BR1M : Kaedah Terbaik Bantu Golongan Miskin ? – Prof Nazari Ismail

0
546
views

najib-br1m

Dalam ucapan Bajet 2017 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar BR1M dinaikkan untuk tahun ini dimana pemberian BR1M kepada isirumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 akan dinaikkan daripada RM1,050 dan RM1,000 kepada RM1,200.

BR1M kepada isirumah berpendapatan RM3,000 sehingga RM4,000 juga akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000, BR1M akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM450. Itu adalah sebahagian dari bantuan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Namun beberapa pihak telah mempersoalkan kebijaksanaan pihak kerajaan memberikan bantuan BR1M kepada golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir dilaporkan mengatakan bahawa BR1M adalah sebenarnya satu bentuk rasuah yang akan menjadikan rakyat terlalu berharap kepada kerajaan dan menjadi materialistik.

Tambah Dr Mahathir lagi, tindakan ini juga akan memberi kesan buruk kepada masa depan kerajaan yang memerintah. Ada yang lain merasakan bahawa BR1M adalah semata-mata taktik memancing undi dari kalangan golongan berpendapatan rendah oleh kerajaan.

4e68

Persoalannya ialah apakah sebenarnya BR1M satu program yang terbaik untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah?

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha membantu golongan miskin adalah sesuatu yang dianjurkan oleh agama Islam. Terdapat banyak sekali ayat dari al Quran berkenaan perkara ini termasuk ayat-ayat berikut:

1. ” … tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah swt. dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; … ” (2:178)

2. “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya” (5:2)

3. “Sesungguhnya Allah swt. menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan dan memberi kepada kaum kerabat ; dan melarang dari perbuatan keji, dan hal yang tidak disenangi, dan memberontak. Dia memberi kamu nasihat supaya kamu mengambil pelajaran.” (16:91)

Di zaman Rasulullah SAW juga terdapat golongan yang miskin. Mereka dipanggil golongan Suffah yang merupakan kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w di kota Madinah. Mereka tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian.

Bagaimanakah Rasulullah memastikan bahawa nasib mereka terbela dan tidak hidup dalam keadaan lapar dan sengsara?

Menurut pakar ekonomi Islam Profesor Monzer Kahf, Rasulullah SAW telah tidak pernah mengutip apa-apa cukai khas secara paksa dari orang ramai untuk membiayai perbelanjaan keperluan golongan Suffah ini.

buka-puasa-bersama-terbesar-di-dunia_3

Sebaliknya apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah baginda menggalakkan orang ramai menyumbang secara sukarela untuk membantu mereka. Oleh itu adalah menjadi amalan orang ramai ketika itu untuk meninggalkan buah-buah kurma di atas palang-palang di masjid Madinah untuk golongan Suffah ini.

Dalam erti kata yang lain apa yang kita boleh lihat ialah cara Rasulullah SAW membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah adalah bukan dengan menjadikan ia sebagai projek pemerintah dengan menggunakan dana kerajaan.

Sebaliknya beliau menjadikan kerja bantuan kepada orang miskin sebagai projek rakyat secara sukarela agar mereka mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT untuk dijadikan bekal akhirat. Di samping itu, cara ini akan memupuk rasa kasih sayang dan belas kasihan di kalangan mereka.

Jelas lah bahawa kaedah Rasulullah SAW jauh berbeza dengan cara BR1M dimana ia adalah seratus peratus projek kerajaan dengan menggunakan dana kerajaan. Malangnya sebenarnya dana kerajaan tidak mencukupi untuk membiayai semua perbelanjaannya.

Sebab itulah salah satu dari sumber utama dana kerajaan (selain dari kutipan berbagai bentuk cukai dan dividen dari Petronas) ialah pinjaman dari sektor kewangan.

Kerajaan terpaksa meminjam dari sektor kewangan kerana perbelanjaannya sentiasa melebih pendapatan. Situasi yang dipanggil `belanjawan defisit’ ini telah berlaku lebih dari 17 tahun berturut-turut.

Sebagai contoh, bagi tahun 2017, perbelanjaan kerajaan adalah dianggarkan berjumlah RM260 billion. Ini melebihi pendapatan yang diramalkan iaitu hanya RM219.7 billion. Ini bermakna untuk tahun 2017 kerajaan terpaksa meminjam lebih kurang RM40 billion untuk menampung perbelanjaannya.

Ini juga bermakna jumlah hutang terkumpul yang ditanggung oleh kerajaan akan meningkat lagi ke jumlah sekitar RM700 billion. Jika pendapatan kerajaan sebenar pada tahun ini adalah lebih rendah dari yang diramalkan, sudah tentu jumlah hutang terkumpul kerajaan akan meningkat lagi.

Tambahan pula, sebahagian besar dari pinjaman ini adalah dengan mengeluarkan bon kerajaan (di panggil Malaysian government securities atau MGS ) yang tidak menepati kaedah Shariah.

Ini kerana kerajaan terpaksa membayar bunga atau interest berjumlah hampir tiga puluh billion Ringgit setahun setakat ini di atas hutang-hutangnya walaupun ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Sudah tentu jumlah ini akan meningkat lagi pada tahun-tahun akan datang kerana jumlah hutang terkumpul kerajaan senantiasa meningkat dan diramalkan oleh pihak IMF akan mencecah RM1 trillion (atau satu ribu billion) pada tahun 2020.

Persoalan seterusnya ialah adakah skim BR1M akan dapat menyelesaikan masalah kenaikan kos kehidupan yang sedang dihadapi oleh rakyat terutama sekali dari golongan berpendapatan rendah?

Sebenarnya kita kena sedar bahawa faktor utama kepada kenaikan kos kehidupan ialah sistem kewangan yang diamalkan di negara kita yang berpaksikan kepada industri hutang. Sistem ini adalah sistem yang dibawa masuk oleh penjajah dan diajarkan kepada pentadbir negara kita semenjak sebelum merdeka lagi.

Oleh kerana itulah masalah kenaikan kos kehidupan yang membebankan rakyat Malaysia, terutama sekali golongan berpendapatan rendah juga berlaku di negara bekas penjajah kita iaitu United Kingdom serta di negara lain yang mengamalkan sistem yang sama seperti Amerika Syarikat, negara Eropah, Jepun dan bahkan juga Singapura.

Dalam sistem ini, sumber dana kepada aktiviti ekonomi adalah hutang yang dibekalkan oleh sistem kewangan. Setiap kali industri kewangan memberi hutang, wang akan tercipta secara otomatik.

Lagi banyak hutang yang diberikan oleh industri kewangan kepada sektor kerajaan, swasta dan juga isi-rumah, maka lagi banyak bekalan wang akan tercipta.

Akibat dari dana hutang yang senantiasa meningkat ini kos kehidupan juga akan senantiasa meningkat. Jika kerajaan, sektor swasta dan isi rumah sangat cenderung berhutang, maka kadar penciptaan wang ini akan meningkat cepat dan sudah tentu akan melebihi kadar perkembangan output.

Inilah yang mengakibatkan keadaan harga barangan sentiasa meningkat dari tahun ke setahun.

Tambahan pula kadar kenaikan kos kehidupan adalah lebih tinggi dari kadar kenaikan pendapatan pekerja. Ini kerana kebanyakan majikan juga banyak berhutang dan oleh itu menghadapi tekanan untuk mengurangkan kos operasi, terutama sekali kerana persaingan juga sangat sengit di antara syarikat swasta yang banyak berhutang.

Sekarang ini di Malaysia, jumlah hutang dalam negara sangat tinggi iaitu RM1.2 trillion di kalangan sektor swasta, RM1.3 trillion di kalangan isi rumah dan hampir RM700 billion oleh pihak kerajaan.

Sebab itu lah masyarakat semakin merasa perit dengan masalah kos kehidupan. Jika perbelanjaan kerajaan dan sektor lain tidak dikawal dengan baik dan jumlah hutang bertambah, masalah akan menjadi lebih serius seperti yang berlaku di Greece, Sepanyol, Jepun dan beberapa negara lain.

Apa yang boleh kita rumuskan ialah dalam jangka panjang, langkah kerajaan menyalurkan wang BR1M tidak akan dapat menyelesaikan masalah keperitan kehidupan golongan berpendapatan rendah di negara kita. Apa yang sebaliknya akan berlaku ialah hutang kerajaan akan sentiasa meningkat.

malaysia-economy1

Jika kerajaan tidak mengawal perbelanjaannya dengan baik, maka kerajaan akan terpaksa menampung perbelanjaan nya dengan menaikkan kadar GST di masa hadapan yang akan menambahkan lagi beban kepada rakyat terutama sekali golongan miskin.

Solusi jangka panjang sebenarnya memerlukan perubahan kepada sistem kewangan supaya ianya tidak menggalakkan pertumbuhan hutang.

Di samping itu rakyat juga perlu merubah nilai kehidupan supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan. Pemimpin perlu menjadi contoh kepada rakyat dari aspek kehidupan sederhana dan tidak suka bermewah-mewah dan membazir.

Pemimpin juga perlu menjadi contoh kepada rakyat dari segi amalan gemar membantu golongan yang miskin secara sukarela dari duit poket peribadi mereka sendiri (dan bukan dari duit kerajaan).

Akhir sekali kerajaan juga harus menghapuskan amalan pembaziran dan ketirisan kerana ini juga akan menambahkan beban hutang kerajaan dan menyumbang kepada kenaikan kos kehidupan yang membebankan rakyat.

Prof. Dr. Mohd Nazari bin Ismail

Ketua Biro Penyelidikan IKRAM

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply