Cinta Kerana Dia

0
53
views

Cinta Kerana Dia

cinta kerana dia
cinta kerana dia

Cinta Kerana Dia | Suatu hari, ketika sedang berbual dengan teman-teman, seorang teman menyatakan kesedihannya kerana semua lelaki yang diminatinya kini telah berpunya.

“Kan best kalau aku pun ada boyfriend jugak. Sunyi weh!”

Astaghfirullah hal’azim.

Secara tak sedar, syaitan berjaya membisikkan bisikan halus dalam kepala kita di saat-saat kita begitu lemah dengan perasaan dan kawalan fikiran sendiri. Mengakulah, kita lebih senang ditemani teman-teman bagi menghilangkan rasa sunyi, sedih, gelisah hatta untuk berkongsi kegembiraan sekalipun. Kita lupa pada Dia yang sentiasa menemani dan memerhati.

Kita lupa bahawa setiap hari selepas solat kita berdoa, “Ya Allah, jadikan aku antara wanita solehah sebaik-baik perhiasan di dunia ini. Dan jauhkanlah aku daripada perbuatan maksiat.”

Tahulah sayang, bahawa tidak ada ‘teman istimewa’ itu tanda Dia melindungi kamu daripada fitnah dunia. Bukannya tidak ada yang layak untuk kamu. Ada, tetapi bukan sekarang masanya untuk kamu dan dia dipertemukan. Bersyukurlah kerana doamu diperkenankan

Cinta bukan sekadar bermesej 24 jam sehari 7 hari seminggu. Cinta bukannya sekadar berkata “I love you” atau “Saya sayang awak”. Bukan juga dengan mengambil berat sekadar bertanya “Dah makan? Kalau tak sihat jangan lupa pergi klinik.”

Bukan.

Cinta ialah satu tanggungjawab. Berani melafazkan cinta bererti berani dan bersedia untuk membawa dia yang disayangi ke arah yang lebih baik; ke jalan Allah.

Saya juga suatu ketika dulu tidak terlepas daripada perasaan ini. Saya juga cuma seorang remaja yang pernah terjebak dalam percintaan jadi saya tak mampu menafikan bahawa bercinta memang indah. Saya adukan kepada seorang kakak. Lalu kakak itu bertanya…

“Awak dah bersedia nak berkahwin?”

Saya terdiam. Terlalu awal untuk saya fikirkan semua tu.

“Kalau awak belum bersedia untuk menjadi seorang isteri, seorang ibu, jadi awak tak perlu risaukan semua tu. Kalau awak selalu doa yang terbaik, percayalah, takkan Allah nak bagi yang sebaliknya kan?”

Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu..

Jadi bersyukurlah di atas perlindungan Allah terhadap kita semua. Seharusnya masa yang ada sekarang, kita persiapkan diri untuk menjadi seorang ibu, isteri, ayah dan suami yang baik kerana InsyaAllah suatu hari nanti, kita bakal mendidik insan-insan kecil menjadi manusia-manusia hebat berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang kita ada.

Sebelum mencari cinta manusia yang belum tentu berbalas, ingatlah pada yang sentiasa mencintai kita 🙂

Berkongsilah sekiranya anda merasakan artikel Cinta Kerana Dia ini mampu memberi manfaat pada org lain.

 

Nur Amina Amin
Pelajar pergigian tahun kedua di Melaka Manipal Medical College,
India.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply