Doa Untuk MH370

0
23
views

Doa Untuk MH370

Doa Untuk MH370 | Syeikhah Madihah, guru kelas Al-Quran ku bertanya, “Izzaiy Tayyarah? Filakhbar Kaman?” (Bagaimana kapal terbang? Ada berita lagi?  tanya beliau kehairanan. “Ana mush ‘arfah!” (Saya tidak tahu) jawabku dalam bahasa arab Ammiyah, “Kaifa ta’rifin?”(Bagaimana kamu tahu?) tanyaku kembali padanya. “Min An-Net wa Al-Akhbar, kathir sah?,” (Dari internet dan surat khabar, banyak bukan?) dia bertanya kembali kepadaku akan kesahihan, betapa banyak berita tentang kehilangan pesawat itu. “Na’am!” (Ya) jawabku kembali. Sehinggakan guru kelas Al-Quranku mengetahuinya. Ketika itu sudah hari keempat kehilangannya. Menandakan ianya sudah sampai ke pengetahuan rakyat Mesir dan juga seluruh dunia.

 

Seawal berita ini mencetuskan kebimbangan semua rakyat Malaysia dan mula meniti dari bibir ke bibir warga dunia, aku sendiri tidak berkesempatan untuk betul-betul membacanya di hadapan komputer, lantaran urusan di luar yang tidak memungkinkan untuk duduk seketika. Hanya mendapat khabar dari kawan-kawan dalam aplikasi WhatsApp yang meminta supaya mendoakan yang terbaik untuk pesawat MH370 Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS). Keesokan harinya baru aku dapat betul-betul memahami berita ini.

 

Sebuah pesawat MAS yang membawa 227 orang penumpang. Di dalamnya terdapat 153 dari China + 1 bayi, 38 warganegara Malaysia, 7 dari Australia, 6 dari Australia, 5 dari India, 3 daripada Perancis, 3 dari USA + 1 bayi, masing-masing 2 dari New Zealand, Kanada dan Ukraine, serta masing-masing 1 adalah warganegara Rusia, Itali, Taiwan, Belanda dan Austria. Bersama dengan mereka adalah 12 orang anak kapal yang membawa kepada jumlah 239 orang yang mana keadaan mereka masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

 

Pada jam 0041 pada hari Sabtu yang lepas (8 Mac 2014)mereka telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA menuju ke Beijing yang dijadualkan akan tiba pada jam 0630. Namun, pengawal trafik udara mengesahkan bahawa pesawat itu telah hilang dari radar pada jam 0130. Maka genaplah seminggu misteri kejadian kehilangan pesawat ini. Sehingga kini usaha menjejaki pesawat itu sedang giat dijalankan oleh pelbagai negara, dan pelbagai cara telah dilancarkan termasuk pencarian di udara, di air dan di dalam air juga. Namun sekian lama mencari, masih tidak menemui apa yang dicari.

 

Pelbagai spekulasi yang timbul

Situasi yang menggemparkan ini, pastilah akhirnya akan menimbulkan pelbagai spekulasi rakyat Malaysia umumnya dan warga dunia amnya. Sesuatu isu yang dibangkitkan, maka sunnatullah alam, manusia yang mempunyai pelbagai macam perwatakan ini, mulalah menyatakan pendapatnya. Kemungkinan itu dan ini. Ada yang menganggap ianya terhempas, mungkin ianya dirampas, mungkin ianya berpatah balik, mungkin ianya itu dan ini. Dan setiap spekulasi itu perlu dibuktikan dengan alat-alat yang membantu pencarian, bukan hanya sekadar memberikan pandangan kosong. Sehinggakan berita-berita yang menyakitkan hati, menyesakkan dada mulai tersebar di mana-mana ruang perbualan, sama ada di ruang Facebook  ataupun di kedai kopi atau dimana jua.

 

Sepertimana hadis Rasulullah SAW dalam Hadis 40 Imam Nawawi, hadis yang keenam ada menyebut:  

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. رﺿﻲ اﷲ ﻋﻨﻬﻤﺎ beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara- perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.

 

Dalam hadis di atas ada menyebut bahawa setiap di antara manusia ini ada seketul daging yang bernama hati. Apabila hati kita baik maka baiklah keseluruhannya, apabila hati kita kotor maka buruklah keseluruhannya. Semuanya berpunca daripada hati. Bila hati kita bersih, sudah pastilah kita akan memastikan terlebih dahulu maklumat yang sahih, sebelum menyebarkannya kepada orang lain dan semestinya telah dibuktikan dengan bukti yang kuat menyatakan. Dikatakan terhempas tetapi mana buktinya? Dikatakan dirampas apa buktinya? Bukan sewenang-wenangnya menyebarkan yang palsu.

 

Dalam hadis di atas juga menyebut, apabila perkara yang syubhah, yang tidak diketahui hukum halal dan haramnya, tidak pasti adakah betul dan salah, maka perlulah dielakkan. Percaya, adalah satu perkara, dan menyebarkan adalah satu perkara yang lain. Adakah kita percaya dengan sebenar-benar percaya? Atau hanya secuit kepercayaan. Malah apabila diri kita sendiri kurang percaya, malah cuba membinasakan orang lain dengan menyebarkan kepada semua. Takut-takut kita telah menceroboh ke kawasan yang haram kerana situasi ini.

 

Pertama sekali, hidupkanlah hati kita dengan perkara-perkara kebaikan seperti banyakkan solat sunat, berzikir, dan melazami tilawah Al-Quran. Bila hati kita baik, jernih, sihat, maka kita sendiri dapat membezakan yang perbuatan salah, dan yang mana perbuatan yang benar. Mana yang sepatutnya kita lakukan, dan mana yang kita perlu jauhkan.

 

Kedua, pastikan informasi yang diperolehi itu telah dibuktikan melalui penemuan-penemuan yang sahih, bukan sekadar omongan kosong untuk menghangatkan fantasi kejadian.

 

Ketiga, elakkan dari menimbulkan banyak spekulasi tetapi ianya lebih kepada perbincangan terbuka. Ketika itu semua orang boleh memberikan idea dan pandangan sendiri.

 

Keempat, apabila telah sepakat untuk perbincangan, sudah pasti akan ada pendapat yang betul dan ada yang kurang betul, maka berlapang dadalah dalam setiap pendapat manusia. Dalam kes ini, memang benar terdapat pelbagai spekulasi yang timbul, dan sampai ke satu tahap semua orang buntu, sehinggakan ianya hanya menimbulkan kemarahan sesetengah pihak. Jika ianya berakhir demikian, maka tidak wujudlah lagi perbincangan yang harmoni dan mesra.

 

Perkara ini juga bukanlah hanya antara masyarakat yang mendengar berita ini sahaja, malah turut teraplikasi kepada warga media. Tanggungjawab pihak media adalah menyampaikan kebenaran kepada semua. Bukan menutup yang busuk tetapi membongkar yang wangi sahaja. Bukan hanya berkongsi cerita yang hanya menguntungkan poket syarikat sahaja. Jika sesuatu yang benar, yang sahih sumbernya, maka ceritalah kepada kami. Takutlah kepada Allah SWT yang akan menilai setiap gerak-geri dan perbuatan kita.

 

Hanya Allah sebaik-baik tempat mengadu

Allah SWT yang menghidupkan kita dan mematikan kita. Dialah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Dialah satu-satunya tempat sandaran semua perkara. Setelah kita berusaha, mencari di sana, mencari di sini, masih lagi tidak terjawab persoalan, jangan sesekali melupakan Allah SWT.

 

“Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal” (3:159)

 

“Jika Allah menolong kamu, tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu, maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal” (3:160)

“Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mau menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalak keadaan hina dina” (40:60)

 

Lihatlah bagaimana Allah sendiri akan memperkenankan permintaan kita. Dengan berdoa kepadaNya, insyaAllah Dia akan perkenankan permintaan kita. Berdoa dengan yakin kepada Allah, semoga Allah mengembalikan kembali pesawat ini. Semoga orang-orang di dalamnya semua selamat dan berada dalam keadaan baik. Itu semua harapan kita kepada Allah Yang Maha Esa.

 

“Bukankah Dia (Allah) yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (pemimpin) di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Sedikit sekali (nikmat Allah) yang kamu ingat” (27:62)

 

Namun apabila berita dukacita ini menghurungi kita, ada juga yang membelakangi Allah SWT. Melakukan ritual-ritual yang telah menyalahi syariat Allah SWT, dan telah dikategorikan sebagai syirik iaitu menyekutukan Allah SWT. Kononya dengan ritual seumpama itu akan dapat menyelidiki kedudukan sebenar pesawat itu sekaligus dapat membantu pihak berkuasa dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat tersebut. Malah apabila ritual itu mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa, ianya hanya menjadi bahan ketawa seluruh masyarakat dunia.

 

Ritual yang syirik itu, bagi mereka ia adalah islamik kerana di dalamnya mereka menyebut perkataan Allahuakbar (Allah Maha Besar). Mengunakan nama Allah untuk ritual yang syirik bukanlah dapat menimbus dosa, malah akan menimbulkan kekeliruan kepada semua yang melihatnya. Kerana pelakunya beragama Islam, menggunakan nama Allah dalam ritualnya, maka nama Islam sudah semestinya terpalit sama kebusukannya. Islam yang merupakan agama kebenaran, kini menjadi bahan jenaka dan lelucon warga dunia yang kini mulai menilai.

 

Bagaimana iman individu ini yang telah mempercayai kuasa lain selain kekuasaan Allah SWT? Semoga Allah mengampuni mereka dan menunjukkan mereka hidayah yang sebenarnya, ameen.

 

“Katakanlah (Muhammad), “Apakah kita akan memohon kepada sesuatu selain Allah yang tidak memberi manfaat dan tidak pula mendatangkan mudharat kepada kita dan (apakah) kita akan dikembalikan ke belakang setelah Allah memberi petunjuk kepada kita seperti orang yang telah disesatkan oleh suaitan di bumi dalam keadaan kebingungan…..” (6:71)

 

Tiba masanya Allah menguji

Setiap kali ditimpa musibah,

Ku mengeluh risau bertambah gelisah,

Hingga terlupa padamu Allah,

Tempat kembali segala masalah.

(Setiap Kali, Devotees)

 

Hidup manusia tidak akan pernah lari daripada ujian.

 

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman dan mereka tidak diuji?” (29:2)

 

Apabila dikatakan beriman kepada Allah SWT, maka akan tibalah ujian dari Allah SWT untuk menguji sejauh mana kebenaran keimanannya kepada Allah SWT.

 

“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun” (67:2)

 

Orang-orang terdahulu dari kita, golongan As-Sabiquun Al-Awwaluun apabila datangnya sesuatu ujian kepada mereka, kerisauan menyelubungi diri. Adakah sudah melupai Allah sehinggakan perlunya Allah mendatangkan ujian supaya mereka mengingat Allah SWT kembali?

 

Apabila kita semua menghadapi musibah dan bencana ini, kembalilah semula kepada Allah, dan carilah hidayah petunjuk Allah. Carilah jalan untuk kembali menjada hamba kepadaNya. Carilah semula diri kita yang sebenar, yang hanya kerdil dan hina di hadapan Allah yang Maha Besar.

 

Di bawah penguasaanNya

 

“Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa lepas. Tidak ada satu pun yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Allah bagi orang yang beriman” (16:79)

 

Biasakan melihat burung-burung, berterbangan riang, melaju memecah kesunyian angkasa tatkala pagi ataupun petang? Subhanallah, Maha Suci Allah! Allah Maha Berkuasa yang telah menahan mereka daripada jatuh apabila terbang. Menunjukkan bahawa burung iaitu haiwan, makhluk ciptaan Allah juga berada di dalam pengawasaan Allah. Apatah lagi kita manusia, sebaik-baik penciptaanNya. Pastinya kita sentiasa berada di dalam pengawasaan Allah SWT.

Dalam isu ini, sehingga kini ianya masih menjadi tanda tanya kepada kita manusia yang hina. Sehebat manapun pencarian kita, segah mana pun teknologi kita, namun tidak akan dapat menandingi kehebatan pengetahuan dan pengawasan Allah SWT. Yakinlah pada pengetahuan Allah ianya lebih jelas dari kaca, lebih cerah dari sinaran matahari yang menyinar. Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi mereka.

Justeru itu, kita sebagai hamba Allah SWT, yang meyakini pengawasanNya, memperbaiki segala amalan kita, perbuatan kita, gerak-geri kita. Kerana Allah sentiasa mengawasi, Allah sentiasa memerhati. Pengawasan Allah itu sendiri menjadikan kita lebih ingin mendekati Allah SWT, bukanlah semakin menjauhiNya.

Semoga kita menjadi insan yang semakin berhatikan Allah SWT sentiasa. Doa untuk MH370!

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply