Cinta Ansar Dan Muhajirin

0
169
views

Cinta Ansar Dan Muhajirin

Cinta Ansar Dan Muhajirin | ‘Insyaallah, sahabat-sahabat dari oversea akan balik ke Malaysia tidak lama lagi. Bilangan mereka ramai. Alhamdulillah, mereka akan bersama-sama dengan kita untuk menyemarakkan lagi dakwah dan tarbiyah di Pulau ini.”

Agak-agak apa perasaan aku, pelajar di dalam negara untuk menerima sahabat-sahabat ini?

Dipertemukan dalam satu majlis (MABIT),  aku meletakkan rasa debaran hatiku selama beberapa hari ini ke tepi. Mindaku cuba berfikir serasional mungkin dan berlapang dada untuk menerima kedatangan mereka yang dikatakan jauh lebih mantap dan hebat. Dakwah dan tarbiyyah mereka di sana dikhabarkan sangat qowwiy kerana mereka telah dibekalkan dengan pelbagai program (baca : wasilah tarbiyyah) seperti daurah, rehlah, katibah, mukhayyam dan sebagainya dengan lebih kerap dan tersusun. Benarkah kami boleh bersama? Maka, di sinilah aku bersua dengannya, Muhajirinku.

Pada malam tersebut, kami membentuk halaqah yang besar, dan disyaratkan untuk duduk berselang-seli antara pelajar oversea dan pelajar dalam negara. Maka, di sini kami ‘dipersaudarakan’ antara dua golongan yakni dinamakan golongan Ansar dan Muhajirin. Kami, masing-masing mempunyai pasangannya ( baca : saudaranya) sendiri, disuburkan rasa cinta antara satu sama lain, hanya dalam satu pertemuan singkat, tapi natijahnya hebat.

Subhanallah, sungguh ia adalah suatu perasaan yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini. Saling mengagumi, saling membesarkan, saling meraikan. Dan, tidak dinafikan, masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri  sama ada golongan Ansar mahu pun Muhajirin.

Pembumian sirah para sahabat pada malam tersebut sungguh mengesankan. Kami singkap semula kisah pengorbanan antara golongan Ansar  dan Muhajirin, sahabat-sahabat junjungan Rasulullah SAW suatu ketika dahulu. Jauh di sudut hati, sukma ini sebak mengenangkan  kebesaran jiwa golongan Ansar pada zaman Rasululluh menyambut para sahabat Muhajirin untuk ‘masuk’ dalam kehidupan mereka. Mereka sanggup berkongsi dan berbagi semua hal termasuk harta benda, isteri, ukhuwah persaudaraan, dan sudah pasti mengusir pergi segala kepentingan diri yang wujud sebelumnya. Justeru, apa yang telah aku sediakan buatmu ,wahai Muhajirinku?

Dua tahun sudah berlalu, aku dan si dia bersama-sama menggerakkan gerabak dakwah dan tarbiyyah di Pulau yang indah ini. Biarpun masih berbeza pendapat dalam beberapa hal, tapi kami saling membesarkan jiwa menerima setiap perbezaan ini. Persaudaraan ini yang menjadikan dakwah dan tarbiyyah aku, Si Ansar dan Muhajirinku bersama teman-teman yang lain jauh lebih kreatif, terkehadapan, dan mengujakan. Kami saling menguatkan dan sentiasa berharap untuk sama-sama tsabat  dalam liku-liku jalan ini. Ku hadam lumat-lumat situasi yang  berlaku dalam Perang Badar apabila Saad bin Muaz, Sang Ketua Ansar  berkata kepada Rasulullah SAW:

“Sebahagian orang tidak hadir bersama kita, wahai Nabi Allah. Ini bukanlah bererti cinta kami terhadapmu lebih hebat berbanding mereka. Jika mereka tahu kamu akan berperang, nescaya mereka tidak tercicir untuk turut serta bersamamu.”

Subhanallah! betapa jiwa  Sang Ansar tersebut tetap mahu membesarkan saudaranya, sedangkan adakah aku, si Ansar ini hanya mahu mengejar kebaikan, jatuh bangun dalam jalan ini sendirian, hingga bermaksud melupakan si dia, Muhajirinku, juga sahabat-sahabat yang lain? Begitupun, aku lipat kemas-kemas plot yang berlaku dalam Perang Hunain. Adakah kalian masih ingat? Apabila timbul rasa tidak puas hati dan rasa sedih golongan Ansar kerana mereka tidak mendapat bahagian daripada rampasan perang tersebut, maka berkata Rasulullah SAW:

 
“…Wahai kaum Ansar, tidakkah kamu redha orang ramai kembali bersama kambing dan unta, sedangkan kamu pulang kepada tunggangan kamu bersama Rasulullah? Demi Tuhan yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, jika bukan kerana Hijrah, nescaya aku seorang Ansar. Sekiranya orang ramai melalui satu lorong di bukit, sedangkan Ansar melalui lorong yang lain, nescaya aku melalui lorong yang dilalui Ansar. Ya Allah, rahmatilah Ansar, anak-anak dan cucu-cucu Ansar.” Maka, menangislah Ansar sehingga basah janggut-janggut mereka.

Masih jelas di ingatanku, sapaan pertamamu yang begitu ramah, Muhajirinku:
“ Boleh kita duduk sebelah awak, ukht?” “ Silakan, moga-moga kita akan kekal sebelah-menyebelah hingga ke syurga.” Ku iakan, sambil bibir menguntum senyum menyambutmu. Wahai Muhajirinku, inginku khabarkan kepadamu, bahawa aku, Ansarmu ini, mencintaimu kerana Allah. Moga jiwa kita saling terkait, saling membesarkan, dan saling bergandingan dalam setiap gerak kerja kita, Insyaaallah…

Kholisoh binti Omar

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply