Jika Benar Anda Cinta Rasulullah, Contohilah Amalan Dakwah Baginda

0
812
views
mencintai rasulullah dengan berdakwah
kredit

Menurut pengertian sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Umar al-Khattab dan disebutkan dalam Musnad al-Faruq oleh Ibn Kathir bahawa pernah pada suatu ketika ‘Umar duduk bersama dengan Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya kepada para sahabat supaya menceritakan mengenai golongan yang terbaik keimanan mereka.

Para sahabat pun menduga tentu sahaja malaikatlah golongan yang paling baik keimanannya. Namun Rasulullah s.a.w. bersabda seraya mendengar telahan para sahabat bahawa malaikat memang begitulah status mereka –mereka secara semulajadinya taat dan tak pernah membantah perintah Allah sedikit pun.

Tetapi bukanlah para malaikat yang baginda maksudkan tersebut. Lalu para sahabat mengagak lagi bahawa sudah tentulah golongan itu merupakan para Nabi yang dimuliakan Allah dengan risalahNya dan kenabian. Rasulullah s.a.w. tetap memberikan respon yang sama seperti jawapan para sahabat sebelum ini –para Nabi memang bersifat ma’sum atau terpelihara daripada dosa. Namun bukan para Nabi yang baginda maksudkan.

Para sahabat terus menduga-duga.. barangkali yang dimaksudkan baginda itu para shuhada’ yang menjadi saksi kepada para Nabi. Tetapi ternyata jawapan itu juga meleset kerana baginda juga menidakkan ketepatan jawapan tersebut. Para sahabat jadi buntu.. siapakah gerangan golongan yang baginda maksudkan?

Rasulullah s.a.w. pun memberitahu mereka bahawa yang baginda maksudkan sebagai golongan yang terbaik keimanannya ialah golongan yang datang selepas hayat baginda; mereka itu berupaya mempercayai serta membenarkan ajaran baginda walaupun tidak pernah melihat baginda atau bersua dengan baginda ketika hidup.

Siapa mereka itu? Bukankah golongan yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah kita yang sedang membaca tulisan ini?

Meskipun beberapa ‘ulama’ seperti Imam Ahmad, Yahya bin Mu’in dan Al-Bukhari berpendapat bahawa hadith yang pengertiannya dihuraikan di atas adalah dha’if kerana terdapat seorang perawi yang kontroversi dalam penyampaian hadith ini, terdapat hadith lain juga yang memberi gambaran kepada kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada golongan seperti kita yang hidup selepas kewafatan baginda dan para sahabat tetapi mempunyai kekentalan iman sehebat para sahabat yang menyaksikan kewibawaan dan keluhuran baginda. Rasulullah s.a.w. menyebutkan perkataan yang istimewa apabila menggambarkan tentang kita dalam hadith tersebut dengan perkataan ‘ikhwani’ yang bermaksud saudara-saudaraku.

Ajaib sungguh cinta Rasulullah s.a.w. pada kita meskipun tidak pernah melihat rupa dan watak kita yang hina ini. Walhal kita ini banyak menyusahkan baginda kerana sering terlupa untuk melunaskan hak-hak Allah dan hak-hak baginda s.a.w. yang sangat prihatin pada nasib kita di akhirat kelak.

Allahu Rabbi.. rasa saya, sepanjang menulis di majalah ini(JOM), inilah topik paling berat yang mengajak saya banyak menyelami jiwa sendiri lalu mengaut keluar mazmumah dari lubuk hati. Malu rasanya untuk menulis tentang Rasulullah s.a.w. yang tersangat mulia. Apatah lagi bila menyedari bahawa baginda itu memang sosok qudwah yang wajib kita contohi tatkala melunaskan tanggungjawab da’wah ilallah.

Baginda s.a.w. lah satu-satunya manual yang mampu menterjemahkan program Al-Qur’an yang dibekalkan Allah kepada kita. Manakala dalam peranan da’wah, baginda adalah murabbi yang paling agung.

Akhlaq baginda, keluhuran budi, bicara dan kesantunan, juga reaksi baginda dalam mendepani cacian dan makian –semua terangkum dalam adunan karakter yang sungguh mengkagumkan. Sebati dalam jiwa yang kental dan tegar dalam melunaskan amanat Tuhan; lunak, halus dan hangat dalam kasih sayang yang dalam serta tak bertepi pada umat baginda. Dan semua ini segar dalam hela nafas panjang baginda serta fikiran optimis tentang Islam. Demikianlah baginda tatkala mengemban risalah Ilahi dan menyebarkannya kepada umat manusia.

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlaq” (Maksud Hadith riwayat Abu Hurayrah, hadith no. 305 dalam Lataif al-Ma’arif)

Ya Rabb.. Kalaulah da’wah kepadaMu dan bukti cinta pada RasulMu itu cukup sekadar bernyanyi merdu beriring paluan gendang untuk berselawat pada baginda Muhammad s.a.w., maka berbondong-bondonglah manusia yang rela mengikut jalan ini. Andailah jalan yang dirintis baginda itu cuma memerlukan wangi-wangian dan jubah separas atas buku lali serta ulang alik ke masjid saban waktu solat, alangkah mudahnya tugas yang dituntut itu.

Jika sekiranya menggembirakan baginda s.a.w. yang mahu membahagiakan kita umatnya itu semudah menyambut hari kelahiran manusia zaman moden beserta kek manis dan lilin bernyala, bergandalah pahala pemilik kedai pastry seluruh dunia ini.

Dan seandainya ruh kelahiran Rasulullah itu disambut dengan perarakan berbaju warna-warni serta sepanduk jabatan masing-masing bersama keringat di tengah terik mentari setahun sekali..seandainya perbuatan itu dianggap bukti cinta kita pada baginda Rasulullah s.a.w., cukup nyamanlah umat ini pada hari-hari lain yang jauh selesa.

dakwah bukan jalan senang

Namun, setelah peristiwa Hira’, Muhammad Nabi Allah itu tidak lena tidurnya. Kakinya pernah berdarah dek dibaling bebatu kecil di Taif ketika sedang mengajak bicara tentang ajaran Tuhan. Bahkan, Muhammad kekasih Allah itu dituduh gila, difitnah sebagai ahli sihir, diejek dan diperlekehkan. Siapa bilang hati baginda tak pernah rasa sakit, walhal baginda juga manusia?

Musuh ajaran Allah ini pernah meletakkan usus unta yang busuk di atas belakang Rasulullah s.a.w. sewaktu sujudnya panjang, berbicara dengan Tuhan. Siapa bilang deria hidu baginda rosak? Siapa dakwa deria sentuh baginda tak merasakan jijik kotoran itu?

Junjungan besar itu pernah jadi buruan dan nyawa baginda jadi taruhan, hanya kerana penyaksian terhadap dua kalimah yang baginda serukan dan tuntut dari setiap penghuni bumi bernama manusia. Siapa punya bukti bahawa baginda langsung tidak berasa takut pada ancaman itu sedangkan kulit baginda juga luka jika ditoreh?

Ya, benar… boleh jadi baginda tidak bimbangkan sakitnya maut kerana dengan terpisahnya ruh dari jasad baginda yang mulia, baginda dapat berdamping dengan kuasa yang Maha Tinggi yang dicintai baginda. Namun kecintaan pada Ilahi itulah juga yang memberi Rasulullah s.a.w. inspirasi untuk berikhtiar supaya terus hidup demi menerangkan alam ini dengan cahaya Islam sejauh ufuk yang mampu baginda capai.

“Katakanlah (Muhammad): ‘Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu, dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Al-Qur’an 3: 31)

Untuk aku dan engkau yang masih lena berselimut… Ayuh! Bangkitlah! Bertindaklah! Kerana iman yang hidup itu dibuktikan bukan cuma dengan lisan tapi ‘amal soleh yang berpanjangan. Leburkan egomu! Kerana jejak juang itu songsang andai kamu enggan disusun dan ditadbirkan!

Berkorbanlah jiwa, masa, fikiran, waktu juga hartamu kerana itulah jejak baginda kekasih Allah itu yang benar-benar mencintaimu. Berkorbanlah kerana hakikatnya kamu tak memiliki apa-apa, cuma pinjaman dari Tuhan sebagai ujian. Maka dalam segenap gerak-gerimu dan setiap yang kamu korbankan itu contohilah murabbi agung itu:

“Sungguh, telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi mereka yang berkehendakkan pada Allah dan hari akhirat serta banyak mengingati Allah.” (Al-Qur’an 33:21)

Nukilan aku seorang penganggur.
Alwani Ghazali

Artikel Yang Berkaitan :

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply