Cara Seorang Mukmin Menyambut Ramadhan : Bukan Semata-Mata Berpuasa

0
639
views

 

Menyambut Ramadhan

Dengan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang

Apakah persiapan kita untuk menyambut Ramadhan?

Adakah dengan membeli pelbagai jenis jus dan minuman? Membeli pelbagai jenis makanan? Menyiapkan dapur dan tempat makan? Atau dengan mengambil cuti supaya dapat berehat dan tidur?

Apakah cara yang paling baik untuk menyambut bulan yang mulia ini?

Seorang muslim sepatutnya tidak mensia-siakan musim ketaatan ini dan menjadi orang yang berlumba-lumba dan bersaing dalam beramal padanya. Firman Allah taala :

وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

Dan untuk (memperoleh nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; (Surah al-Mutaffifin:26)

Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda :

افْعَلُوا الْخَيْرَ دَهْرَكُمْ ، وَتَعَرَّضُوا لِنَفَحَاتِ رَحْمَةِ اللَّهِ ، فَإِنَّ لِلَّهِ نَفَحَاتٍ مِنْ رَحْمَتِهِ يُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ، وَسَلُوا اللَّهَ أَنْ يَسْتُرَ عَوْرَاتِكُمْ ، وَأَنْ يُؤَمِّنَ رَوْعَاتِكُمْ

“Lakukanlah kebaikan sepanjang usiamu (terutama sekali pada waktu istimewa yang disebut Islam) dan carilah hembusan Rahmat Allah kerana ia menyentuh siapa sahaja yang Dia mahu dalam kalangan hamba-Nya. Pohonlah kepada Allah agar Dia menutup aibmu dan menyelamatkan kamu daripada ketakutanmu.”


Kita boleh menyambut Ramadhan dengan pelbagai cara. Antaranya :

Pertama: Berdoa supaya Allah menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan

Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda :

إِنَّ الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ

 “Doa itu merupakan suatu ibadah.” – Sahih Abu Daud (1329)

Para salafussoleh berdoa kepada Allah agar memberi peluang mereka sampai kepada bulan Ramadhan.

Kemudian mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka di bulan Ramadhan.

 

Jika kita melihat anak bulan kita membaca doa sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam.

اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ

“Ya Allah, perjalankanlah bulan ini kepada kami dengan penuh kebajikan dan iman, serta keselamatan dan Islam. Rabb-ku dan Rabb-mu (bulan) adalah Allah.” Syeikh Albani berkata : Hadis ini Hasan. Rujuk hadis bernombor 4726 (Sahih al-Jami’).

Menyambut Ramadhan

Kedua: Bersyukur dan memuji Allah kerana berpeluang merasai Ramadhan

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Azkar :

Ketahuilah bahawa digalakkan untuk bersujud syukur dan memuji kebaikan yang diperolehi apabila kita baru mendapat satu nikmat yang nyata atau dijauhkan daripada sebarang malapetaka yang nyata.”

Berapa ramai orang yang pernah solat Tarawih bersama dengan kita pada tahun lepas tetapi sekarang beliau sudah terbaring di dalam tanah kubur menunggu doa yang baik untuknnya.

Jika dikatakan kepadanya, apa yang kamu mahu nescaya dia akan meminta untuk mendapatkan sesaat di bulan Ramadhan maka jadilah kita orang yang memanfaatkan waktu ini.

Ketiga: gembira dan ceria dengan kedatangan Ramadhan.

Diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w memberitahukan khabar gembira kepada para sahabatnya dengan kedatangan bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w:

جاءكم شهر رمضان، شهر رمضان شهر مبارك كتب الله عليكم صيامه فيه تفتح أبواب الجنان وتغلق فيه أبواب الجحيم…  أ

Mafhumnya: Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan yang telah diwajibkan oleh Allah untuk kamu berpuasa dan padanya dibukakan pintu-pintu syurga dan dikunci pintu-pintu neraka.. 

Para Salafus Soleh daripada sahabat Rasulullah dan para Tabi’in sangat menitik beratkan bulan Ramadhan, mereka sangat gembira dengan kedatangannya, dan tidak ada kegembiraan yang lebih besar daripada khabar hampirnya bulan Ramadhan, bulan segala kebaikan dan dilimpahkan dengan rahmat.

Bayangkan, jika seorang tetamu yang mulia setelah setahun kita tidak pernah bertemu dengannya, kemudian datang menemui, maka apakah yang akan kita lakukan?

Tetamu itu ibarat bulan Ramadhan, maka dimanakah semangat untuk menyambut kedatangannya dengan melakukan amal soleh?

Keempat: Tekad yang benar dan bersungguh-sungguh menghiasi waktu dengan amal soleh.

Maka sesiapa yang benar imannya terhadap Allah, Allah akan membenarkan keimanannya dan akan memberi pertolongan kepadanya untuk melaksanakan ketaatan dan memudahkannya menuju jalan-jalan kebaikan.

Seperti firman Allah dalam surah Muhammad ayat 21:

فلو صدقوا الله لكان خيرا لهم

Maksudnya: Tetapi jikalau mereka benar (imannya) terhadap Allah, niscaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.

Sepertimana para sahabat yang berbaiah untuk berperang di jalan Allah, mereka beriman kepada Allah dan Allah membenarkan keimanan mereka, maka berimanlah kepada Allah dengan keimanan yang sebenar!

Menyambut Ramadhan

Kelima: mengetahui dan mendalami ilmu berkenaan hukum hakam di dalam bulan Ramadhan.

Setiap mukmin hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan dalam menyembah Allah.

Kejahilan dalam bab amalan fardu yang telah diwajibkan oleh Allah tidak boleh menjadi suatu keuzuran.

Hal ini termasuklah dalam kefarduan berpuasa di bulan Ramadhan.

Setiap muslim hendaklah berusaha mempelajari isu-isu berkaitan puasa serta hukum hakamnya sebelum kedatangan Ramadhan lagi, agar puasanya sah dan diterima oleh Allah swt.

فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون

Ertinya: Maka bertanyalah kepada orang yang alim di kalangan kamu jika kamu tidak mengetahui. [Al-Anbiya’: 7].

Ingatlah bahawa manusia itu ada tiga jenis; seorang yang berpengetahuan, penuntut ilmu dan yang binasa.

Maka yang mana satukah anda?

Keenam: Hendaklah kita menyambutnya dengan keazaman untuk meninggalkan maksiat dan kejahatan, keazaman untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat daripada segala dosa, memisahkan diri daripadanya dan tidak lagi mengulanginya.

Sesungguhnya Ramadhan ialah bulan taubat, sesiapa yang tidak bertaubat ketika bulan ini maka bilakah lagi dia akan bertaubat?!

Allah swt berfirman:

وتوبوا إلى الله جميعا أيها المؤمنون لعلكم تفلحون

Ertinya: Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian mukmin agar kamu peroleh kejayaan. [An-Nur: 31].

Ketujuh: Salah satu persiapan yang baik ialah dengan mengajak manusia bersedia menyambut ramadan.

Ianya juga merupakan salah satu dakwah menuju Allah dan dapat dilaksanakan melalui:

  • Menyampaikan kuliah dan ceramah yang berkesan berkenaan persiapan menyambut Ramadan di masjid-masjid yang hidup di kawasan kejiranan. Hendaklah kita dalam melaksanakan tugasan sebagai daie, menyeru manusia dengan celik dan tidak menjadikan kejahilan sebagai dorongan.
  • Mengagihkan risalah dan nota-nota ringkas yang bermotivasi dan berinformasi berkaitan Ramadan kepada jemaah surau dan jiran tetangga.
  • Menyediakan bungkusan ‘hadiah Ramadan’. Jika kita mahu, ianya bisa dibalut rapi dengan reben dan disertakan kad ucapan yang tertulis ‘hadiah Ramadan’.
  • Menghulurkan sedekah dan mengeluarkan zakat sebagai tanda memperingati golongan fakir dan miskin.

Menyambut Ramadhan

 

Kelapan: hendaklah kita menyambut Ramadhan dengan membuka buku putih yang bersih

  1. Kepada Allah dengan bertaubat setulus hati. Allah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التوابين وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Sesunguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri” (Al-Baqarah : 222)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat ‘nasuha’ (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Tuhanmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (At-Tahrim : 8)

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِنْ قَرِيبٍ فَأُولَئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah bagi mereka yang melakukan kejahatan karena tidak mengerti, kemudian segera bertaubat. Taubat mereka itulah yang diterima Allah. Allah Maha Mengetahui lagi Mahabijaksana. (An-Nisa : 17)

وَاللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَنْ تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

Maksudnya: Dan Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran). (An-Nisa : 27)

  1. Membuka buku putih kepada Rasulullah dengan mentaati perintah Rasul dan menjauhi larangannya.
  2. Terhadap ibubapa, kaum keluarga, para isteri dan anak-anak dengan perbuatan baik dan hubungan kasih.
  3. Bersama masyarakat setempat sehingga menjadi hamba Allah yang soleh dan bermanfaat kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia (lain). Sheikh Albani menyebut hadis ini sebagai Hasan (Hadis no. 3289, Sohih Al-Jami’)

Kesembilan: Berpuasa dengan ikhlas (semata-mata kerana Allah)

Ikhlas kepada Allah Taala; seperti mana firman Allah SWT di dalam surah Kahf yang bermaksud,

‘Maka sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.’

Menyambut Ramadhan

Ikhlas adalah ruh kepada taat, kunci diterima segala amal soleh. Ikhlas jugalah yang menjadi sebab pertolongan dan taufiq dari Tuhan kepada segala makhluk.

Pertolongan Allah kepada hambanya yang mukmin bergantung kepada kadar niat dan ikhlas hambanya semasa melakukan kebaikan.

Seperti mana yang dikatakan oleh ibnu Qayyum yang bermaksud,

‘Sebanyak mana kesungguhan, keinginan dan kemahuan seorang hamba itu dalam melakukan sesuatu amal, sebanyak itulah juga taufiq dan pertolongan Allah berikan kepadanya’.

Kesepuluh: Berlapang dada dengan orang muslim

Janganlah ada di antara diri kamu dan saudara kamu kebencian.

Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

‘Sesungguhnya Allah melihat (khusus) pada malam nisfu sya’ban dan mengampunkan semua makhluk kecuali orang syirik dan orang yg berbalah’. – Sohih Taghrib dan Tarhib

Kesebelas: Mengambil berat terhadap kewajipan-kewajipan yang diwajibkan

Seperti solat Subuh berjemaah dan juga kewajipan lain supaya kita tidak terlepas sekecil-kecil ganjaran pahala pada bulan Ramadan dan berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk tidak melakukan dosa yang akan mengganggu kita mendapatkan ganjaran pahala.

Kedua belas: Membiasakan diri dengan melakukan sembahyang malam, berdoa, dan membaca Al-Quran setiap hari

Menyambut Ramadhan

Supaya kita tidak lemah dan malas pada pertengahan bulan Ramadan.

Sebagai tambahan, peruntukkan waktu-waktu tertentu untuk membaca al-Quran sama ada selepas sembahyang lima waktu atau sebelumnya, waktu di antara sembahyang Maghrib dan Isyak, atau pada waktu lain bermula dari bulan Syaaban lagi sehingga setelah Ramadan dengan izin Allah SWT.

Ibn Abbas RA berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang sangat pemurah dan suka melakukan kebaikan. Sikap pemurah baginda semakin bertambah di bulan Ramadhan ketika bertemu dengan Jibril. Baginda didatangi Jibril pada setiap malam di bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Quran. Keadaan Rasulullah SAW ketika bertemu Jibrail adalah sangat pemurah dalam melakukan kebajikan, iaitu lebih cepat daripada angin yang bertiup kencang”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Ketiga belas: Bermuhasabah diri atas kecuaian yang dilakukan dalam memanifestasikan dua kalimah syahadah atau kecuaian dalam melakukan kewajipan.

Begitu juga kecuaian dalam tidak meninggalkan apa yang diinginkan oleh syahwat dan subahat.

Dengan ini, kita boleh membaiki kekurangan dalam menjalani ibadat di bulan Ramadan dengan keimanan yang tinggi.

Iman itu bertambah dan berkurang.

Ia bertambah dengan melakukan ketaatan dan berkurang dengan melakukan maksiat. Kata Ibn Uyainah, ia boleh membesar menjadi seperti gunung dan boleh berkurang sehingga tiada tinggal sesuatu apa pun.

Menyambut Ramadhan

Keempat belas: Hati kita hendaklah sejahtera dan bebas daripada syirik, kekufuran, bidaah dan juga tidak mencintai orang yang melakukannya.

Firman Allah SWT:

 يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Maksudnya:  “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” (Surah Al-Syu’ara: 88-89)

 Firman Allah SWT:

 وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ (83) إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (84)

Maksudnya: “Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim, ketika ia mematuhi perintah Tuhannya dengan hati yang suci murni.” (Surah Al-Saffat: 83-84)

Kelima belas: Memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa.

Sabda Rasulullah SAW:

 من فطر صائما أو جهز غازيا فله مثل أجره

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, atau menyiapkan persiapan untuk orang pergi berperang,maka dituliskan untuknya ganjaran seumpamanya.”

Syeikh Albani berkata, “Hadis ini sahih.” Lihat hadis bernombor 6414 dalam Sahih al-Jami’.

Dalam masa yang sama kita tidak boleh melupakan orang-orang fakir miskin dengan melakukan amalan-amalan yang disukai oleh Allah iaitu dengan menggembirakan hati mereka dengan menyediakan hidangan makanan untuk mereka.

Tidak diragui lagi bahawa menggembirakan orang-orang fakir miskin di bulan Ramadan merupakan amalan yang disukai oleh Allah SWT.

Menyambut Ramadhan

 


Artikel terjemahan daripada kumpulan Pena Syariah

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply