Bila Mati Menuntut Haknya

0
188
views

Bila Mati Menuntut HaknyaSebesar manapun perancanganmu, sebanyak manapun kerjamu, sekeras manapun usahamu dalam mentarbiyah diri dan manusia, sesibuk manapun belajarmu, jangan lupa meletakkan sekali perancangan untuk mati. Sesekali jangan lupakan. Kerana ianya lebih konkrit dan stabil.

Mengapa? Kerana bila mati menuntut haknya, ia tidak akan tertangguh lagi. Atau terlambat dari waktu yang asal. Siapa kamu untuk menangguhkannya.

‘Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-kali, tidak dapat dikalahkan’. (Surah Al-Waaqi’ah:60)

Menghabiskan belajar perubatan 6 tahun. Tak tentu lagi, kerana mati akan menjemput, bila-bila yang dia ingini. Rancang untuk berkahwin dan berkeluarga. Rancanglah, tetapi bila mati itu datang, sudah tidak dapat dielak lagi. Bekerja keras dan mengumpulkan harta, untuk kesenangan anak-anak dan cucu-cucu. Buatlah, tetapi jangan salahkan mati kerana ia pasti tiba saatnya.

‘ Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan’. (Surah Al-Jumuaah:8)

Kehidupan. Jangan tergolong dalam golongan yang mudah tertipu dengan kehidupan dunia. ‘Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)’. (Surah Al-Ankabut:64)

Sedangkan kehidupan di akhirat adalah abadi daripada dunia. Dan dunia hanya sekadar jambatan kepada akhirat.

‘Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal’. (Surah Al-Mukmin:39)

Maka, jadikanlah dunia, sebagai ladang tanaman, supaya hasil yang dituai di akhirat, adalah yang terbaik dari usaha gigihmu. Menggunakan dunia untuk redha Allah di akhirat.

Sebagai yang mempercayai hakikat kematian, walaupun tidak diketahui bilakah yang sepatutnya mati itu datang, persediaan demi persediaan perlu dibuat.

‘Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah dirimu kau akan hidup selamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kau akan mati esok hari’. (Syair).

Supaya dirimu tidak lagi beralasan, seperti pelajar yang tidak bersedia menghadapi imtihan. Syukur, masih ada tarikh dan masa yang telah ditetapkan. Namun mati ini, berteka-tekilah kita, bilakah ketibaanya. Hanya masih menopang dagu menunggu-nunggu atau terus membuat persiapan?
‘Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, lalu ia berkata:

“Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan kematianku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang soleh”.
(Surah Al-Munaafiquun:10)

Sebagai yang mengajak diri dan manusia lain ke arah kebaikan, bersungguhlah untuk dakwah dan tarbiyah. Mengapa? Kerana inilah jalan yang dirimu yakini sejak awal lagi. Inilah usaha sungguh-sungguhmu sebagai persiapan kematianmu. Kerana ianya meluhur, memberkati dan membersihkan hidupmu seperti yang dirasai Syed Qutub. Mengapa? Kerana pengkaderan dan pembentukan manusia membuatkan ladang tanaman kita subur dan berkembang baik. Hatta, bila mati itu menjemput. Masih ada lagi yang disampaikan kepada semua yang mahu berubah hatinya.

Sebagai yang mempercayai toriq ahli jannah yang telah dijanjikan, seramai 10 jumlahnya. Berjanjilah yang luar biasa dengan Allah. Sehingga pada saat ajalmu datang, moga Allah melunaskan janjimu yang mulia itu.

‘Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya’. ( Surah Al-Ahzab:23)

 

http://ghulam-budakkecil.blogspot.com/

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply