Buat Akhi-Akhiku Yang Semakin Lesu

0
77
views

letih

“ Ana rasa semakin lama semangat ana makin pudar.  Anak Halaqah ana seolah tidak menjadi meski telah banyak ana mencoba ”

“ Di tahap ini, ana tidak tahu, apakah semangat pudar itu mendorong kepada kegagalan mendidik anak halaqah ana, atau ketiadaan hasil dari anak halaqah ana yang menjurus pada kepudaran semangat ana!”

“Sesungguhnya kejayaan itu milik Allah, ana yakin. Namun telah menjadi kemestian manusia untuk merasai buah usahanya. Pada ana, buah itu seolah jauh dari gapaian.”

“ Adakah ana salah akhi?” soalnya kepadaku.

Aku mendiam. Itu sahaja aku mampu. Aku cuma dapat meminjamkan telinga, menyumbangkan simpati, menunjukkan ihsan. Namun menyelesaikan masalah Akhi yang bertanya itu, aku merasakan aku berada di sebuah kedudukan yang lebih kurang sama sahaja dengannya.

Berada di jalan Dakwah ini, secara jujur, adalah sebuah jalan yang sangat demanding. Ia bukanlah sebuah jalan yang terlalu penuh dengan kemanisan.  Jalan ini kadangkala memeningkan dan membebankan hati.

Pada hampir setiap masa, jalan dakwah menyiku dan mengguris emosi.

Itulah bebanan yang ditanggung buat semua kader Dakwah yang berterusan dalam jalan ini. Sepertimana pekerjaan professional dakwah ini diwariskan kepada ummat islam, begitu juga aku kira bebanan dan kesakitan itu diwariskan bersama dengan pekerjaan ini.

Akhi ku,

Kepudaran semangat itu telah banyak aku saksikan dalam kalangan saudara-saudara kita. Aku telah menyaksikan bagaimana ikhwah yang qawiy, akhirnya satu per satu meninggalkan dakwah lantaran bebanan yang hadir pada dakwah ini.

Aku telah menyaksikan juga bagaimana kelesuan semangat itu, telah memerangkap saudara kita pada permainan “asalkan aku buat” dan “Supaya tidak disoal murabbi dalam liqa’ “.

Dahsyat sungguh kebobrokan ini!

Namun, apabila aku memikirkan tentang kelesuan semangat, aku terfikir tentang Nuh a.s.  Aku telah terfikir akan kekuatan kudratnya menghampiri setiap mad’u, dan menceritakan tentang islam dengan sepenuh hati. Dengan setiap batang tubuhnya, wallahi, baginda telah berusaha!

Apabila ditolak islam itu dalam kaedah terbuka, maka Nuh a.s mempromosikan pula islam itu sehingga menjadi menarik. Apabila ditolak lagi,  maka dia menghampiri pula setiap individu dengan menceritakan secara peribadi tentang islam.

Itulah gerak kerja baginda pada setiap hari; siang dan malam.

Ya akhi! Itu rasul kita Nuh a.s yang berdakwah secara terus menerus lebih dari 900 tahun. Apakah tidak wujud kepudaran semangat itu lantaran dakwah yang tidak diterima?

Apabila aku memikirkan kelesuan himmah, aku terfikir tentang Nabi Muhammad a.s dan para sahabat pada waktu sebelum Fathul Makkah. Tatkala itu apa yang ada hanyalah sakit dan sengsara. Ditambah dengan itu adalah bebanan menyebarkan Al- Haq pada manusia. Tidak dikira lagi bebanan tanggungjawab kepada keluarga.

Aku teringat kisah dua orang Sahabat yang bergilir-gilir bekerja agar salah seorang daripada mereka dapat hadir pada Halaqah nabi dan memperoleh manfaat. Untuk mengimbangkan tugasan sebagai pelajar dan dakwah sahaja sudah terasa sukar, bagaimana pula dengan mereka ini?

Aku juga teringat akan kisah para sahabat dan Nabi Muhammad s.a.w yang berlaparan dalam membina parit sewaktu perang Ahzab. Akhiku, dalamnya parit ini lebih dari 3 meter! Jauhnya parit ini lebih dari 5 km! Apakah kalian sangka parit ini seperti parit air di hadapan rumah kita?

Tidak mudah buat mereka melalui tugasan ini. Menjalani peperangan, beserta tugasan untuk menyiapkan parit besar, malah dalam keadaan lapar dan dahaga, menguji keimanan dan kekuatan hati mereka. Serta merta aku terfikir, apakah tidak langsung terlintas di hati mereka untuk meruntuhkan semangat dan berlalu pergi dari menjalankan tugasan? Kerana akhirnya tugas mustahil ini berjaya disiapkan pada waktu yang ditetapkan.

Mengapa sungguh kuat peribadi mereka? Aku tertanya kepada diri. Dan soalan yang sama aku tujukan pada mu akhi.

Akhiku,

Di awal jalan dakwah, Allah telah menunjukkan kepada mu kemanisan iman, taqwa, serta ukhuwwah. Alhamdulillah.

Harus pula sekarang kau fahami fakta tentang fasa 2/3 dakwah.  Sekarang adalah fasa untuk kamu membuktikan kemanisan iman itu pada Allah. Sekarang adalah waktu untuk kamu membuktikan kamu benar-benar bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat hidayah yang telah Dia hadirkan kepada kamu.

Ya, benar!

Aku mengiakan kata Hassan Al-Basri “ Tidaklah iman itu hanya pada angan dan cita-cita, tetapi iman itu bertakhta dalam hati dan dibuktikan dengan amal “.  Akhiku, sekarang adalah fasa kau membuktikan iman kamu.

Setelah puas sudah kita menelesuri kitab sirah, buku-buku penyucian jiwa, risalah fikrah, perancangan dakwah, maka ini adalah masa untuk kita membumikan segala pemahaman itu. Ini adalah masa untuk kita berinteraksi pada Allah dan Quran sama seperti para Anbiya’ dan Sahabat bermunajat tanpa henti pada Tuhan tatkala terasa berat bagi mereka meneruskan langkah dakwah.

Ketahuilah akhiku, keputusan dakwah itu hanya pada Allah. Ganjaran Dakwah itu adalah sesuatu yang merentasi masa dan oleh kerana itu masa bukan seteru (musuh) buat kita.  “Apa”, “Bila” dan “Bagaimana” adalah bukan soalan yang tepat untuk ditanya.

Ganjaran Dakwah Nabi di Thaif adalah keimanan generasi anak cucu mereka setelah itu.
Ganjaran Dakwah Nuh a.s adalah hadirnya ummat selepas itu yang menginginkan islam.
Ganjaran Dakwah para Sahabat adalah kenikmatan tarbiyyah dzatiyah diri yang sangat hebat sehingga menjadi tabiat walaupun sudah masuk ke era kemakmuran dan ketenangan Khilafah Islamiyah.

Baca : Tarbiah Dzatiah

Akhiku, saat kita bermula di jalan dakwah ini kita telah berjanji dan bernazar pada Allah. Dia tidak akan sesekali mengingkari janji, jadi yang tinggal dalam kontrak jual beli ini adalah bahagian kita.

Maka adillah bagi Dia untuk melihat sejauhmana kita berpegang pada janji kita seperti yang telah tercatat dalam kontrak.
Adillah bagi Dia untuk melihat dan menyaring ketulenan iman para hambanya.
Adillah bagi Dia untuk menimpakan pada kita kesakitan dalam dakwah setelah pada awalnya kita bermanja dan bermanisan dalam ulitan ideal.

Buat akhi-akhiku yang semakin lesu, aku persembahkan pada kamu coretan ku ini. Aku bukan malaikat dan aku bukan yang terbaik. Namun kerana kasihnya aku pada keimanan ini, pada dakwah yang kita sanjung, dan pada keredhaan Allah yang kita cari, aku kira sudah tiba masa kita menamatkan kemarau panjang rungut dan  kata-kata lesu.

Maralah ke hadapan dengan penuh pengharapan, sehinggakan kamu benar-benar mati syahid atau kamu hidup berterusan dan menemui ganjaran Dakwah yang telah Allah janjikan pada kamu di Dunia, in shaa allah.

“ Dan bersabarlah engkau yakni Muhammad bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaannya…”  (18:28)

“… Mereka berperang di Jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar dari Allah dalam Injil, Taurat, dan Al-Quran..”  (9: 111)

“Mereka memenuhi nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana”

 (76:7)

cutmypic
Penulis : Imhaf Nalsam
Blog Penulis : kasutmerahlonsdale.tumblr.com

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply