Bersedialah Wahai Mawarku

0
7
views

Bersedialah Wahai Mawarku

Bersedialah Wahai MawarkuBersedialah Wahai Mawarku | Wanita dirimu terlalu istimewa, apatah lagi dengan datangnya risalah Islam yang dibawa Baginda s.a.w. Khotimul Anbiya seluruh alam. Jika di zaman Jahiliyah dirimu dianggap pembawa malang dan tanpa rasa belas engkau dibunuh penuh kekejaman. Namun, datangnya sinar Islam mengangkat martabatmu menjadi insan yang mulia, terhormat dan mempunyai hak-hak yang digariskan.

Wanita,

Engkau persis sekuntum mawar merah. Cantik menghiasi taman-taman duniawi. Namun, keindahanmu menyimpan seribu tanggungjawab kepada diri, keluarga, agama dan negara. Sejak azali telah ditetapkan garis penanda sampainya waktu balighmu apabila engkau mengalami perubahan pada dirimu iaitu datangnya haid atau menstruasi. Ia merupakan alamat bahawa engkau telah beralih dari zaman kanak-kanak kepada remaja. Secara normalnya, engkau akan mengalami keadaan ini sebulan sekali dalam masa tiga, tujuh atau 15 hari. Selama tempoh ini diharamkan kepadamu solat, puasa, tawaf, talaq, membaca al-Quran, memegang al-Quran dan jimak.

Namun, ia bukan bererti engkau tidak boleh melakukan amalan-amalan lain sebagai ibadat sepanjang tempoh haidmu. Justeru engkau perlulah mempersiapkan dirimu dengan ilmu pengetahuan dalam menghadapi tempoh ini. Ketahuilah bahawa ini merupakan fitrah yang telah Allah tetapkan kepadamu. Berlapang dadalah menerima ketentuan ini dan jangan sesekali menyesalinya kerana Allah telah meletakkan hikmah disebalik semua ini.

Ketika Aisyah menangis kerana haid pada masa haji, Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya, “Adakah kamu haid?” Aisyah menjawab, “Benar”. Rasulullah s.a.w menerangkan:

“Sesungguhnya haid itu, adalah suatu perkara yang telah ditetapkan Allah swt. atas kaum wanita anak cucu Adam” (Direkodkan oleh Bukhari)

Justeru dalam tempoh ini persiapkanlah dirimu dengan amalan-amalan yang meningkatkan iman dan ketakwaan kepada Allah kerana haid bukannya waktu cuti daripada mengerjakan amal ibadat kepada Yang Maha Esa. Justeru, telah digariskan beberapa panduan bagimu untuk mengahadapi saat-saat ini, seperti:

1)      Memahami hikmah haid

Haid adalah ketentuan Allah dan pastinya tersembunyi pelbagai hikmah disebaliknya. Antaranya, bagi membantu pertumbuhan anak dalam kandungan, mengurangkan gejolak syahwat, menjadi ukuran idah dan mendidik dirimu supaya terbiasa sabar dengan takdir Allah. Perasaan tenang akan muncul sekiranya engkau menyedari segala hikmah ini lebih besar daripada gangguan yang dirasai itu. Hal ini kerana Allah yang menciptakan wanita dan Dia juga yang Maha Mengetahui mengenai wanita.

1)      Menjaga kesihatan fizikal

Menjaga kesihatan fizikal ketika haid adalah perkara yang penting bagimu kerana kesihatan penting untuk melakukan aktiviti harian. Wanita yang sakit ketika haid lebih sukar berbanding sakit sewaktu normal. Oleh itu, kesihatan fizikal harus engkau jaga dan utamakan.

 

2)      Banyak berzikir

Zikir mempunyai banyak kelebihan. Antaranya ialah menenangkan jiwamu yang sedang dalam haid. Jiwa wanita yang dalam keadaan haid memerlukan pelbagai ‘pengisian’ rohani bagi menguatkan semangatnya. Zikir adalah ubat jiwa yang paling utama. Sebaliknya, orang yang tidak mengingati Allah mudah diganggu syaitan dan hidupnya tidak tenang.

 

3)      Melakukan aktiviti harian

Secara umumnya, wanita yang sedang haid malas melakukan aktiviti seperti memasak, makan, belajar, bekerja dan sebagainya. Namun sikap ini adalah sia-sia kerana ia akan membazirkan waktu dan tidak akan memperoleh sebarang kebaikan. Lakukanlah aktiviti harianmu seperti biasa agar beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

 

4)      Menghindari sikap suka menyendiri

Sikap suka menyendiri bukannya sikap terpuji. Hendaklah engkau sentiasa berzikir kepada Allah, membaca buku, atau merenungkan ayat-ayat Allah. Sikap suka menyendiri akan mengundang bahaya kerana memudahkan syaitan memperdayakan dirimu. Wanita yang suka menyendiri khasnya ketika haid mudah diganggu dan galakkanlah dirimu bergaul dalam majlis-majlis ilmu dan sebagainya.

 

5)      Berlindung daripada godaan syaitan

Berlindung kepada Allah daripada gangguan syaitan ketika haid merupakan salah satu cara bagi mendapatkan ketenangan. Syaitan merupakan musuh utama manusia dan akan menggoda manusia pada bila-bila masa, tidak terkecuali wanita haid. Syaitan memperdaya wanita haid melalui pelbagai cara antaranya ketika dirimu dalam keadaan tertekan, marah, sakit dan sebagainya. Justeru, lazimkanlah dirimu membaca doa pagi dan petang, serta berdoa setiap kali melakukan pekerjaan.

 

Demikianlah perkongsian buat mawarku saat dirimu dalam keadaan haid. Namun, semua ini bukan jaminan engkau akan terhindar daripada sebarang gangguan. Tetapi, diharap ia mampu membantu dirimu menghadapi saat-saat haid dengan tenang dan sentiasa melakukan amal ibadat.

 

Azneah Md.Addnan

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply