat kemasukan warga dari tujuh negara Islam. Ramai berhujah menyatakan bahawa polisi ini adalah bertentangan dengan perlembagaan Amerika sendiri.

Bukan sahaja pemangku peguam negara Amerika, Sally Yates yang menentang polisi ni bahkan juga sekarang beberapa orang hakim termasuk seorang hakim persekutuan telah berpihak kepada mereka yang mencabar polisi ini.

Akibatnya polisi sekatan kepada warga asing dari 7 negara Islam telah digantung dan menunggu keputusan muktamad pihak kehakiman Amerika.

Pentadbiran Trump sudah tentu akan mencabar keputusan hakim-hakim dengan hujah bahawa bukan sahaja ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan Amerika bahkan juga perlu untuk menjamin keselamatan rakyat Amerika.

Adalah sukar untuk meramalkan siapakah yang akan menang nanti.

A Malaysian Muslim activist holds a placard during a protest against US President Donald Trump's immigration order, outside the US Embassy in Kuala Lumpur on February 3, 2017. Protesters on February 3 gathered outside the US embassy in Malaysia to demand the retraction of Donald Trump's temporary immigration ban, which they branded as "racist and discriminatory."  / AFP PHOTO / MANAN VATSYAYANA

Satu perkara yang mesti disedari oleh kita ialah sebenarnya polisi Trump mencerminkan kehendak lebih dari 62 juta rakyat Amerika yang telah melantik beliau.

Dalam erti kata yang lain kita kena menerima hakikat bahawa tersangat ramai rakyat Amerika yang sangat takutkan agama Islam dan orang Islam dan bukan sahaja Donald Trump dan rakan-rakan rapat beliau sahaja.

Ini adalah satu hakikat yang amat menyedihkan. Agama yang disebutkan oleh Allah di dalam Al Quraan sebagai rahmat kepada seluruh alam ini rupa-rupanya sangat ditakuti oleh lebih dari 62 juta rakyat Amerika.

Dalam erti kata yang lain, usaha dakwah oleh umat Islam untuk memberikan gambaran yang sebenar tentang Islam mesti ditingkatkan.

Kita juga harus mengambil iktibar daripada hakikat betapa menariknya negara Amerika kepada rakyat asing termasuk dari negara-negara Islam sendiri.

Berjuta yang sedang lari dari negara Islam dan mencari tempat yang lebih baik untuk masa depan mereka bercadang untuk berhijrah ke Amerika.

Bagi mereka negara `kafir’ yang pernah dipanggil `The Great Satan’ itu adalah jauh lebih menarik dari negara mereka sendiri walaupun negara mereka dipanggil negara Islam. Ini adalah satu hakikat yang sangat menyedihkan.

Sepatutnya negara Islam lah yang menjadi negara yang paling menarik untuk masyarakat dunia. Tetapi realiti adalah sebaliknya.

Apa yang aneh juga ialah sebenarnya Amerika sendiri sedang menghadapi berbagai masalah termasuk masalah ekonomi dan sosial. Dari segi sosial, terdapat masalah kadar jenayah ganas yang tinggi di bandar-bandar besar.

58c4119b-1fdb-48ed-9d69-4d201f972f82

Di samping itu, kejadian pembunuhan ramai-ramai (mass killings) oleh individu yang menggunakan senjata api sering berlaku di sana dan ini mungkin adalah akibat dari masalah tekanan hidup.

Masalah sosial berkait rapat dengan masalah ekonomi yang juga teruk di Amerika. Ramai rakyat Amerika tertekan akibat dari masalah kos sara hidup yang tinggi, kemiskinan, pengangguran dan gelandangan yang serius.

Satu laporan oleh Reuters baru-baru ini menyatakan bahawa ada lebih dari 500,000 gelandangan sekarang di Amerika Syarikat.

Masalah ekonomi Amerika berkait rapat dengan sistem ekonomi yang diamalkan yang menjadikan industri hutang sebagai paksi. Akibatnya hutang meningkat dengan cepat.

Oleh kerana pihak bank juga yang mencipta wang dengan pengeluaran hutang ini, maka bekalan wang juga bertambah.

Dalam suasana di mana output tidak dapat ditambah pada kadar yang sama, maka inflasi akan berlaku dan akibatnya kos kehidupan akan senantiasa meningkat.

Sistem ini masih kekal diamalkan di Amerika dan oleh itu masalahnya tidak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Tambahan pula Trump dilaporkan akan menghapuskan atau melonggarkan akta Dodd-Franks iaitu satu peraturan yang digubal oleh kerajaan Amerika dibawah pentadbiran Obama untuk menyekat industri perbankan dari bertindak rakus memberi hutang dengan banyak untuk memaksimakan keuntungan.

Tindakan dan sikap yang rakus inilah yang telah menyumbang kepada krisis ekonomi Amerika pada tahun 2008 dan jika industri perbankan dibenarkan bertindak rakus lagi, kemungkinan satu lagi krisis akan berlaku di Amerika di masa depan adalah amat tinggi.

Dalam keadaan ekonomi yang lemah, sebenarnya sikap Trump yang menyekat kemasukan warga asing akan merugikan banyak sektor di Amerika sendiri.

Antara lain ialah sektor teknologi tinggi di mana banyak syarikat menggunakan pekerja mahir dari negara luar termasuk tujuh negara Islam yang disekat itu.

Sektor lain yang akan rugi ialah sektor pendidikan kerana banyak kolej dan universiti di Amerika menerima pelajar dari negara-negara Islam. Pada masa akan datang ramai yang akan bimbang dan takut untuk melanjutkan pelajaran mereka di Amerika.

tppa - delegates.1

Tindakan Trump membatalkan perjanjian TPPA juga akan banyak merugikan sektor perniagaan Amerika Syarikat terutama sekali sektor yang banyak mengekspot ke luar negara.

Ini termasuk sektor ubatan (pharmaceutical) dan juga pertanian. Syarikat dari sektor tersebut lah yang telah menggalakkan pentadbiran Obama untuk mempromosikan TPPA.

Oleh kerana latar belakang Trump adalah dari sektor pembinaan, mungkin beliau gagal menyedari implikasi keputusan beliau kepada sektor pembuatan, ubatan dan sektor lain yang bakal mendapat keuntungan dari pelaksanaan TPPA.

Tindakan Trump ingin membatalkan perjanjian NAFTA juga akan merugikan banyak syarikat Amerika dari sektor pembuatan yang selama ini menggunakan lokasi di Mexico untuk menempatkan kilang mereka demi untuk mengurangkan kos operasi.

Jika mereka tidak dibenarkan beroperasi di luar, maka kos akan meningkat dan ini akan menjejaskan daya saing mereka di pasaran luar Amerika. Ini kerana kerana kos operasi dari syarikat pesaing yang beroperasi di negara kurang maju adalah jauh lebih rendah.

Berbalik kepada isu penyekatan kemasukan warga asing, jika salah sebuah negara Islam dari tujuh yang dalam senarai Trump atau dari luar senarai melaksanakan polisi yang sama, saya yakin ia tidak akan menjadi sesuatu yang kontroversi langsung.

Sebabnya tidak ada negara Islam yang menjadi tumpuan orang asing untuk menjadi destinasi penghijrahan. Ini kerana kebanyakan negara Islam adalah dalam keadaan porak peranda.

Ada yang mengalami masalah keganasan yang mengerikan seperti Syria dan Iraq kerana diperintah oleh pemimpin yang diktator yang zalim, dan ada yang mengalami masalah sosial dan ekonomi yang teruk kerana pimpinan kleptokrat yang menipu dan korup.

Mungkin atas kesedaran itulah maka ramai rakyat di negara Islam tidak bersemangat memarahi Trump atas polisinya.

Mereka sedar bahawa sebenarnya adalah lebih baik mereka memfokuskan usaha dan tenaga mereka untuk memperbetulkan keadaan di dalam negara mereka sendiri.

Sebaliknya kita lihat beribu rakyat Amerika yang telah berdemonstrasi menyuarakan penentangan kepada polisi Trump menyekat kemasukan warga asing.

Mereka telah berdemonstrasi semenjak hari pertama lagi polisi itu dilaksanakan. Bahkan ada kes dimana peguam-peguam Amerika bertindak menyediakan petisyen undang-undang secara percuma untuk membantu mereka yang terkandas di lapangan terbang dibenarkan masuk ke dalam negara mereka.

image

Saya tertanya kepada diri saya sendiri, jika kerajaan Malaysia esok hari membuat keputusan menyekat kemasukan warga asing dari Bangladesh dan Indonesia ke negara kita atas dasar keselamatan dan juga ingin memastikan rakyat Malaysia mendapat pekerjaan, agaknya berapa ramaikah rakyat Malaysia yang akan berdemonstrasi membantah polisi itu?

Saya merasakan kemungkinan jumlahnya mungkin amat kecil kerana rata-rata saya mendengar ramai rakyat Malaysia sebenarnya mahukan kerajaaan menyekat kemasukan warga asing ke negara kita.

Yang anehnya di kalangan mereka juga lah ada yang lantang menyuarakan kebencian kepada polisi Trump menyekat kemasukan warga asing.

Prof Mohd Nazari Ismail,
Ketua, Biro Penyelidikan IKRAM.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply