Dakwah : Peluang Membuktikan

0
157
views

dakwah

Bismillah.

Jalan dakwah ini satu peluang untuk kita semua membuktikan.

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan : ” Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi ? (Al-Ankabuut : 2)

Membuktikan hak syahadah bukanlah sekadar pada telunjuk jari yang terangkat ketika solat.
Membuktikan iman pada amal-amal dengan rasa ikhlas dan ihsan sehingga darjat amal itu sampai pada tahap ahsanu ‘amala.
Membuktikan segala anggota yang dikurniakan oleh Allah untuk menyeru manusia ke arah kebaikan dan berusaha mencegah segala kemungkaran yang ada.
Membuktikan bahawa perjuangan bukanlah satu kata yang tergantung pada semangat, tetapi pada ruhnya !
Membuktikan bahawa cabaran demi cabaran itu memberi gentaran tetapi tidak mampu mematahkan semangat.

Pembuktian demi pembuktian.
Inilah jalan dakwah atau jalan amal kita.
Jika kita tidak membuktikan, maka apa yang akan terbukti di akhirat kelak ?

Kita bukan sekadar mahu membukti dengan gelaran sebagai seorang daie kerana gelaran itu juga milik ramai lagi para dua’t yang jauh lebih hebat dari kita. Malah, sejak dari dulu lagi Rasulullah S.A.W mengajar kita untuk membuktikan serta melatih para sahabat untuk membuktikan.

Lihat, pembuktian mereka bukan biasa-biasa.
Pembuktian mereka tiada tolok bandingnya.

Mereka membuktikannya dengan bersungguh-sungguh.

Kita sering terlupa dengan hak pembuktian ini.
Ambil mudah dan bila beramal ibarat sekadar melepaskan batuk di tangga.
Atau peribahasa baru buat para dua’t, ‘ Ibarat melepaskan semangat hanya pada nafas’.

Begitulah.
Akhirnya, pembuktian kita sama sahaja seperti orang lain.
Tiada apa yang istimewa. Tiada apa yang berharga.

Tidak cukup hanya dengan kita bersoseh-soseh tentang dakwah dan tarbiyyah tetapi kita tidak lagi memaknai sepenuhnya dakwah dan tarbiyyah dalam keseluruhan kehidupan kita.

Tidak cukup dengan hanya berbangga diri dengan menjadi kader dakwah dan ahli sebuah jemaah dakwah tetapi tidak pernah menjadi pemikir dakwah.

Ayuh, berfikirlah tentang dakwah !

Bumi Mesir sekarang menyaksikan pembuktian-pembuktian mulia di kala pihak musuh membuktikan mereka berkuasa atas segalanya.

Musibah yang menimpa di sana adalah peluang kepada mereka untuk membuktikan. Membuktikan bahawa ketika musibah ini menjadi luka, dakwahlah yang menjadi penyembuhnya. Musibah itu mungkin memakan jasad mereka, tetapi ruh dan semangat mereka memarakkan mereka yang masih hidup dan meneruskan perjuangan.

Kita pihak musuh sibuk mengejar target duniawi mereka, kita gunakan jalan dakwah ini untuk membuktikan bahawa segala perancangan kita tertakluk pada kuasa-Nya kerana kita beriman pada tadbir Rabbani.

Kalimat-kalimat kita menjadi boneka lilin
Jika kita mati untuk mempertahankannya
Maka saat itulah ruh merambahnya
Hingga kalimat-kalimat itu hidup selamanya
(Sayyid Qutb)

Bayangkan jika kata-kata ini hanya menjadi desiran nafas, didengar sebelah telinga kemudian terus keluar melalui telinga sebelah lagi.

Andai berjuta kata-kata hebat yang lahir dari orang yang hebat sekalipun, tanpa pembuktian pada amalnya, kata-kata tersebut hanyalah satu kehampaan dalam jiwanya sendiri.

Seolah memberi khutbah Jumaat yang penuh dengan seruan dan teori dan akhirnya melahirkan para dua’t yang sibuk ‘duduk mengaji’ berbanding beramal di luar masjid.

Begitulah para dua’t sekarang yang menjadi ahli ibadah yang bermain-main !

Jangan pernah kita terlupa dalam memberikan bukti.
Sama ada dalam keadaan sedar atau tidak, setiap inci anggota akan membuktikan segalanya di hadapan Allah pada hari akhir nanti.

Di kala itu, kita tidak lagi mempunyai apa-apa kesempatan untuk meminta kembali ke dunia dan menghasilkan bukti-bukti untuk menyelamatkan diri daripada diseksa.

****

Ruh seorang daie itu bukan sekadar menggoncang. Tetapi ianya ruh yang mengubah !
Ruh yang membuktikan.

Dakwah bukan menjadi kesempatan-kesempatan yang palsu.
Kita guna bila kita suka, buang bila kita mempunyai kesempatan-kesempatan yang kita rasakan lebih berguna.

Dakwah bukan tempat kita mencari titik perhentian perjuangan yang palsu.
Bila kita dapat beribu alasan untuk mengelak, lalu kita gunakannya untuk kepentingan diri kita sendiri.

Dakwah bukan tempat untuk kita sekadar bermimpi sampai sudah dan akhirnya kita menemui jalan buntu akan bagaimana kita ingin mencapainya.

Dakwah adalah tempat untuk kita mencari peluang untuk membuktikan dua amanah yang kita junjung sejak mula kita mengenali dakwah ini.

Peranan seorang ‘abid dan khalifah tidak hanya berjalan atas titian-titian memakmurkan muka bumi tetapi terjalan atas jalan utama iaitu jalan dakwah dan tarbiyyah ini.

Dakwah yang tenang, namun lebih gemuruh
Dari tiupan taufan yang menderu…

Dakwah yang rendah hati, namun lebih perkasa
Dari keangkuhan gunung yang menjulang…

Dakwah yang dekat, namun lebih luas
Dari belahan bumi seluruhnya…
(Hassan Al-Banna, Ilasy Syabab)

Kita tanya pada diri kita semula.
Apa yang telah kita buktikan sepanjang hidup ini.

Islam memberikan ransangan yang luar biasa dahsyat demi penyelesaian budaya yang menyusun salah satu dari halaman-halaman sejarah paling membanggakan dalam tarikh umat manusia. Dan, katanya ransangan itu diperoleh dengan mengatakan ‘ya’ pada akal, dan ‘tidak’ pada belenggu-belenggu. ‘Ya’ untuk tindakan, dan ‘tidak’ bagi kemalasan. ‘Ya’ bagi kehidupan yang beragama, dan ‘tidak’ untuk kerahiban.

(Leopold Weiss, The Road to Mecca)

Atau kita sudah terlupa bahawa hakikat kehidupan ini satu pembuktian ?

Pembuktian di dunia akan mempengaruhi pengiktirafan di akhirat kelak.
Moga kita tidak terlupa…

Dan moga kita sentiasa diberi petunjuk atas apa yang perlu kita buktikan dan cara kita membuktikan sentiasa lurus.

mylittlepencil

Blog Penulis : mylittlepencil.wordpress.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply