Boleh Tak Saya Gabungkan Puasa Sunat Syawal Dengan Puasa Ganti?

0
456
views

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. bolehkah niat puasa 6 syawal diniatkan sekali dengan puasa qada’ terutamanya bagi perempuan yang nak ganti puasa?

JAWAPAN:

1) Secara ringkas permasalahan ini merupakan khilaf di kalangan para ulama. Namun menurut fuqaha’ mazhab Syafi’ie berpendapat bahawa harus(dibolehkan) menggabungkan antara puasa wajib seperti qadha’, nazar dan kafarah dengan puasa sunat, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti di dalam kitab “al-Asybah wa al-Nazair”:

.صام في يوم عرفة مثلا قضاء أو نذرا، أو كفارة ; ونوى معه الصوم عن عرفة، فأفتى البارزي بالصحة، والحصول عنهما

Maksudnya: “Seseorang yang berpuasa pada hari Arafah contohnya untuk (niat) qadha’ atau nazar atau Kaffarah dan dia berniat bersamanya puasa (sunat) Arafah, maka al-Barizi memfatwakan ia adalah sah dan mendapat kedua-duanya(pahala qadha’ dan sunat)”.

2) Meskipun diharuskan menurut mazhab Syafi’ie, namun pahala yang dianugerah tidak sempurna jika tidak dilakukan secara berasingan, iaitu puasa qadha’ dan sunat tidak digabungkan tetapi dilakukan pada hari yang berlainan.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli di dalam karangannya “Nihayah al-Muhtaj”:

ولو صام في شوال قضاء أو نذرا أو غيرهما أو في نحو يوم عاشوراء حصل له ثواب تطوعها كما أفتى به الوالد تبعا للبارزي والأصفوني والناشري والفقيه علي بن صالح الحضرمي وغيرهم، لكن لا يحصل له الثواب الكامل المرتب على المطلوب لا سيما من فاته رمضان وصام عنه شوالا لأنه لم يصدق عليه المعنى المتقدم،

Maksudnya: “Jika seseorang berpuasa di bulan Syawal untuk tujuan qadha’ atau nazar atau selainnya, atau seperti berpuasa di hari Asyura, maka dia akan dapat pahala puasa sunat sepertimana yang difatwakan oleh bapa saya(Syahabuddin al-Ramli) sebagai susulan (fatwa) dari al-Barizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Soleh al-Hadrami dan selain mereka. Tetapi tidak akan dapat pahala yang lengkap disebabkan perkara yang dituntut(puasa yang berasingan niat yg khusus), lebih-lebih lagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan kemudian menggantikan ia di bulan Syawal. Ini kerana ia tidak bertepatan dengan makna yang terawal”.

3) Menurut fatwa Imam al-Ramli di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang berpuasa qada’ pada bulan syawal maka dia juga akan dapat pahala puasa sunat Syawal namun begitu lebih afdal puasa qada’ dilaksanakan secara berasingan untuk mendapatkan puasa yang lengkap lagi sempurna.

Fatwa yang sama juga dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam karangan beliau “Tuhfah al-Muhtaj”, juga dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam “Mughni al-Muhtaj”.

4) Walaubagaimana pun menurut ulama-ulama mazhab Syafi’ie, meskipun puasa himpunan begini dikira sah, namun ia tidak mencapai maksud yang sebenar.

Ini kerana puasa 6 Syawal dituntut apabila lengkap puasa Ramadan dilaksanakan berdasarkan zahir hadith. Justeru itu adalah dituntut berpuasa qada’ Ramadan dahulu kemudian diikuti dengan puasa puasa enam.

5) Jika seseorang berhutang puasa Ramadan disebabkan keuzuran lalu dia memilih untuk berpuasa enam dahulu kemudian berniat untuk mengqada’ Ramadan selepas bulan Syawal, maka hukumnya puasa enam di sini sah tetapi makruh di sisi Ulama Syafi’iyyah.

Fakta ini disebutkan oleh Imam Ramli di dalam rujukan yang sama:

يكره لمن عليه قضاء رمضان أن يتطوع بالصوم كراهة صومها لمن أفطره بعذر

Maksudnya: “Makruh bagi sesiapa yang ada qada’ Ramadan berpuasa sunat, makruh puasa sunat ini bagi mereka yang berbuka puasa(di bulan Ramadan) dengan keuzuran”.

6) Manakala sesiapa yang berbuka puasa di bulan Ramadan bukan atas faktor keuzuran tetapi maksiat, maka haram ke atasnya berniat puasa sunat, bahkan diwajidkan puasa qada’ serta merta tanpa penangguhan.

7) Sebahagian ulama berpendapat bahawa tidak sah digabungkan antara puasa sunat dan qadha’ berdasarkan amalan Saidatina Aisyah Radiyallahu ‘anha yang melewatkan puasa qada’ beliau pada bulan Sya’ban, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Aisyah berkata:

كان يكون عليَّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجيء شعبان، لمكان النبي صلى الله عليه وسلم. متفق عليه.

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba dan itu kerana sibuk melayani Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.”

8) Saidatina Aisyah RA seorang yang kuat ibadah termasuklah berpuasa, tidak mungkin beliau meninggalkan puasa 6 Syawal.

Penangguhan puasa qada’ oleh Aisyah RA menunjukkan bahawa beliau tidak mengabungkan antara puasa qada’ dan 6 Syawal. Jika Aisyah menggabungkan kedua-duanya nescaya beliau tidak perlu menangguh puasa gantinya.

Namun pendapat yang berdasarkan hadith Sayyidah Aisyah merupakan pentakwilan dari yang mana ia tidak disokong oleh dalil yang jelas dan nyata. Selagi tiada bukti yang nyata maka ia bukan sebagai hujah yang mana ia masih boleh dijawab oleh ulama yang mengharuskan gabungan antara dua puasa, antaranya:

A – Tiada riwayat yang jelas lagi nyata yang membuktikan Sayyidah Aisyah Radiyallahu ‘anha berpuasa enam dahulu kemudian berpuasa ganti pada bulan Syaaban. Ia pentakwilan sebahagian ulama melalui gaya hidup Sayyidah Aisyah yang kuat beribadah, namun ia masih memerlukan bukti melalui riwayat yang jelas.

B – Jika tiada riwayat yang menyokong maka berkemungkinan besar juga Sayyidah Aisyah tidak sempat berpuasa enam kerana sibuk melayani Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Fakta ini dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam karangannya yang berjudul Fath al-Bari:

استدل به على أن عائشة كانت لا تتطوع بشيء من الصيام لا في عشر ذي الحجة ولا في عاشوراء ولا غير ذلك وهو مبني على أنها كانت لا ترى جواز صيام التطوع لمن عليه دين من رمضان

Maksudnya: “Dijadikan ia sebagai dalil(Hujah) bahawa Aisyah tidak berpuasa sunat satu pun samaada puasa 10 Dzul Hijjah, 10 Asyura dan selain dari itu. Ini berdasarkan beliau tidak berpendapat bahawa boleh berpuasa sunat bagi sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadan”.

C – Meskipun Sayyidah Aisyah dikenali sebagai wanita yang kuat berpuasa, tidak bermakna bahawa beliau tidak pernah meninggalkan puasa-puasa sunat seperti puasa enam. Baginda sendiri sangat kuat ibadah pernah beberapa kali meninggalkan beberapa jenis solat sunat antaranya solat Duha. Maka di sini juga tiada riwayat yang jelas menyatakan Sayyidah Aisyah tidak pernah meninggalkan puasa sunat enam.

D – Riwayat ini juga tidak semestinya berlaku setiap tahun, mungkin ia sering berlaku dalam kehidupan Aisyah namun ia tidak semestinya berlaku sepanjang kehidupan beliau bersama Baginda. Berkemungkinan juga adakala Sayyidah Aisyah pernah menggantikan puasa beliau di awal waktu sejurus setelah Ramadan atau bulan-bulan lain selain Syaaban.

E – Disebabkan tiada riwayat yang jelas untuk menyokong maka timbullah pelbagai kebarangkalian(ihtimalat) yang mungkin berlaku.

KESIMPULAN

1) Puasa gabungan antara qadha dan 6 syawal diharuskan/dibolehkan menurut ulama-ulama mazhab Syafi’ie. Fatwa keharusan ini disepakati oleh Imam Syamsuddin al-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami.

2) Cuma beza antara kedua-dua imam, Imam Ibn Hajar mensyarat niat gabungan antara kedua-duanya, manakala menurut Imam Ramli cukup sekadar berpuasa qada’ di bulan Syawal secara otomatik mendapat pahala puasa sunat juga, namun tidak sesempurna berbanding dibuat secara berasingan.

3) Meskipun diharuskan menurut mazhab Syafi’ie tetapi ganjaran atau pahala puasa yang diperolehi tidak sempurna, ini kerana lebih afdal dilakukan pada hari yang berlainan. Apa yang lebih dituntut mengada’ puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa 6 Syawal.

4) Sesiapa yang berpuasa enam Syawal sedangkan dia ada hutang puasa qada’, maka menurut mazhab Syafi’ie puasa enamnya sah tetapi makruh, iaitu terjejas pahala puasa sunat.

5) Ramai di kalangan ulama feqh kotemporari berpegang kepada pendapat yang tidak mengharuskan puasa gabungan antara qadha dan sunat. Tidak sedikit mereka yang mengharuskannya terutama ulama-ulama dari al-Azhar antaranya Sheikh ‘Allamah Dr. Ali Jum’ah dan ramai lagi, maka ini adalah khilaf muktabar iaitu khilaf yang diiktiraf di antara para ulama.

6) Sesiapa yang ada berhutang puasa Ramadan disebabkan keuzuran maka seeloknya mengqada’kan puasa dahulu, namun begitu jika tidak sempat berpuasa enam di bulan Syawal kerana kesibukan dan seumpamanya, maka dia disunatkan mengqada’ puasa enam Syawal tersebut di bulan Dzul Qaedah.

Ini adalah perkara yang disepakati oleh ulama mutaakhir mazhab Syafi’ie kecuali ‘Allamah al-Qalyubi(Rujuk: Fath al-‘Allam Bi Syarh Mursyid al-Anam).

Wallahu A’lam

Ust Syed Shahridzan @ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply