Dakwah itu adalah cinta

0
21
views

Dakwah itu adalah cinta

dakwah itu adalah cinta

Dakwah Itu Adalah Cinta | ‘Maka, berkat rahmat Allah engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu, maafkanlah mereka dan mohonlah keampunan untuk mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan azam, maka bertawakallah pada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal” (Ali Imran:159)

*          *          *          *

            Kaki baginda mengalir darah, hampir menitis. Ribuan batu dibaling tepat ke arah tubuh Rasulullah S.A.W yang mulia, hingga terjatuh dan tidak lagi mampu berdiri. Penduduk Taif tidak mahu berhenti. Segera baginda bangun untuk teruskan perjalanan. Sebutir demi sebutir batu terus singgah melukai tubuh.

            Sekali lagi, baginda terjatuh dan tidak mampu berjalan. Baginda bangun lagi, lalu dihujani dengan batu-batuan.

            Bayangkan, tiga kali peristiwa ini berulang. Rasulullah disakiti lalu bumi menjadi saksi tubuhnya berdarah.

Sehingga baginda terpaksa berehat di suatu pohon lantas berdoa, “Aku mengadu padaMu, ya Allah.” rintih Baginda. “…akan segala kelemahanku dan kurangnya usahaku.”

            Lihatlah, baginda tidak langsung mengadu tentang apa yang telah diperlakukan oleh penduduk Taif terhadapnya. Baginda juga tidak merintih tentang penduduk Makkah. Bukan juga tentang batu-batu yang telah melukainya. Malah, jauh sekali tentang sikap buruk mereka yang tidak mahu menerima dakwah. Yang diadukan hanyalah tentang diri baginda sendiri yang lemah dan kurang usaha.

            “Aku boleh menghancurkan mereka dengan dua gunung,” Malaikat membuat tawaran. “Tidak,” pinta Rasulullah, “Aku hanya mahukan supaya lahir dari keturunan mereka sebagai bahagian daripada pendukung risalah ini.’

*        *          *

            Seperti itu sepatutnya seorang pendakwah.

            Seorang pendakwah itu bukanlah semata-mata seorang yang mempunyai kefasihan lidah, mahupun keindahan bahasa tulisan yang memukau indah. Malah bukan juga pada ilmu dan kekuatan mantik yang menundukkan akal. N, pendakwah adalah seorang yang memiliki hati yang menawan rasa, serta akhlak yang menumbuhkan kepercayaan manusia yang didakwahkannya.

            Dua unsur ini – rasa hati dan akhlak mulia bergantung kepada darjat iman dan taqwa seorang pendakwah. Rasa hati ini merupakan pancaran kalbu, cerminan pada sebuah keikhlasan. Semahir manapun seorang pendakwah itu berbalas hujah dan fakta, dia harus memiliki hati yang mencintai manusia yang didakwahkannya.

            “Ya Allah, tunjukkanlah kaumku ini lantaran merekaidak tahu apa yang mereka perbuat.” begitu doa Rasullullah di Taif.

            Suara jiwa sebegini hanya mampu terbit dari rasa cinta yang mendalam kepada ummah dan rasa sedih mengenangkan azab yang bakal menimpa mereka.

            Begitulah contoh tauladan yang ditunjukkan Rasulullah dalam hubungan cinta kepada mad’u yang didakwahkannya.

            Pada satu musim kemarau, Umar R.A pernah menahan dirinya dari memakan minyak samin kerana rakyat sukar sekali memperoleh minyak tersebut pada ketika itu. Badannya menjadi lemah dan kulit mukanya menjadi kecut akibat terlampau banyak makan minyak zaitun sebagai pengganti minyak samin. Para sahabat kemudiannya mendesak Umar R.A supaya menggunakan wang dari Baitul Mal sekadar untuk membeli minyak samin untuk Amirul Mukminin. Namun, Umar R.A tegas menolak,

            “Bagaimana aku akan dapat memperhatikan urusan rakyat, apabila aku sendiri tidak merasa derita yang mereka rasakan?”Saudaraku, perhatikan perkataan Amirul Mukminin yang mulia itu, “Merasakan apa yang mereka rasa!”

            Inilah jambatan rasa, yang dibangunkan oleh rasa cinta seorang pemimpin terhadap rakyatnya.

            Begitu jugalah halnya dengan pendakwah. Kita perlu membina rasa cinta ini terhadap mad’u kita. Kita harus merasai apa yang dirasai mad’u kita supaya mudah kita lebih memahami keadaan mereka seterusnya mencintai mereka!

            Pendakwah yang memiliki kecintaan kepada umat ini akan sanggup menundukkan status kedudukannya mahupun kemewahan dirinya, supaya dia memahami apa yang dialami umat mereka. Begitu juga akhirnya dia menjadi sebahagian dari kehidupan orang yang didakwahkannya itu. Mereka berkongsi bersama-sama peristiwa suka dan duka; kematian, walimah, sakit, dan lain-lain .

            Akhirnya, dai’e itu menjadi tempat manusia menumpahkan kethiqahan.Namun, cinta ini perlu dibina dan dipupuk.

Berkembangnya era teknologi zaman kini terkadang menjadi dai’e di alam siber kaku dalam menjalinkan hubungan secara live. Perasaan hanya dibina lewat tetingkap Facebook mahupun Twitter sehingga jambatan rasa dan cinta itu terjalin atas dasar yang superficial. Dia menjadi seorang kekok, malah tidak mampu menjalinkan hubungan rasa yang mendalam dengan mad’unya sewaktu bertemu dengan mad’unya di medan nyata. Malah, menjadi lebih selesa duduk di rumah dari menziarahi sahabatnya kerana lebih suka untuk berehat di rumah di hadapan komputer riba, daripada mengambil keberkatan menempuh perjalanan yang jauh untuk menautkan ikatan ukhuwah.

            Kita perlu membina jambatan rasa dan cinta ini. Melangkaui dunia maya tanpa sempadan. Ini memerlukan usaha juga hati yang amat luas untuk mencintai umat ini lebih dari umat ini mencintai diri mereka sendiri. Hanya dengan itu kita sanggup berbuat apa sahaja, untuk berdakwah kepada umat ini.

*          *          *          *

Dakwah ini adalah cinta,

dengan cinta kita membuka hati-hati manusia,

ketika bila hati telah terbuka,

akan terbukalah juga akal dan poket mereka.

Ammar Roslizar

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply