Bilakah Masa Terbaik Untuk Berpuasa Sunat Syawal Atau Puasa Ganti ? – Ust Kamilin Jamilin

0
900
views

Antara fiqh berpuasa pada musim-musim perayaan ialah :

Sebaik-baiknya kita membiarkan beberapa hari-hari awal perayaan Islam ini sebagai hari yang menggembirakan dengan tidak berpuasa qadha’ (ganti) atau puasa 6 Syawal terlebih dahulu.

Dalam hadis sahih Nabi SAW pernah mengatakan pada hari-hari Tasyriq (3 hari selepas raya Adha):

Ianya merupakan hari-hari makan dan minum…

Dan dalam hadis sahih lain, Nabi SAW juga menegah dari berpuasa pada hari-hari tersebut.

Jika demikian hukumnya 3 hari selepas hari Aiduladha yang merupakan perayaan utama umat Islam, maka perayaan Aidulfitri juga tidak jauh bezanya.

Bahkan jika dilihat suasana Aidulfitri di Malaysia, kebiasaannya ia disambut lebih meriah dari Aiduladha dengan cuti yang diambil lebih lama, amalan kunjung mengunjungi, perhimpunan keluarga, jemputan jamuan dan sebagainya, maka iktibar dari tegahan Nabi SAW semasa Aiduladha tadi seharusnya diambil pengajarannya.

Maka jika keadaan diri membenarkan, janganlah menyempitkan diri atau pihak yang menjemput atau tetamu yang bertandang dengan tergesa-gesa berpuasa pada minggu pertama raya atau hari-hari “panas” perayaan sehingga ada yang tidak mahu makan bersama, bahkan tidak mahu bertandang atau menyahut undangan atau menerima tetamu dengan alasan berpuasa!

Bukankah Nabi SAW pernah mengarahkan sahabat yang tidak mahu menjamah hidangan kerana berpuasa sunat untuk berbuka kerana pihak yang menghidang telah bersusah-payah menyediakan hidangan?

Sebaiknya kita meraikan suasana dan perasaan kita dan saudara kita dalam musim gembira ini yang tidak dinafikan keutamaan fadilatnya yang terhasil dari memuliakan tetamu, memenuhi undangan, dan memelihara ukhuwwah serta silaturrahmi yang merupakan antara sebaik-baik ketaatan dan amalan.

Fadilat berpuasa Syawal atau puasa ganti pula Allah jadikan waktunya lebih luas.

Maka jika tiada halangan penting, dahulukan fadilat yang terhasil dari musim yang singkat sekali setahun ini dengan menangguhkan seketika puasa tersebut dari hari-hari awal selepas hari raya.

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply