Dakwah itu manifestasi cinta

0
1,183
views

Dakwah itu manifestasi cinta

dakwahDakwah | Apabila berbicara berkenaan dakwah, pasti ramai yang “allergic”. Ramai yang merasakan dakwah itu hanya kerja segelintir manusia yang tinggi ilmu agama. Ada juga yang merasakan dakwah itu satu beban yang terlalu hingga tidak mampu dipikul. Namun tidak ramai yang merasakan dakwah itu amal cinta. Kerana cinta tidak digelar cinta hinggalah perasaan itu membuahkan amal, lantas menjadi manifestasi perasaan itu.

Dakwah itu manifestasi cinta kita kepada cinta terulung kita iaitu Allah azza wa jalla yang telah memberi sepenuh cinta dan kasihNya kepada hambaNya. Yang memberi apabila kita meminta, yang mengampuni apabila kita berdosa dan mahu kembali, yang menemani apabila hati kita ketakutan, kerisauan, dan kesunyian, serta yang menguatkan apabila kita seakan-akan ingin berputus asa. Lantas dengan segala cinta dan kasih sayang yang telah diberikanNya, tidakkah terasa hangatnya cinta kita pada Dia?

Seperti seorang anak yang merasai begitu cinta dan kasih kepada ibunya lantaran pengorbanan, kasih sayang, dan segala didikan yang diberikan, begitu jugalah seorang hamba yang begitu cinta dan kasih pada TuhanNya yang luar biasa cinta dan sayangNya pada hambaNya melebihi kasih seorang ibu pada anaknya. Justeru, adakah kita sanggup melihat kalimahNya direndahkan? Adakah kita sanggup melihat manusia terus-menerus membuatNya murka? Adakah kita sanggup melihat namaNya diletakkan di kedudukan yang sangat rendah?

Jiwa yang benar dipenuhi cinta padaNya pasti tidak mampu berdiam. Sudah tentu jiwa yang benar mencintai Tuhannya tidak mampu melihat agama Allah yang mulia ini direndahkan lantas digerakkan seluruh anggotanya bagi meninggikan kembali agama yang mulia ini. Ditambahkan lagi dengan banyaknya motivasi Allah bahawa para rijal yang membawa, mempertahan, dan menyebarkan agamaNya dijanjikan kedudukan yang tinggi di sisiNya, menjadi kekasihNya yang abadi, serta dijanjikan pertemuan denganNya!

Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, niscaya Dia akan melipatgandakan (balasan) untukmu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Mensyukuri, Maha Penyantun” (At-Taghabun:17)
Nah, apakah pinjaman yang lebih baik daripada menyampaikan kalimahNya? Adakah kita masih tidak mahu menyahut dan membalas ayat cinta dari Allah ini? Betapa Dia sangat ingin memberikan cintaNya yang terhebat iaitu syurga, cuma adakah kita mahu atau tidak.

Dakwah itu juga manifestasi cinta kita pada Ar-Rasul insan terhebat, yang telah menginfaqkan seluruh kehidupannya buat umat baginda yang sangat baginda kasihi lagi rindui. Meski tidak pernah bertemu, namun baginda sentiasa merindui kita lantas dikorbankan segala-galanya agar kita dapat merasai indahnya hidup meng`abdikan diri pada Allah. Tidakkah terasa kuatnya perasaan cinta kita apabila adanya seorang insan yang mengorbankan segala-galanya demi kita? Lantas apakah manifestasi cinta kepada insan bernama Muhammad bin Abdullah ini? Dakwahlah manifestasi terhebat, kerana ia merupakan sunnah baginda yang terbesar yang menjadi kerja utama baginda sepanjang hidupnya. Terlalu rindu untuk melihat wajah baginda serta ingin bersama baginda  di syurga buat selama-lamanya menjadikan kita berkemahuan tinggi menyambung risalahnya, menjadi sebahagian rantaian yang bersambung dengan baginda.

dakwah itu cinta_2

Akhirnya, dakwah itu merupakan manifestasi cinta kepada manusia. Kerana kita tidak mahu melihat manusia tenggelam dalam lumpur jahiliyah yang sangat kotor dan jijik. Tidak mahu melihat manusia bermain-main dengan kotoran itu tanpa menyedari akan kehinaan perlakuan-perlakuan mereka itu. Betapa kita sangat cinta dan kasih akan keluarga dan sahabat-sahabat kita dan sama sekali tidak mahu melihat mereka melalui jalan yang pengakhirannya adalah azab dan murka Allah! Dan kerna cinta itulah kita terus menarik mereka kembali kepada jalan Allah yang sebenar, jalan Al-Haq.

Itulah tabiat dakwah, berpaksikan cinta Allah, Rasul, dan sesama manusia. Jikalau dakwah tanpa cinta, itu bukanlah dakwah. Dan kerana dakwah itu berasaskan cintalah, para rijal dakwah akan sentiasa tenang hatinya, dan sentiasa basah hatinya dengan cinta. Itulah cinta hakiki yang sentiasa menumbuhkan pohon-pohon kebahagiaan malah menyuburkan tanaman-tanaman syurga yang sedang menanti kita insyaAllah. Kerana dakwah itu bukan untuk seorang ustaz tetapi dakwah itu untuk seorang yang membuak-buak perasaan cintanya kepada Allah, Rasul, dan manusia.

 

Ammar Roslizar

Leave a Reply