Cawan Untuk Aku

0
89
views

cawan untuk aku

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Wudhu’ tadi sedikit melegakan resah .Hati ini sudah terbang menerawang ke warna jingga yang kian merata langit .Beban atas kepala bertenggek tidak mahu melayang .Jasad ini berat ditindan badai gelisah .Aku penat .Capek sebab tiada solusi .

Kita stress bukan sebab banyak masalah .Sebab tiada jalan penyelesaian .

Petang itu , aku sudah berjanji mahu berjumpa salah seorang kenalan .Seorang ikhwah .Baru sahaja kenal .Kenal melalui satu program .Satu kampus pula .Bertemu janji di kafeteria yang tidaklah pula lengang .Mungkin sudah sampai masanya orang makan malam .Aku turun daripada motor .Letak helmet di raga motor .Malas pula mahu menguncinya .

Kita akan jadi lebih malas bila gundah gulana menguasai kepala .Malas pula aku mahu memikirkannya .

Aku meraba raba pandang .Membesarkan lensa mata .Mencari tubuh yang aku kenal .Aku jumpa .Kaki melangkah .Mengambil tempat untuk labuh di depannya . Senyum .Senyum aku pahit .Tidaklah sepahit peria yang aku terpaksa telan ketika menjadi bahan eksperimen tahun pertama .

Peluru sesat .

Ujian datang bertalu talu .Tanpa ada jalan penyelesaian .Aku mengah .Aku penat .Tak larat .Leter aku kepadanya .Bukanlah mahu berontak kepada tuhan , tetapi adakalanya aku risau akan kesihatan aku yang asyik berfikir tentang masalah masalah ini .Siang ke malam .Malam ke siang ..Arghh terasa sakit pula kepala ini .Berdenyut denyut .Buat aku rasa lebih gusar pula .

Ujian ujian .Masalah masalah itu buatkan aku hilang , nikmat beribadat kepadaNya .Malas .Rasa malas nak ikut mutabaah amal .Sebab tak larat asyik fikir sahaja .Fikir masa solat .Fikir masa mengaji .Semua amalan tak jalan .Dan mulalah tidak ikhlas , buat amal lebih semata mata dapat tiup masalah masalah itu pergi .Tetapi sebaliknya , amal amal itu hanya sifar .Masalah kian datang meribut .Aku mahu yang dulu , bukan mahu yang sekarang .

Diam .Dia perhati mulut aku berterabur dengan peluru leteran .Semuanya peluru sesat .Tersasul sasul menceritakan masalah .Namun , tiada riak ketawa dia mahu hamburkan .Dia jelas .Dia faham .Yang aku sangat stress .Jadi , dia tidak mahu situasi ini menjadi satu jenaka .Aku bukan watak dalam sitkom yang kasihan dan dia bukanlah watak yang buat lawak sindiran untuk memenuhkan tawa dalam situasi ini .

Dia bukan .Dia lain .

Aku berhenti .Berhenti memuntahkan segala peluru sesat .Dia membuka bicara .Aku pula membuka telinga .

Cawan untuk aku .

Ada satu masa dahulu , kita dapat merasa nikmat ketika melakukan ibadah .Solat kita dapat feel .Khusyuk .Baca al quran .Merdu sahaja suara kita alunkan .Lepas itu kita baca terjemahannya sekali sampai hati kita diketuk .Terharu ada ayat ayat macam ini .Menangis bila kita baca ayat ayat azab Allah , motivasi daripada Allah jangan putus asa , sentiasa ada pintu taubat .Gembira bila baca ayat syurga .Nikmat orang yang beriman .Rasa kagum sebab dalam al quran ada cerita berkenaan kejadian manusia .Teori big bang .Jasad firaun yang kekal sehingga kini .

Puasa, kita rasa gembira walaupun penat seharian .Dapat bangun malam selalu .Tahjud .Tasbih .Hajat .Sampai ada satu masa itu , kita menangis nangis dalam setiap sujud kita .Bercucuran air mata kita .Merintih malam malam, minta kepada Allah .Ampunkanlah dosa aku .Kemudian kita memang faham betul betul .Masa kita solat itu memang kita baca perlahan lahan dan kita faham setiap maksud itu .

Masa itulah kita rasa , wah indahnya nikmat beribadat kepada Allah .Sungguh .Memang seronok betul masa itu .Terasa , dekat sahaja akhirat itu dalam hati kita .

Dan jangan kita lupa .

Yang satu hari nanti , apa sahaja nikmat yang datangnya daripada Allah .Akan kembali juga kepada Allah .

Ini pun salah satu nikmat .Nikmat beribadat .Allah tarik .Ada hikmahnya .Untuk kita mujahadah .Dapatkan balik nikmat itu semula .Bagaimana nak dapatkan balik ?Mesti kena bayar .

Aku kaget .Tidak menyangka yang itu adalah nikmat Allah .

Rambut manusia itu juga nikmat Allah .Akan sampai satu masanya nanti , rambut itu makin lama menipis .Membentuk pulau .

Apa sahaja yang datangnya daripada Allah itu ,cumalah pinjaman .Hanya sementara . sedarlah diri ini .Kita cuma meminjam .

Habis itu .Bagaimana pula mahu menghilangkan masalah ini ?Resah .Gelisah ini . Gundah gulana yang merobek hati ini sehingga hilang nikmat itu ?Laju .Celupar mulut aku menembak .Terasa biadap .Aku tertunduk malu .Melawan tenang si pemberi nasihat .

Pernah pergi supermarket tak ?Giant .Tesco .Aeon .Lalu lalang dekat situ mesti ada promoter yang sedang mempromosikan barang atau produk mereka .Dalam konteks ini ,kita ambil contoh yang promoter itu sedang promosikan air kopi .Agak agaknya kan cawan itu besar mana ?Kecil sahaja kan ?

Kita minum .Sedap .Rasa vanilla yang bergabung dengan biji biji kopi yang lazat diperah dengan begitu baik sekali .Ahh deria rasa ini terasa mahu meletup .Buih buih nipis disedut dengan padu sekali .Krimnya yang likat menambah lemak .Padu sekali perisanya .

Tapi , malangnya kita tidak puas .Cawannya cuma kecil .Sekecil ibu jari .Kita perlu membelinya .Membayarnya mengikut harga yang ditetapkan .

Begitulah dengan apa yang aku kisahkan .

Nikmat .Rasa best dalam melakukan ibadah ini cuma secawan kecil air kopi .Habis diteguk .Sedap lagi likat aromanya .Kita tidak puas .Kita mahukan lagi .Jika tidak dapat minum , kita tidak keruan .

Untuk dapatkan kembali nikmat itu , kita kena bayar kepada Allah .Dengan mengerjakan amal amal yang baik .Dan tinggal tinggalkan keburukkan .

Eh ,bagaimana pula mahu melakukan amal amal baik ,sedangkan hati kita rasa kosong .Rasa malas .Rasa terbeban fikir masalah .Asyik asyik ditimpa ujian .Aku laju membalas .Tidak puas .Dengan solusi yang dia berikan .

Rasa kosong itu yang kau maksudkan itu tidak ikhlas bukan ?Keikhlasan hanya dapat digapai melalui paksaan .

Bukan ke dulu kita bersolat , atas nama paksaan .
Baca al quran , atas nama paksaan .
Qiamullail , atas nama paksaan .

Dan akhirnya , kau dapat merasai nikmat itu bukan ?Cumanya sekarang kau sudah berasa kosong kembali .Sudah tidak ikhlas .Ini bermakna kau sedang bermula di petak mula kembali .Merangkak lah kembali .Sebab Allah teringin sangat nak dengar kau merintih .Minta tolong dekat Dia .

Mungkin , sebab masa kau dapat khusyuk dalam solat .Rasa best baca al quran .Rasa seronok berqiamullail .Kau dah rasa selesa .Kau dah rasa senang .Dan semakin kurang kau merintih kepadaNya .

Pulanglah ke petak mula semula .Agar tuhan dapat dengar kau menangis .Dapat peluk dengan kasihNya .

Aku tergamam .Rasa sedih .Terharu .

Kita berlumba buat amal baik bukan sebab kita nak reach perfection itu .Mengejar kesempurnaan itu .Tak .Bukan macam itu .Sebab dalam islam , kita berlumba buat amal kebaikan bukan macam pandu kereta lumba .Berlumba lumba sampai ke finish line . Garisan penamat .Yakni , merasai nikmat syok dan gembira beribadat kepada Allah itu .

Tapi , Allah nak tunjuk dekat kita yang Dia mahu kita sentiasa ke petak mula .Nak bagi kita rasa hina .Nak bagi kita rasa berdosa .Nak bagi kita rasa lemah .Sebab apa Allah bagi kita rasa rasa ini ?

Sebab bila kita rasa hina, kita akan minta dekat Dia .Al Kareem .Yang mulia.
Sebab bila kita rasa berdosa, kita akan minta dekat Dia .Al Ghafur .Yang pemaaf .
Sebab bila kita kita rasa lemah, kita akan minta dekat Dia .Al Qawiy .Yang kuat .

Terkesan .Aku malu .Yang sesetelah Dia beri nikmat rasa seronok beribadat kepadaNya .Dia beri pula aku satu lagi nikmat sesudah dia tarik nikmat yang sebelumnya .

Iaitu nikmat kembali ke petak mula .Merangkak rangkak kembali .Untuk buat kita tambah lagi amal amal baik .

Kesempurnaan itu milik Allah .Kita tidak akan pernah sempurna .Tapi , tidaklah pula tidak mahu mengejar kesempurnaan .Walaupun tidak mampu menggapai sempurna , perjalanan ke arah kesempurnaan itu .Sedikit sebanyak membaikkan diri kita .

Menjadi hamba yang baik .

” Jika kalian tidak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka Allah akan menciptakan kaum lain yang mereka itu melakukan salah dan dosa kemudian mereka bertaubat dan Allah mengampuni mereka.”
(HR Ath-Thabrani dan Baihaqi)

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya (al A’raf : 42)

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (al A’raf : 56)

“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami”. (Mereka berdoa): “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”. (al A’raf : 126)

p/s : Memecut motor bersama tangisan .

Penulis : Encik introvert

Blog Penulis : jiwaku-mysoul.blogspot.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply